KUCHING: Penjualan arak di Sarawak terutama di kawasan majoriti penduduk Islam akan diperketatkan mulai tahun ini, kata Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Industri) Datuk Daud Abd Rahman.
Beliau berkata, kertas cadangan memperketatkan penjualaan arak di Sarawak termasuk cadangan meminda undang-undang sedia ada atau merangka undang-undang baru sedang menunggu kelulusan pejabat Peguam Besar Negeri.
"Insya-Allah saya rasa kita (Pihak Berkuasa Tempatan) dapat laksanakan tahun ini selepas mendapat persetujuan dari Peguam Besar Negeri," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan majlis perarakan Mauludur Rasul di Jalan Matang di sini pada hari Sabtu.
Ditanya kenapa cadangan tersebut yang mula diutarakan pada 2006 masih tertangguh pelaksanaan, Daud berkata, tempoh yang lama itu ialah kerana pejabat Peguam Besar Negeri membuat kajian terperinci.
Sebelum ini Daud dipetik berkata, peraturan tersebut akan dilaksanakan di kawasan penduduk 80 peratus majoriti beragama Islam.
Sejak 2003 beberapa pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari penduduk majoriti Islam di sini telah mencadangkan agar undang-undang penjualan arak dipinda atau undang-undang baru digubal bagi membendung dengan lebih berkesan penjualan bahan itu secara haram.
Antara cadangan ialah menaikkan denda sehingga RM5,000 atau penjara setahun atau kedua-dua sekali bagi kesalahan menjual arak secara haram.
Buat masa ini, hukuman bagi kesalahan sedemikian ialah denda antara RM100 dan RM150 mengikut undang-undang kecil Majlis Perbandaran Kuching (Pelesenan Pelbagai Perniagaan) dan Majlis Daerah Luar Bandar Kuching (Pelesenan Pelbagai Perniagaan).
BERNAMA
Sumber: mSTAR Online 22/03/08
Ulasan:
Sarawak, khususnya Kuching sememangnya terkenal dengan tempat penjualan arak yang agak besar di Malaysia. Arak boleh didapati dengan mudah di mana-mana, baik di kedai-kedai yang menjualnya secara ‘sah’ mahupun di tepi-tepi jalan.
Sekali pandang, apa yang cuba di lakukan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan Pembangunan Industri) Datuk Daud Abd Rahman, adalah baik dan menggembirakan bagi umat Islam. Setidak-tidaknya, beliau prihatin dengan masalah arak yang haram ini. Namun, apabila dipandang dengan lebih mendalam lagi, maka kita melihat kesalahan yang jelas di dalam penerapan undang-undang untuk mengetatkan penjualan najis tersebut.
Apa yang sepatutnya dilakukan oleh Menteri Muda tersebut adalah menjelas dan mengingatkan umat Islam tentang keharaman arak. Jika yang terlibat adalah orang bukan Islam, maka mereka juga mesti diberi kesedaran bahawa arak adalah haram untuk orang Islam dan menurut Islam, siapa sahaja (sama ada Muslim atau kafir) adalah termasuk golongan yang dilaknat oleh Allah apabila dia terlibat dengan 10 aktiviti arak yang diharamkan. Mereka ini adalah:
1.Orang yang memerahnya.
2.Orang yang meminta diperahkan.
3.Orang yang meminum.
4.Orang yang membawa
5.Orang yang minta dihantarkan kepadanya.
6..Orang yang menuang.
7.Orang yang menjual
8.Orang yang makan harganya.
9.Orang yang membelinya.
10.Orang yang minta dibeli untuknya.
[Dari Hadis Riwayat Tarmidzi dan Ibnu Majah].
Cadangan untuk menaikkan jumlah denda bagi penjualan arak secara haram, manakala membiarkan arak yang dijual secara ‘sah’ bukanlah penyelesaian yang datangnya dari Islam. Rasulullah telah melaknat siapa sahaja yang menjual dan membeli arak kerana perbuatan ini adalah haram dan menyebat peminum arak. Dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a yang bermaksud,
”Rasulullah SAW telah menyebat orang yang minum arak sebanyak 40 kali sebatan, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak 40 kali sebatan juga, dan Saidina Umar menyebat sebanyak 80 kali sebatan. Semuanya adalah sunnah dan inilah yang paling aku suka”
Allah SWT berfirman,
“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (najis/keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu beroleh kejayaan” [Al-Maidah (5):90].
Dalam negara Islam Hadhari yang ada pada hari ini, macam-macam benda haram telah menjadi halal, dan hukuman yang berjalan semuanya mengikut akal manusia, bukan mengikut hukum Allah. Masya Allah! Walaupun penganut ajaran Islam Hadhari mengatakan Islam Hadhari bukan agama baru, Islam Hadhari bukan ajaran baru, Islam Hadhari bukan mazhab baru, namun ternyata semua yang dilakukan adalah perkara-perkara baru yang tidak pernah di lakukan oleh Rasulullah! Semuanya bertentangan dengan Al-Quran dan Sunah. Semuanya berlawanan dengan ajaran Islam yang di bawa oleh Rasulullah.
Inilah kesannya apabila Islam dan kehidupan itu disekularkan. Hukum Allah dibuang dan hukum akal dijadikan panduan. Pemerintah sekular yang beragama Islam begitu biadab dan begitu berani mengubah hukum Allah SWT.
Monday, March 31, 2008
Arak dalam negara Islam Hadhari
Labels: Dalam Negeri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment