Monday, March 31, 2008

Pilih hakim - cara sekular kepada cara sekular!

KUALA LUMPUR 30 Mac – Penubuhan suruhanjaya bebas untuk mengendalikan urusan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim akan menjadikan badan kehakiman lebih telus dan berwibawa.

Peguam Amer Hamzah Arshad berkata, Majlis Peguam sentiasa melobi penubuhan suruhanjaya seumpama itu kerana pelantikan hakim adalah satu perkara yang penting untuk diputuskan oleh individu tertentu sahaja.

Katanya, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Malaysia, beliau mengetuai perarakan Walk of Justice pada tahun lalu untuk menyampaikan mesej yang sama.

‘‘Suruhanjaya ini menjadikan proses pelantikan hakim lebih telus dan membabitkan calon yang lebih layak serta kurang kontroversi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu menyegerakan penubuhan suruhanjaya untuk melantik hakim.

Peguam terkemuka, Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang turut menyokong penubuhan suruhanjaya itu mencadangkan supaya pemberian kuasa kepada suruhanjaya berkenaan dibuat secara berperingkat-peringkat.

Beliau berkata, ia adalah bagi mengelakkan berlakunya kejutan kepada sistem yang sedang diamalkan sekarang.

Sumber: Utusan Malaysia 31/03/08

Ulasan:


Ekoran dari cadangan Zaid Ibrahim yang sudah mula menunjukkan ‘kuasa’ beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, nampaknya beberapa orang peguam pun turut menyokong cadangan yang bertentangan dengan Islam ini.

Memang selama ini ramai peguam yang mempertikaikan kewibawaan hakim dan sistem kehakiman yang ada, jadi tidak peliklah jika cadangan ini dipersetujui mereka. Hakim dan sistem kehakiman di Malaysia yang terkenal dengan skandal penyalahgunaan kuasa, rasuah, tiada kredibiliti, jawatan tertinggi yang merupakan ‘jawatan politik’ dan pelbagai keburukan lainnya sudah lama tidak dapat disembunyikan. Namun, oleh sebab pembesar politik senantiasa masuk campur dalam urusan ini, maka tidak ada siapa yang berani menegur. Kini dengan jawatan yang dipegangnya, Zaid Ibrahim telah mula menunjukkan taring.

Sebagai seorang Muslim, kita wajib sedar bahawa sistem kehakiman yang ada adalah sistem kufur. Ia adalah sistem yang diwarisi dari British dan ia bertentangan seratus peratus dengan Islam. Sistem kehakiman kufur yang diamalkan di Malaysia sejak ratusan tahun lamanya ini sewajarnyalah mempunyai 1001 jenis keburukan dan kejahatan di dalamnya.

Sama ada hakim atau peguam yang menjadi pengamal undang-undang sekarang adalah peguam yang sekular dan berhukum dengan hukum sekular. Mereka mengambil hukum sekular yang dibuat oleh manusia dan juga yang ditinggalkan oleh kuffar Britih kepada mereka untuk diamalkan. Tidak ada satu pun undang-undang yang diamalkan sekarang kecuali sekular adanya.

Cadangan Zaid Ibrahim atau persetujuan peguam untuk menubuhkan suruhanjaya melantik hakim adalah satu lagi hukum sekular yang cuba diterapkan oleh mereka yang berpendidikan undang-undang di Malaysia. Dalam sistem pemerintahan Islam, seorang hakim itu dilantik oleh ketua negara, yakni Khalifah, bukan melalui suruhanjaya.

Rasulullah merupakan seorang Ketua Negara yang memikul secara langsung urusan kehakiman dan baginda juga melantik orang lain sebagai hakim. Perbuatan baginda ini menunjukkan bahawa ‘hak dan kuasa’ untuk melantik hakim berada di tangan Ketua Negara, tidak pada yang lain. Rasulullah melantik Ali bin Abi Thalib sebagai hakim (qadhi) di Yaman. Rasulullah juga melantik Muaz bin Jabal sebagai qadhi di daerah Janad. Rasulullah juga pernah melantik Amr bin al-Ash untuk mengurusi urusan kehakiman. Terdapat banyak sekali dalil yang menunjukkan bahawa semua pelantikan hakim ini dijalankan oleh Rasulullah sebagai Ketua Negara.

Di dalam Islam terdapat 3 jenis hakim (qadhi) yang kesemuanya mesti dilantik oleh Ketua Negara. Dalam sistem pemerintahan Islam, Qadhi al-Muhtasib, Qadhi al-Khusumat dan Qadhi Mazhalim semuanya dilantik oleh Ketua Negara (Khalifah). Tidak ada langsung khilaf di kalangan mazhab tentang hal ini.

Inilah padahnya apabila yang menjadi pemimpin adalah golongan sekular dan yang menjadi pengamal undang-undang juga adalah mereka yang mendapat pendidikan sekular, walau dari universiti yang bergelar Islam sekalipun. Mereka sudah tidak dapat lari dari koridor sistem dan pemikiran sekular yang ada di tengah-tengah masyarakat pada hari ini dan itulah yang mereka amalkan.

0 comments: