Monday, March 31, 2008

Mashitah dan politik UMNO

DUNIA politik memang penuh dengan drama sedih, ketawa dan pengalaman yang boleh mematangkan seseorang manusia.

Bagi bekas ahli Parlimen Baling, Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, sesuatu yang dipelajarinya dalam politik ialah sahabat tidak kekal dan boleh berubah dalam sekelip mata.

Dalam pertemuan dengannya sempena Sambutan Maulidur Rasul di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini, Dr Mashitah seperti biasa sentiasa menguntum senyuman walaupun mengakui masih dalam kejutan.

Beliau bersyukur kerana masih diterima dalam kerajaan walaupun tidak mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU), baru-baru ini.

"Saya gembira kerana masih dapat menabur bakti kepada masyarakat terutama umat Islam apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Namun, saya banyak belajar asam garam dunia politik yang menuntut banyak pengorbanan, kesabaran dan tidak mudah mengalah," katanya.

Menurutnya, pengalaman disisih rakan karib sebaik tidak dicalonkan dalam pilihan raya baru-baru ini memang memberi pengajaran berguna.

Penyokong yang selama ini berdiri di belakangnya turut menjauhkan diri.

"Ketika itu saya kenal siapa kawan sejati kerana ada yang enggan berjumpa apabila nama saya tidak dicalonkan.

"Saya menangis bukan kerana kehilangan jawatan tetapi sikap rakan karib dan penyokong yang tidak ikhlas.

"Saya memang tertekan dengan sikap rakan-rakan dan penyokong tetapi suami banyak memberi semangat," katanya.

Dr Mashitah, 43, bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa ini berkata, pengalaman mentarbiah orang ramai menerusi kuliah dan syarahannya menjadi landasannya bermuhasabah diri sendiri.

"Ayah pernah berkata, jangan bersedih jika sudah kerja kuat dan melakukan yang terbaik selain memelihara akhlak baik.

"Allah akan ganti dengan lebih baik sebab Yang Maha Esa ada perancangan tersendiri yang kita tidak tahu hikmah di sebaliknya.

"Apabila pengumuman saya menyertai Kabinet, saya mengakui kata-kata ayah benar," katanya.

Namun, benar bahawa politik memang penuh dengan kejutan kerana selepas itu saya menerima lebih 250 Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang memberi tahniah.

"Lucunya, ada antara SMS itu daripada mereka yang menyisihkan saya sebelum ini.

"Apa pun, saya anggap itu adat dunia dan pengalaman itu mematangkan saya menjadi lebih kuat," katanya.

Beliau berkata, kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikannya semangat untuk memberikan yang terbaik kepada agama, bangsa dan negara.

"Saya berjanji kepada Pak Lah dan diri sendiri untuk melakukan yang terbaik," katanya.

Mengenai dakwaan beliau gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Baling, Kedah, beliau berkata, itu tidak benar.

"Semua laporan sampai ke tangan Pak Lah. Masyarakat tahu saya sering turun padang tetapi perkara itu tidak perlu dihebohkan.

"Saya buat kerja kerana Allah dan bukan kerana kehendak orang. Tetapi, saya akur kita tidak boleh memuaskan semua pihak," katanya.

Dr Mashitah berkata, tugasnya selepas itu ialah memastikan program Islam Hadhari dapat dilaksanakan dengan lancar selain mengumpul golongan profesional berlatarbelakangkan agama.

"Untuk mengembalikan keyakinan rakyat, perlu ada kesungguhan daripada semua pihak. Inilah cabaran yang hebat buat saya.

"Ia memerlukan kekuatan mental dan pengalaman sepenggal sebagai ahli parlimen memudahkan tugas ini," katanya.

Tambahan lagi, katanya, bersandarkan hanya beberapa kerat barisan kepemimpinan wanita dalam kabinet, beliau merasakan tugas besar menunggunya menjulang kegemilangan Islam Hadhari satu penghormatan buat golongan wanita.

"Saya bertuah kerana bakal bekerjasama dengan 'bos' yang begitu keterbukaan sifatnya (merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi).

"Sesuatu yang saya pelajari, dalam politik saya akan lebih berhati-hati kerana kita sentiasa menjadi perhatian masyarakat.

"Apa pun yang akan berlaku selepas ini, saya serah kepada Allah kerana yang penting saya akan melakukan yang terbaik sebagai amanah yang diberikan," katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Hati/20080321220456/Article/index_html

Ulasan:

Mashitah atau lebih dikenali sebagai Ummu Hadhari ini nampaknya baru sedar dan mula mengakui betapa ‘kejinya’ politik UMNO. Walaupun bahasa yang digunakan untuk ‘menghentam’ orang UMNO masih berlapik-lapik kerana takutkan ‘big bos’nya mungkin menarik balik jawatan yang diberi, namun setiap orang yang waras akan memahami bahawa amalan politik dalam UMNO sesungguhnya penuh kekejian. Siapa lagi ‘penyokong’ yang dimaksudkan Mashitah jika bukan dari kalangan kawan-kawannya dari dalam UMNO? Takkanlah yang dimaksudkan Mashitah adalah penyokongnya dari parti PAS, atau dari parti pembangkang yang lain?

Ya, siapa tidak tahu, inilah politik kufur! Politik yang hanya berlandaskan ‘manfaat’. Jika ada manfaat, maka siapa sahaja boleh menjadi kawan, bila dah tidak ada manfaat, boleh belah! Namun, jika orang yang ‘boleh belah’ tadi boleh mendatangkan manfaat semula, maka dia boleh dijadikan kawan semula. Manfaat merupakan asas kepada segala-galanya di dalam politik kufur yang diamalkan hari ini. Namun, apa yang lebih menjengkelkan kita ialah, walaupun menyedari betapa keji dan hinanya politik yang diamalkan oleh parti pemerintah sekarang, namun Ummu Hadhari ini tetap memilih untuk bersama parti pemerintah yang sekular ini.

Apa pun kata dan perbuatan orang, namun bekas pensyarah UIA ini nampaknya tetap memilih ingin bersama UMNO dan terus menjadi pengampu kepada Islam Hadhari yang semakin tidak diterima umat Islam di Malaysia ini.

Amat menyedihkan juga adalah apabila beliau menyatakan bahawa beliau akan melakukan yang terbaik sebagai amanah yang diberikan. Amanah apa yang Dr Mashitah akan lakukan yang terbaik? Amanah jawatan (yang diberi) untuk memerintah dengan hukum kufur sekular? Sayang seribu sekali sayang apabila orang yang berpendidikan agama yang tinggi merelakan diri untuk diperkudakan oleh pemerintah sekular yang ada!

0 comments: