Polis siasat demonstrasi bantah hapus DEB
PULAU PINANG 19 Mac – Polis sedang menjalankan siasatan terperinci mengenai demonstrasi secara aman disertai kira-kira 3,000 anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan penyokong UMNO yang membantah cadangan penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB) baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Salleh Mat Rasid berkata, siasatan itu dibuat mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan jika sabit kesalahan mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi setahun dan denda antara RM2,000 hingga RM10,000.
“Satu laporan rasmi telah dibuat tentang perhimpunan tersebut dan laporan itu sedang disiasat oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.
“Ini menunjukkan kepada rakyat bahawa kami tidak berat sebelah malah sesiapa yang melakukan kesalahan akan kami siasat,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tindakan pihak polis terhadap mereka yang terlibat dalam demonstrasi secara aman yang diadakan Jumaat lalu di hadapan pintu masuk utama Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) itu.
Perhimpunan yang disertai kira-kira 3,000 anggota pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan penyokong UMNO itu dibuat bagi membantah tindakan kerajaan negeri yang kononnya mahu ‘membebaskan pentadbiran negeri daripada DEB’ dan menuntut hak orang Melayu dikembalikan.
Perhimpunan yang turut dianggotai beberapa bekas Exco kerajaan negeri itu berlangsung hampir sejam bermula pukul 2.30 petang selepas solat Jumaat dan telah mengakibatkan kesesakan lalu lintas yang teruk di pusat bandar.
Jelas Salleh, pihaknya juga tidak mengamal sikap pilih kasih dengan membiarkan sahaja perkara tersebut tanpa sebarang tindakan.
“Setiap tindakan perlukan satu laporan dan setelah laporan dibuat, kami berjanji akan menjalankan siasatan terperinci.
“Pada perhimpunan itu juga tiada sebarang tangkapan atau pertempuran berlaku dan saya sifatkan ia hanya perhimpunan secara aman, bagaimanapun siasatan tetap akan dibuat,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia 19/03/08
Ulasan:
Sekali air bah sekali pantai berubah, itulah satu peribahasa yang boleh kita gunakan untuk mereka yang tidak ada pendirian tetap dalam menangani satu isu, bagai lalang ditiup angin di mana pendirian mereka sentiasa berubah-berubah mengikut arus kepentingan. Kalau dulu sebelum pilihan raya pemimpin UMNO sibuk memperkatakan isu demonstrasi dengan penuh negatif, sekarang mereka nampaknya sudah mula menjilat ludah sendiri. Di manakah pemimpin UMNO untuk menghalang demonstrasi yang diadakan di Pulau Pinang ini kerana ini bukan budaya kita? Cuba lihat beberapa tajuk akhbar seperti Rakyat tidak perlu adakan demonstrasi jalanan, Rakyat tidak terima demonstrasi jalanan, dan Tindakan bodoh - Nazri.
Nah, sekarang dunia sudah terbalik, ludah sendiri telah dijilat, pengikut-pengikut UMNO telah mula berdemonstrasi dan tidak ada seorang pun pemimpin mereka yang tampil untuk menyatakan itu adalah tindakan bodoh. Hizbut Tahrir mempunyai pendapat tersendiri berkenaan dengan perkara ini dan secara umumnya kami melihat bahawa demonstrasi (masiirah) adalah mubah selama mana perkara yang dibangkitkan dalam demonstrasi itu adalah sesuai dengan hukum syarak. Manakala hukum rusuhan (muzaharah) adalah haram.
Saturday, March 22, 2008
UMNO jilat ludah sendiri
Labels: Politik
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment