Monday, March 31, 2008

Kerajaan perlu bertaubat, bukan sekadar memohon maaf

PULAU PINANG, 26 Mac (Bernama) -- Pemulihan badan kehakiman perlu diberi keutamaan khusus berbanding pelbagai perubahan lain yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan dalam usaha memulihkan keyakinan orang ramai terhadap institusi keadilan, kata Pemangku Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Beliau berkata dalam mengenal pasti dan memenuhi hasrat serta harapan rakyat Malaysia seperti yang mereka zahirkan melalui pilihan raya umum 2008, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempamerkan diri beliau sebagai seorang pemimpin yang responsif dan bertanggungjawab terhadap semua rakyat.

"Memohon maaf kepada hakim-hakim yang telah digantung atau dipecat 20 tahun lepas merupakan langkah yang baik sebagai permulaan, seperti yang dicadangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baru Datuk Zaid Ibrahim.

"Tapi, apa yang lebih penting ialah langkah konkrit perlu diambil dengan secepat mungkin dan dilihat dilaksanakan ke arah memulihkan kewibawaan, integriti dan kredibiliti badan kehakiman di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari Rabu.

Koh berkata demikian bagi mengalu-alukan ikrar Perdana Menteri sebelum ini untuk mempercepatkan pelaksanaan pelbagai perubahan yang dijanjikan pada pilihan raya umum 2004, tetapi belum dilaksanakan sepenuhnya.

Beliau juga menyambut baik dan menyokong cadangan Zaid tentang penubuhan sebuah suruhanjaya yang bertanggungjawab bagi pelantikan anggota badan kehakiman.

Selain bidang kehakiman, prestasi pasukan polis dalam tugas pencegahan jenayah dan pendakwaan juga perlu dipertingkatkan, kata beliau.

"Langkah memperkenalkan pakaian seragam baru bagi anggota polis hanya merupakan perubahan daripada segi luaran. Apa yang diperlukan ialah semangat baru dan pembaharuan komitmen untuk meningkatkan keselamatan bagi semua pihak.

"Badan kehakiman yang berwibawa serta keselamatan yang terjamin merupakan dua faktor asas paling penting bagi menarik keyakinan rakyat serta pelabur agar kita dapat terus menikmati keamanan dan kemakmuran," kata beliau.

Sumber: BERNAMA 26/03/2008

Ulasan:

Pemecatan Tun Salleh Abbas adalah bukti bahawa institusi kehakiman tidak dapat berfungsi dengan berkecuali. Setiap hakim yang tidak ‘menurut kata’ kerajaan di dalam sesuatu perbicaraan harus bersedia untuk menerima akibat buruk sesudah itu. Ini menyebabkan mana-mana hakim yang tinggal akan takut kehilangan jawatan dan akan memberi keputusan sesuai dengan ‘kehendak’ kerajaan.

Namun, kita haruslah ingat bahawa isu yang ditimbulkan sebenarnya bukanlah sesuatu yang datangnya kerana kesedaran Islam bahawa kerajaan telah banyak melakukan selama ini, tapi ia hanya dicetuskan sekadar sebagai usaha untuk memulihkan reputasi kerajaan yang telah lama tercemar dan sebagai usaha untuk mengembalikan semula sokongan rakyat kepada mereka. Ia juga hanyalah sekadar usaha untuk memulihkan badan kehakiman sekular yang sudah pun hancur berkecai dan tidak dipercayai rakyat lagi dengan pelbagai skandal yang berlaku selama ini. Sejak sekian lama badan kehakiman di Malaysia adalah badan yang menjunjung tinggi undang-undang kufur ciptaan manusia yang jelas-jelas bertentangan dengan syariat Islam.

Cadangan Zaid Ibrahim agar kerajaan meminta maaf kepada Tun Salleh Abbas berhubung pemecatannya dahulu boleh mengundang pelbagai soalan. Kenapa permohonan maaf hanya ditujukan kepada Salleh Abbas, sedangkan ramai lagi hakim lain yang dipecat selama ini kerana ‘tidak sehaluan’ dengan kerajaan. Kerajaan juga bukan sahaja berdosa kepada Salleh Abbas, malah kerajaan berdosa dengan seluruh umat Islam kerana tidak menerapkan hukum Allah di dalam pemerintahan. Kerajaan bukan sahaja mesti memohon maaf, malah mesti dihukum kerana tidak berhukum dengan hukum Allah dan Rasul sejak 50 tahun lepas.

Kegagalan kerajaan menerapkan syariat Islam walaupun sudah 50 tahun merdeka merupakan dosa terbesar kerajaan yang belum tentu diampunkan oleh Allah SWT. Jadi, sudah masanya kerajaan bertaubat dan memohon ampun kepada Allah Azza wa Jalla, dan berusaha menerapkan hukum Allah secara kaffah agar mereka selamat di akhirat kelak dari azabNya.

0 comments: