KUALA LUMPUR 30 Mac – MIC akan meminta kepada kerajaan agar membebaskan lima anggota pertubuhan haram Hindraf yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pembebasan itu sepatutnya sudah boleh dibuat memandangkan pilihan raya umum sudah pun berlalu dan tidak ada apa-apa peristiwa serius selepas ini.
“Biarlah keadaan menjadi lebih aman lagi melalui pembebasan kelima-lima itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Penjenamaan Semula MIC di sini hari ini.
Menurut Samy, dua daripada tahanan itu boleh dibebaskan lebih awal iaitu R. Kenghadharan yang kesihatan kini terganggu dan M. Manoharan yang telah pun dipilih rakyat untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah.
Dua lagi kata beliau, V. Ganabatirau dan K. Vasantha Kumar juga sepatutnya sudah boleh dibebaskan kerana penglibatan mereka dalam Hindraf tidak terlalu serius.
“Saya akan bertemu dengan Datuk Seri Syed Hamid Albar (Menteri Dalam Negeri), kemudian saya akan bertemu dengan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk tujuan itu,” jelasnya.
Beliau juga merancang untuk meminta agar P. Uthayakumar yang dilihat sebagai pemimpin terkuat dalam Hindraf turut sama dibebaskan.
Mengenai seorang lagi pemimpin Hindraf, Waytha Moorthy yang kini dikatakan bersembunyi di luar negara, Samy yakin dia juga boleh kembali semula ke Malaysia selepas kelima-lima rakannya yang lain dapat dibebaskan.
Tambahnya, beliau menerima banyak panggilan telefon dari pelbagai pihak dan kunjungan daripada keluarga tahanan meminta melakukan sesuatu agar kesemua yang ditahan itu dibebaskan.
Sumber: Utusan Malaysia 31/03/08
Ulasan:
Samy Vellu yang telah semakin hilang popularitinya, khususnya setelah tercetusnya kes Hindraf, kini nampaknya cuba bangkit dan ingin menjadi hero tamil yang hebat. Beliau antara orang kuat kerajaan yang dulunya bersungguh-sungguh menafikan dakwaan dan tuntutan Hindraf, kini nampaknya cuba menunjukkan sokongan kepada para pejuang Hindraf yang merengkok dalam ISA.
Apakah mainan politik yang cuba diusahakan oleh pemimpin tamil BN ini? Cuba fikirkan senario ini – Dengan berkokok meminta Hamid Albar membebaskan tahanan Hindraf, Samy Velly tentunya akan mendapat perhatian dan tempat di kalangan penyokong Hindraf. Ini dapat memulihkan imej bekas menteri kerjaraya ini di mata masyarakat India yang membencinya selama ini. Namun, Hamid Albar, yang sama-sama berada dalam kerajaan dan BN, tentunya tidak akan dengan mudah membebaskan tahanan Hindraf. Syed Hamid, sebagaimana dilaporkan tidak melayan desakan Samy Vellu ini. Sekali pandang nampak seperti tepat dan benar, namun bila dipandang kedua kali, ini sebenarnya ia seperti dirancang untuk memberi kelebihan kepada Samy Vellu untuk terus berjuang (membebaskan tahanan Hindraf). Perjuangan yang memakan masa lama biasanya akan dilihat sebagai betul-betul bersungguh-sungguh dan ‘lebih ikhlas’. Ini akan merealisasikan lagi dan memberi lebih masa kepada Samy untuk membuktikan dirinya sebagai hero.
Penyokong Hindraf pula tentunya akan terus mendesak dan ‘mengharapkan’ Samy Vellu. Apabila harapan telah diletakkan kepada si Samy ini, maka dia akan terus menjadi kuat dan menjadi ‘tempat bergantung’ kepada masyarakat India, khususnya Hindraf. Jadi, si Samy yang dibenci lama-kelamaan semakin disayangi dan diletakkan harapan. Drama yang lama ini yang membariskan Samy Vellu sebagai hero utamanya, tentunya akan berjaya menggabungkan semula masyarakat India dan MIC akan terus mendapat sokongan dan akan berjaya dipulihkan. Setelah keadaan selamat, aman dan makmur bagi MIC khususnya, dan bagi BN amnya dan Samy telah muncul sebagai hero yang hebat yang kembali mendapat tempat di hati orang India, dengan ini, justifikasi untuk membebaskan tahanan Hindraf boleh dimulakan yang lama-kelamaan akan membawa kepada pembebasan mereka. Hamid Albar dan kerajaan pun akan turut menerima pujian yang sama pada ketika ini. Akhir sekali, drama ini akan berakhir dengan happy ending bagi semua yang terlibat.
Cuba fikirkan hebat atau tidak drama di atas dan boleh atau tidak dijadikan ‘kisah benar’?
Monday, March 31, 2008
Drama apa antara Samy Vellu dan Hindraf?
Labels: Dalam Negeri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment