Saturday, March 22, 2008

Air percuma di Selangor?

Syabas tunggu cadangan kerajaan negeri Selangor untuk air percuma

KUALA LUMPUR: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) akan menunggu perkembangan selanjutnya cadangan Kerajaan Negeri Selangor untuk membekalkan 20 meter padu air pertama secara percuma kepada semua isi rumah di negeri itu mulai bulan depan.

"Kita tunggu dan lihat. Perkara ini masih di bawah semakan semula oleh kerajaan negeri. Jadi kami tidak mahu membuat sebarang ulasan," kata Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som kepada wartawan di sini, Selasa.

Katanya Syabas akan meneruskan perkhidmatannya kepada orang ramai dan akan berusaha menambah baik lagi kualiti air.

Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim membuat dua pengumuman penting iaitu 20 meter padu air yang pertama adalah percuma bagi semua isi rumah di Selangor mulai bulan depan dan satu semakan semula dilakukan ke atas perjanjian loji rawatan air antara Puncak Niaga Holdings Bhd dan kerajaan negeri sebelumnya.

Bagaimanapun, konsesi air percuma akan dibincangkan dahulu oleh Exco Kerajaan Negeri sebelum ia boleh dilaksanakan dan ia adalah untuk memenuhi janji kempen pilihan raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), katanya.

Tiada caj dikenakan untuk 20 meter padu air pertama adalah sebahagian dari manifesto PKR dalam pilihan raya umum baru-baru ini. BERNAMA

Sumber: http://mstar.com.my/cms/content.jsp?id=com.tms.cms.article.Article_c14f3b24-c0a85062-1189cbb0-dba10f6d

Ulasan:


Kata dikota, janji dilaksana. Inilah slogan yang diucapkan oleh penyokong dan pengundi terutamanya rakyat Selangor dalam isu bekalan air percuma untuk 20 meter padu pertama. Bagi pihak rakyat, ianya kelihatan seperti bonus, bagi pihak Syabas pula ianya hanya melibatkan kertas kerja namun bagi pihak kerajaan Negeri ia nampaknya seperti satu beban besar bagi memenuhi kehendak rakyat dan syarikat pembekal air swasta tersebut. Tekanan dilihat menerpa dari pelbagai sudut, hasil dari manifesto PRU yang lalu. Walaupun kerajaan Kapitalis BN sudah terkenal dengan 'kestabilan' ekonominya, namun hal ini merupakan satu cabaran bagi kerajaan negeri Selangor (untuk menepati janjinya) kerana belum pernah kerajaan negeri sebelum ini (BN) melaksanakan sedemikian rupa.

Isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan kredibiliti dan masa depan kerajaan yang mentadbir sekarang. Dengan pemerintahan yang berdasarkan sistem ekonomi Kapitalisme, semua pihak yang selama ini selesa dengan kekayaan yang telah dikaut, tentunya akan berasa tertekan, kerana (bagi Kapitalis), ia membabitkan soal ‘melepaskan’ keuntungan yang amat besar. Menyediakan perkhidmatan bekalan air percuma kepada hampir 4.8 juta penduduk di negeri terbabit bukanlah perkara mudah bagi mereka yang berpemikiran Kapitalis.

Sekali pandang, berita ini adalah satu berita yang amat menggembirakan, khususnya bagi penduduk Selangor. Namun, bila dilihat dengan teliti dari perspektif Islam, apa yang bakal dilakukan oleh kerajaan negeri ini masih jauh dari Islam. Di dalam sistem ekonomi Islam, asas pemilikan, pengembangan dan pengagihan kekayaan diatur oleh hukum syarak. Ditinjau dari aspek pemilikan, air merupakan hak milik umum (milkiah al-ammah) yang wajib dinikmati oleh rakyat secara percuma keseluruhannya. Setiap orang dari rakyat wajib menikmati kemudahan bekalan air secara percuma tanpa dihadkan pada kadar tertentu. Ini sebagaimana yang telah disabdakan oleh baginda SAW,

"Kaum Muslimin bersekutu kepada tiga perkara iaitu air, api dan padang rumput" [HR Ahmad, Abu Daud dan juga Ibn Majah; Al-Ahkam, no #2743].

Disebabkan hak milik air telah ditetapkan oleh syarak sebagai hak umum, maka tidak dibenarkan pula ia dieksploitasi oleh mana-mana pihak sehingga menzalimi pihak yang lain dari memperoleh sumber utama kehidupan ini. Ia wajib diberi secara percuma secara mutlak oleh pemerintah. Ini adalah hukum syarak. Tidak dikatakan mengikut Islam jika air percuma tersebut hanya diberi untuk 20 meter padu pertama sahaja, manakala selebihnya dikenakan bayaran. Ia ibarat seorang perempuan yang menutup aurat di bahagian badan, tetapi kepala tidak bertudung. Tidak ada gunanya kerana hal ini adalah bertentangan dengan Islam. Hukum syarak itu wajib dipatuhi secara keseluruhannya, bukan dengan cara sebahagian-sebahagian.

Dari aspek pengagihannya pula, bekalan air percuma ini bukanlah boleh dibataskan oleh sempadan negeri, kerana kewajipan atas pemerintah untuk mengagihkannya kepada setiap individu rakyat di dalam negara. Namun, oleh sebab Malaysia mengamalkan sistem federasi yang bercanggah dengan Islam, maka air telah diletakkan di bawah bidang kuasa negeri dan setiap negeri berkuasa membuat peraturannya sendiri. Ini satu lagi masalah dengan sistem pemerintahan Malaysia yang tidak pernah Islamik ini. Justeru, satu-satunya jalan keluar dari permasalahan ini adalah dengan menerapkan semula sistem pemerintahan Islam secara menyeluruh di dalam kehidupan. Dan hanya Khilafah Islam sahaja yang mampu dan akan berbuat demikian, kerana melalui Khilafah, sistem Allah ini akan diterapkan secara kaffah sebagaimana yang Allah kehendaki, bukan diterapkan sekadar kerana ingin memenuhi janji dalam manifesto.

0 comments: