Sunday, March 2, 2008

Selamat, Aman dan Makmur dengan Sistem Sekular?

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam melancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-12 dengan misi dan visi untuk membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih selamat, aman dan makmur.

Lapan perkara menjadi tunjang dan ikrar manifesto bertemakan Selamat, Aman dan Makmur itu, disertakan dengan laporan kemajuan yang dilaksanakan Kerajaan BN sejak 2004 hingga 2007.

Ia menyenaraikan 76 pencapaian kerajaan BN dalam tempoh empat tahun lalu serta 61 ikrar untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang, dirangkum di bawah lapan perkara iaitu ekonomi; pembangunan seimbang; pendidikan; undang-undang dan keselamatan awam; perkhidmatan awam; membanteras rasuah dan meningkatkan urus tadbir; agama dan perpaduan; serta dasar luar negara.

Manifesto itu juga memperincikan tindakan yang diambil bagi meringankan beban kenaikan harga barang, meningkatkan pendapatan bersih serta memastikan tiada rakyat yang terpinggir selaras konsep BN kerajaan prihatin.

Berucap melancarkan manifesto itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Perdana Menteri berkata, janji BN adalah realistik dan bertanggungjawab serta dibuat berasaskan kesedaran bahawa gabungan 14 parti komponen itu bertanggungjawab melaksanakannya.

"Bukan janji-janji kosong sekadar nak menghiburkan rakyat, bukan janji-janji yang tak ada tanggungjawab, bukan janji-janji yang kosong, kita bukan begitu.

"Kita tahu pembangkang mengemukakan pelbagai janji... membayangkan satu sikap yang sebenarnya terdesak. Pas dengan manifestonya, DAP dengan manifestonya... sebenarnya ini satu pakatan main-main saja," katanya.

Hadir sama ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta pemimpin parti komponen BN lain.

Dalam manifesto 24 halaman itu, BN antara lain berikrar akan membantu sejuta syarikat Industri Kecil dan Sederhana (PKS) serta menjana lebih dua juta peluang pekerjaan yang bermutu dalam masa lima tahun.

BN juga berikrar akan meningkatkan penyediaan rumah bermutu pada harga yang mampu dibeli, meningkatkan liputan bekalan elektrik di kawasan luar bandar di Sabah kepada 81 peratus dan 90 peratus di Sarawak menjelang 2010.

Pendekatan 'Kelantan Baru, Kelantan Maju' pula berhasrat memastikan berlangsungnya pembangunan berkualiti dan mutu kehidupan yang lebih baik bagi penduduk di negeri itu.

BN turut berjanji untuk menaikkan tahap kelayakan minimum guru dan menyediakan lebih banyak peluang latihan, memelihara kedudukan sekolah jenis kebangsaan, mengurangkan indeks jenayah dan menangani isu pendatang asing serta meningkatkan kepelbagaian etnik dalam perkhidmatan awam.

Gabungan 14 parti komponen itu juga berikrar meneruskan usaha memerangi rasuah tanpa gentar dan pilih kasih serta meningkatkan usaha dialog mengenai isu antara agama melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Mengenai dasar luar pula, BN antara lain akan menggalakkan kerjasama strategik antara Barat dengan dunia Islam untuk memajukan agenda ekonomi di bawah Deklarasi Makkah 2005.

Menghuraikan manifesto itu, Abdullah yang juga Pengerusi BN, berkata pencapaian dan ikrar BN itu adalah untuk melahirkan Malaysia yang lebih selamat, aman dan makmur.

"Ini jelas membuktikan komitmen BN terhadap janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum 2004 dan kita pegang kuat kepada Misi Nasional untuk menjayakan apa yang dijanji.

"Banyak yang sudah kita lakukan dalam membawa kemajuan. Jika nak diambil kira semua, lebih banyak daripada 76 perkara ini dan lebih tebal daripada buku manifesto ini," katanya.

Beliau berkata, rancangan pembangunan kerajaan BN mengutamakan kesejahteraan rakyat dan untuk memajukan negara.

"Manifesto ini dihasilkan dengan gabungan kekuatan parti-parti komponen BN yang mewakili semua kaum.

Kita beri janji dan banyak telah kita laksanakan.

"Namun usaha perlu kita teruskan untuk selesaikan perjuangan yang dimulakan. Janji tetap kita laksanakan," katanya yang turut melancarkan laman web kempen BN untuk pilihan raya ini - www.bn2008.org.my.

Abdullah berkata, teras tindakan BN ialah komitmen yang tidak boleh dikalahkan oleh masalah, rintangan atau cabaran, yang akan dilaksanakan sedaya upaya untuk menjadikan Malaysia dan rakyatnya lebih hebat.

"Kita berjanji akan terus berkerja bersama rakyat dan berjanji dalam apa juga perbelanjaan, kita akan tetap berhemah... tidak belanja wang ikut suka tapi dengan penuh hemah. Ini sebenarnya cara kita urus kewangan negara hingga kita dapat kejayaan dalam pelbagai bidang.

"Malah, ketika kerajaan BN memberi subsidi dan jimat dalam perbelanjaan, negara masih boleh mencapai kejayaan pembangunan dalam pelbagai bidang. BN juga mempunyai pengalaman 50 tahun membangunkan negara dan menyelesaikan masalah," katanya.

Perdana Menteri berkata, BN berjanji akan terus bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan apa yang dikehendaki rakyat bagi kesenangan mereka dan kemakmuran negara akan dilaksanakan sebaik-baiknya.

BN berpegang kepada komitmen bahawa tidak siapa akan dipinggirkan dan apa juga yang dilakukan adalah untuk semua tanpa mengira kaum.

Beliau berharap BN akan mendapat mandat dan sokongan rakyat agar segala kejayaan yang diperoleh selama ini dapat terus ditingkatkan pada masa depan.

"Insya-Allah dengan kerjasama rakyat dan mandat itu, kita akan capai matlamat untuk menjadikan negara ini cemerlang, gemilang dan terbilang," katanya.

Sumber: Berita Harian 26/02/08

Ulasan:

BN telah mengeluarkan manifesto pilihan raya bertemakan Selamat, Aman dan Makmur sebagai gula-gula kepada rakyat untuk memancing undi, di samping beberapa habuan material lain yang bakal disogokkan untuk mengundi BN. Parti pemerintah ini seperti buta dan tuli bahawa kadar jenayah di Malaysia semakin meningkat dari hari ke hari, harga barangan semakin meningkat dan sudah berapa lama rakyat hidup dengan tidak selamat, tidak aman dan kemakmuran semakin terjejas.

Satu-satunya cara untuk masyarakat menjadi selamat dan makmur hanyalah dengan bersistem dengan sistem Islam yang mana ia berasal dari Allah sendiri sebagai Rabb yang mengatur manusia, alam dan kehidupan. Sistem Islam telah terbukti membawa umat manusia ke arah peradaban dan kemakmuran sejati berabad lamanya. Dalam aspek penjagaan masyarakat, keharmonian hidup bermasyarakat benar-benar terjaga di mana Islam mempunyai kaedah yang unik dan sempurna yang mana:-

(a) Islamlah satu-satu ideologi yang memiliki tujuan murni untuk menjaga masyarakat dengan sistem Islam
(b) Jaminan dari segi kualiti hidup berekonomi dalam masyarakat.

Syeikh Taqiyuddin semasa membincangkan bab sosiologi, menghuraikan,

"...tujuan-tujuan murni untuk menjaga masyarakat bukan ditentukan oleh manusia, akan tetapi berasal dari perintah-perintah Allah dan larangan-larangan-Nya. Sistem ini selalu tetap keadaannya, tidak akan berubah atau berkembang. Oleh karena itu, menjaga keturunan manusia (jalur nasab), menjaga akal, kehormatan, jiwa, pemilikan individu, agama, keamanan dan negara, adalah tujuan-tujuan murni yang tetap, yang tidak akan berubah ataupun berkembang. Untuk menjaganya ditetapkan hukuman yang tegas dengan adanya hukum-hakam yang menyangkut hudud dan uqubat (jinayah, hudud, takzir, mukhalafat) untuk memelihara tujuan-tujuan yang bersifat baku tadi." [Nizhamul Islam, bab Qiyadah Fikriyyah]. Sila rujuk SN083

Dari segi ekonomi pula keperluan asas individu rakyat (basic needs) seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal telah dijamin berasaskan hukum-hakam syarak yang tetap dan jelas, manakala hak asas rakyat (basic rights) seperti pendidikan, kesihatan dan keselamatan juga wajib disediakan secara percuma kepada rakyat oleh negara.

Jaminan kualiti hidup masyarakat bukanlah satu bahan retorik atau gula-gula dalam manifesto pilihan raya, tetapi ianya adalah kewajiban yang telah ditentukan oleh Allah kepada manusia yang bergelar pemerintah sebagaimana dijelaskan oleh hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam,

“Seorang imam (pemimpin) adalah pemelihara dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap rakyatnya” [HR Bukhari dan Muslim].

Namun sebahagian besar rakyat yang ada pada hari ini ternyata terancam dan tidak mendapat jaminan sewajarnya dari segi sosial dan ekonomi. Hanya segelintir orang sahaja yakni para pemerintah dan juga kaum Kapitalis yang akan ‘terjaga’ kesejahteraan mereka manakala yang lain terus menderita. Kucar-kacir ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana manusia mengambil sistem lain selain dari sistem Ilahi. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala,

“Barang siapa yang berpaling dari peringantanKu maka baginya penghidupan yang sempit”
[TMQ Al-Taaha (20):23].

Wahai mereka yang berakal! Cuba fikirkan - Selamat, aman dan makmurkah bumi Allah ini apabila yang memerintah adalah sistem kufur-sekular? Jika ada yang merasa selamat dan aman di dunia ini sekalipun, selamatkah mereka dengan azab Allah di akhirat kelak dengan sistem kufur yang mereka terapkan?

0 comments: