MUAR: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-12, perlu didokumentasikan supaya menjadi rujukan, sekali gus sebagai dorongan untuk kerajaan terus memajukan negara ke tahap lebih tinggi.
Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata manifesto itu membuktikan kerajaan BN tidak pernah mengambil mudah soal pembangunan negara dan kebajikan rakyat.
Katanya, manifesto itu adalah satu inisiatif yang dirancang akan dilaksanakan BN dalam tempoh lima tahun akan datang yang menjadi komitmen kerajaan mentadbir negara.
"Manifesto yang didokumenkan menunjukkan kerajaan tidak berdolak dalik dan kita berpegang kepada manifesto itu yang juga menjadi pendorong atau semangat untuk kita terus mendokong pembangunan negara," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama masyarakat dan melawat bilik gerakan jentera BN di Batu 23, Lenga, di sini, semalam.
Turut mengiringi beliau calon baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak, Dr Shahruddin Salleh.
Muhyiddin berkata, manifesto itu adalah janji BN untuk mengangkat martabat negara dan rakyat ke peringkat lebih tinggi dalam usaha kesinambungan pembangunan sosio ekonomi, selain mementingkan kebajikan masyarakat.
"Ini adalah janji dan jaminan yang penting dan kita berharap rakyat akan sedar kerana berbanding manifesto parti pembangkang yang tidak tidak dapat dikotakan," katanya.
Katanya, berbeza dengan janji parti pembangkang yang sebelum ini mahu menubuhkan negara Islam dan selepas tidak mendapat sokongan semua rakyat kemudian mengalih kepada mahu menubuhkan negara kebajikan yang boleh menjadikan negara ini muflis.
Sumber: Berita Harian 27/02/08
Ulasan:
Negara merupakan satu entiti yang penting. Ia termasuk soal survival sebuah masyarakat. Agenda membentuk sebuah negara bukan perkara yang remeh tetapi suatu yang perlu dititikberatkan hingga ke tahap perinciannya. Manifesto hanyalah garis kasar yang menggambarkan aspirasi suatu pihak kepada pihak lain agar ianya dijadikan aspirasi umum. Lumrah dalam ‘politik manfaat’ ala Machievally, ia akan didedahkan setiap kali musim pilihan raya, bertujuan untuk menabur segala janji manis bagi memerangkap pengundi agar mengundi parti-parti yang bertanding.
Rasulullah berjaya membina sebuah negara dengan membawa Al-Quran. Tiada pembangunan, baik dari segi fizikal mahupun modal insan, yang dijanjikan, namun Rasulullah berjaya membina sebuah Negara yang maju dan bertamadun. Berbanding manifesto yang dibawa parti-parti yang bertanding, kesemuanya disusun oleh akal manusia yang terbatas, yang menjadikan ‘manfaat kebendaan’ sebagai asas untuk menabur janji kepada para pengundi. Pemikiran manusia (akal) sentiasa terbatas kepada tempat, suasana, ruang dan waktu yang tertentu dan tolok ukur ‘manfaat’ menjadi pegangan utama. Sedangkan umum mengetahui, secara rasional, akal tidak dapat memberikan jaminan kebahagiaan yang berkekalan. Ini berbeza dengan wahyu, yang apabila dijadikan rujukan, maka manusia akan sentiasa beroleh rahmat, tanpa mengira masa dan tempat dan kekal pula kebahagiaan yang akan diperolehi manusia hingga ke akhirat. Manakala manifesto yang hanya berpijak atas kegeniusan manusia dan dibuat semata-mata untuk menarik undi, tidak akan mampu mengembalikan manusia kepada fitrahnya yang sebenar, apatah lagi untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Dalam pada umat Islam ghairah dan sibuk bermanifesto memancing undi, hukum Jahiliyyah di Malaysia terus berjalan...
“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki walhal (hukum) siapakah yang baik dari hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah (5):50]
Semua dasar yang menjadi pegangan dan amalan sesebuah negara akan baik dan sempurna jika yang dirujuk adalah Al-Quran, bukannya manifesto. Pemerintahan sesebuah negara akan diberkati Allah jika ia lahir dari akidah yang mematuhi konsep perintah dan larangan Allah swt. Akidah dan aturan Islam ini bukan perlu di ada-adakan sebagai alat untuk meraih undi dari rakyat, tetapi ia merupakan sebuah kewajipan yang mesti dimanifestasikan dalam kehidupan seluruh hamba Allah di muka bumi ini. Kesempurnaan dan keagungan syari'ah yang telah diterapkan di sepanjang sejarah pemerintahan Islam terpampang abadi, walaupun tiada manifesto dibuat mengenainya. Ternyata, walau telah beratus muka surat manifesto yang disediakan sejak 50 tahun lepas, akal manusia yang membelakangkan hukum Allah tidak akan mampu mengembalikan kegemilangan Islam seperti mana yang pernah dipaparkan oleh Khilafah Islamiyyah sepanjang 13 kurun bertapak di atas muka bumi, tanpa satu manifesto pun.
Sunday, March 2, 2008
Manifesto dirujuk Al-Quran ditinggal
Labels: Pilihanraya 12
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment