Showing posts with label Pilihanraya 12. Show all posts
Showing posts with label Pilihanraya 12. Show all posts

Sunday, March 9, 2008

Hukum melibatkan diri di dalam pilihan raya

Pada 8hb Mac ini, rakyat Malaysia akan keluar mengundi. Dalam kesibukan pilihan raya ini, timbullah di kalangan kaum Muslimin di Malaysia pelbagai pandangan mengenai urusan ini. Fatwa dan pandangan terdengar di sana-sini mengenai pilihan raya dan hukum melibatkan diri dengannya. Ada yang mewajibkannya, dengan menggunakan pelbagai dalil bagi menggalakkan rakyat untuk keluar mengundi dan ada yang mengharamkannya kerana mengikut dakwaan mereka perkara ini tidak pernah ada pada zaman Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam. Bagi menjawab persoalan mengenai hukum melibatkan diri dengan proses pilihan raya, kami akan membawa/menjelaskan realiti pilihan raya itu sendiri yakni pilihan raya yang diamalkan dalam sistem demokrasi sekarang ini dan seterusnya menjelaskan dalil-dalil syarak mengenainya.

Adapun hukum asal pilihan raya dalam Islam adalah mubah (harus). Ini kerana ‘pilihan raya’ (intikhab) yang dijalankan dalam Islam, sebagaimana yang berlaku pada zaman Rasulullah hanyalah (bertujuan) untuk memilih wakil bagi mewakili kaum masing-masing (waktu itu Aus dan Khazraj), manakala pada zaman Khulafa’ Rasyidin, intikhab dilakukan untuk memilih Khalifah itu sendiri dan juga untuk memilih wakil dalam Majlis Syura (Majlis Umat). Perlu difahami dan dibezakan di sini fungsi Majlis Ummat adalah untuk muhasabah pemimpin dan musyawarah antara mereka serta memberi masukan/input kepada pemerintah. Majlis Syura ini bukannya majlis untuk membuat/menggubal undang-undang atau merubah undang-undang. Ia berbeza sama sekali dengan realiti pilihan raya yang ada dalam sistem demokrasi sekarang.

Bertolak dari sini, kita mestilah memahami dan membezakan realiti intikhab di masa Rasulullah dengan realiti intikhab dalam sistem demokrasi yang ada sekarang. Untuk mengetahui hukum syarak mengenai masalah pilihan raya sekarang, kita perlulah mengkaji terlebih dahulu realitinya (tahqiq al-manath). Yang pertama sekali, kita mestilah faham perbezaan di antara ‘pilihan raya’ dan ‘demokrasi’ itu sendiri. Pilihan raya tidak sama dengan demokrasi dan demokrasi tidak sama dengan pilihan raya. Pilihan raya hanyalah salah satu cara/uslub dalam sistem demokrasi untuk memilih wakil (bukan memilih pemimpin). Manakala demokrasi pula adalah sebuah sistem pemerintahan di mana hak membuat undang-undang berada di tangan manusia. Hukum pilihan raya adalah berbeza dengan hukum demokrasi. Hukum demokrasi jelas haram dalam Islam berdasarkan nas-nas yang qath’i.

Seperkara lagi yang perlu difahami dan dibezakan adalah ‘suara majoriti’. Suara majoriti tidak sama dengan demokrasi dan tidak sama dengan pilihan raya. Suara majoriti tidak salah untuk diambil dalam membuat sesuatu keputusan yang bersifat mubah (harus), contohnya majoriti bersetuju melantik A sebagai pemimpin atau majoriti bersetuju untuk pergi ke suatu tempat dengan menaiki bas. Namun suara majoriti akan menjadi haram apabila yang disepakati adalah bertentangan dengan hukum syarak. Contohnya majoriti bersetuju untuk merejam penzina dengan 6 kali sebatan, atau majoriti bersetuju untuk memenjarakan seorang pencuri, atau majoriti bersetuju untuk menghalalkan sistem perbankan riba. Dalam aspek menggubal undang-undang, suara majoriti juga menjadi haram walaupun yang dipersetujui (secara majoriti) adalah suatu yang bertepatan dengan hukum syarak. Contohnya majoriti bersetuju untuk gubal undang-undang bahawa solat itu wajib atau puasa itu wajib atau riba itu haram. Ini kerana kewajipan solat dan puasa dan keharaman riba adalah datang dari Allah sebagai Zat Pembuat undang-undang. Jadi, tidak kira sama ada majoriti bersetuju atau tidak, solat tetap wajib dan riba tetap haram. Ia bukan untuk disetujui atau diundi oleh manusia. Ia (hukum syarak) adalah untuk dilaksanakan oleh manusia. Manusia tidak ada sebesar zarah pun hak untuk mencadangkan, apatah lagi menggubal dan mengundi hukum Allah untuk diluluskan secara majoriti.

Pilihan raya yang dijalankan dalam sistem demokrasi hakikatnya adalah merupakan pemilihan wakil untuk ke Parlimen/DUN untuk menggubal undang-undang. Dengan kata lain ia adalah pemilihan ahli-ahli majlis tasyri' yakni majlis yang akan membuat undang-undang. Jadi, majlis perwakilan (wakil Parlimen atau wakil DUN), fungsi utama mereka (apabila menang) adalah berada dalam majlis tasyri' untuk membuat undang-undang. Autoriti majlis ini adalah untuk menggubal undang-undang, meminda dan menghapuskannya dengan suara majoriti. Inilah tahqiq al-manathnya. Oleh yang demikian (setelah jelas akan realitinya), maka barulah hukum syarak bagi realiti ini digali untuk diselesaikan. Sehubungan itu, kami akan menjelaskan hukum syarak mengenai penyertaan di dalam pilihan raya dan juga kedudukan mereka yang berdalil dengan suara majoriti dalam sistem demokrasi ini.

Pilihan raya hakikatnya merupakan suatu bentuk perwakilan (wakalah). Oleh itu, ia haruslah mematuhi semua syarat-syarat dan rukun akad wakalah agar akad ini menjadi akad yang sah di sisi syarak. Wakalah melibatkan beberapa aspek yakni (i) ijab dan kabul (ii) pihak yang diwakili (muwakkil) (iii) pihak yang menjadi wakil (wakil) (iv) perkara yang harus dilakukan oleh wakil dalam urusan perwakilan ini dan (iv) bentuk (sighah) perwakilan tersebut.

Majlis perwakilan, berdasarkan peruntukan di dalam perlembagaan di kebanyakan negeri kaum Muslimin (di Malaysia di kenali sebagai Parlimen dan DUN), bertanggungjawab menjalankan beberapa fungsi utama. Antaranya adalah menggubal undang-undang, melantik ketua negara atau membatasi calon-calon ketua negara, memberikan kepercayaan penuh kepada pemerintah (dalam urusan pemerintahan), mengesahkan pelbagai undang-undang, persetujuan dan perjanjian serta mengawasi dan memuhasabah pemerintah negara.

Adapun mengenai penggubalan undang-undang, ia merupakan aktiviti yang tidak dibolehkan (haram) bagi seorang Muslim untuk melakukannya, tidak kira sama ada ia terlibat secara langsung dalam penggubalan ataupun terlibat dalam pengundian (sokong atau tidak), meskipun undang-undang yang digubal itu ‘selari’ dengan hukum Islam yang mulia (sebagaimana dijelaskan di atas). Ini adalah kerana, ketika hukum Islam diambil dan dirujuk, ia didasari dengan dalil syarak yang terpancar dari aqidah Islam yang diwahyukan Allah. Seseorang Muslim tidak dibolehkan membuat undang-undang, tetapi kewajiban mereka hanyalah untuk menerima dan menerapkan syariat Allah sahaja dan bukan yang lain, tidak kira sama ada ia dipersetujui secara majoriti atau tidak. Hukum Allah (apatah lagi hukum kufur) bukan untuk dibuat, diundi dan diluluskan dengan majoriti. Oleh itu, hak untuk membuat undang-undang (hukum) hanyalah terletak pada Allah semata-mata. Tidak ada sesiapapun yang berhak meletakkan dirinya setara dengan Allah ‘Azza wa Jalla dalam membuat undang-undang. Allah berfirman:

“…hanya Allah jualah yang menetapkan hukum…..” [TMQ Al-an’aam (6) :57]

“Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa di hati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya” [TMQ Al-Nisa’ (4):65]

“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: "Ini halal dan ini haram", untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah; sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya” [TMQ Al-nahl (16) :116]

Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam juga bersabda kepada Adi bin Hatim,

“Tidakkah mereka itu menghalalkan bagi mereka apa yang telah diharamkan (oleh Allah) dan mengharamkan apa yang telah dihalalkan?, dan Adi berkata, ‘ya’, maka Rasulullah berkata, ‘Maka mereka itu telah menyembah (rahib dan pendeta) mereka”

Peristiwa ini berlaku ketika Rasulullah membacakan ayat di bawah kepadanya.

“Mereka menjadikan pendita-pendita dan rahib-rahib (ahli-ahli agama) mereka sebagai tuhan-tuhan selain dari Allah” [TMQ Al-Taubah (9) :31]

Hakikatnya, Majlis Perwakilan (Parlimen/DUN) ini adalah majlis yang hanya menjadikan demokrasi Barat sebagai ikutannya. Ia menjadikan prinsip ‘kedaulatan di tangan rakyat’ sebagai prinsip utama. Prinsip ini meletakkan rakyat (manusia) sebagai satu-satunya institusi yang boleh menentukan hukum ke atas benda dan perbuatan, sama ada baik atau buruk. Manusia yang diwakilkan itu (wakil rakyat)lah yang berhak menentukannya, dan ia (undang-undang) hanya ditentukan semudah dengan suara majoriti. Apa yang dilihat oleh majoriti (wakil) rakyat sebagai buruk, maka buruklah ia dan apa yang dilihat oleh majoriti (wakil) rakyat sebagai baik, maka baiklah ia. Prinsip ini dijadikan sebagai autoriti yang tertinggi dalam demokrasi, sistem kufur yang bertentangan seratus peratus dengan Al-Quran dan Sunnah.

Adapun dalam memberikan kepercayaan kepada pemerintahan sekular yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan Allah, memilih pemimpin negara serta mengesahkan pelbagai undang-undang, perjanjian dan persetujuan, seorang Muslim tidak dibolehkan terlibat dengannya. Seorang Muslim tidak boleh meletakkan kepercayaan kepada pemerintah yang memerintah dengan selain dari hukum Allah. Seorang Muslim juga tidak boleh terlibat dalam mengesahkan apa-apa perjanjian yang dibuat atas dasar kufur kerana ini akan menyebabkan kaum kuffar diberikan jalan-jalan untuk menguasai negeri kaum Muslimin. Dalam hal ini, Allah berfirman:

“...dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk (menguasai) orang-orang yang beriman” [TMQ Al-Nisa’ (4) :141]

Mengenai fungsi mengawasi negara dan memuhasabah para pemerintah, ini merupakan suatu kewajiban syarak ke atas kaum Muslimin dalam menjalankan tanggungjawab amar ma’ruf nahi mungkar. Ini adalah merupakan hak dan kewajiban majlis perwakilan untuk menjalankannya. Oleh itu (untuk hak dan tanggungjawab ini dijalankan oleh seseorang ahli majlis perwakilan), terdapat syarat-syarat syar’i yang perlu dipenuhi sekiranya seseorang ingin mencalonkan dirinya untuk pilihan raya (majlis perwakilan) pada hari ini. Pencalonan hendaklah berpandukan kepada syarat –syarat ini, namun ia (syarat-syarat ini) tidak boleh dijadikan sebagai kebenaran (untuk pencalonan) secara mutlak. Syarat-syarat tersebut adalah:-

(1) Dia mestilah mengisytiharkan dengan jelas dan lantang (tidak cukup dengan niat dan tidak dibolehkan berpura-pura) bahawa ia menolak sistem kapitalisme Barat dan kesemua sistem kufur.

(2) Dia mestilah mengisytiharkan bahawa fungsinya di Parlimen (jika menang) adalah untuk mengubah sistem kufur dan menggantikannya dengan sistem Islam.

(3) Dia akan berkempen hanya dengan apa yang diambil dari Al-Quran dan Sunnah Rasul.

(4) Dia mestilah mengisytiharkan bahawa dia akan menggunakan Parlimen sebagai platform untuk berdakwah kepada Islam.

(5) Dia tidak akan masuk dalam pencalonan (parti) sekular, mahupun bekerjasama dengan mereka, kerana mereka ini adalah penyokong kepada sistem kufur.

(6) Dia tidak dibolehkan merapatkan diri dengan badan Eksekutif dan Judikatif (dengan mereka yang menerapkan (hukum) serta mereka yang terlibat dengan perundangan) dan memasukkan namanya sebagai calon untuk tujuan bermanis muka dengan badan-badan ini yang merupakan sandaran bagi mereka yang berlaku zalim. Allah swt berfirman, “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan” [TMQ Hud:113]

(7) Bahawa kempennya di sepanjang waktu pencalonannya ini bertujuan agar umat manusia memahami objektif-objektif yang telah disebutkan di atas.

Berdasarkan apa yang telah kami jelaskan, kami berpandangan bahawa sebahagian besar dari fungsi ahli-ahli majlis perwakilan melibatkan perkara-perkara yang diharamkan ke atas mereka untuk melakukannya. Ini termasuklah fungsi menggubal undang-undang yang bertolak belakang dari Al-Quran dan Sunnah, fungsi melantik ketua negara yang tidak berhukum dengan hukum Allah, memberikan kepercayaan kepada pemerintah yang memerintah dengan hukum yang bukan diturunkan oleh Allah dan mengesahkan pelbagai perjanjian dan persetujuan yang dibina atas dasar kufur, membolehkan pihak kuffar untuk menguasai kaum Muslimin. Mana-mana calon yang dicalonkan sebagai ahli Parlimen atau DUN untuk menjalankan fungsi-fungsi ini sesungguhnya telah berdosa dan kaum Muslimin tidak dibolehkan untuk membantu mereka, memilih mereka mahupun mengucapkan tahniah kepada mereka sekiranya mereka berjaya.

Bagaimanapun, terdapat satu fungsi dari fungsi-fungsi ahli majlis perwakilan yang diperintahkan oleh syarak. Dan bagi menjalankan fungsi ini, dibolehkan seorang Muslim untuk terlibat di dalam pilihan raya. Namun begitu, ia hanya dibolehkan sekiranya pencalonan ini berpandukan syarat-syarat yang telah ditetapkan di atas. Fungsi ini adalah fungsi memuhasabah pemerintah dan negara sekiranya ia menjalankan perkara yang menyalahi hukum syarak. Malah, ahli majlis perwakilan wajib menjadikan Parlimen sebagai platform dalam usaha untuk menghancurkan sistem, perlembagaan dan undang-undang yang dibina di atas asas kekufuran. Parlimen juga mesti dijadikan sebagai platform untuk mengingatkan manusia bahawa kewujudan undang-undang dan negara yang diasaskan atas dasar ini merupakan suatu kemungkaran, bahkan ia merupakan ibu kepada segala kemungkaran yang ada dan oleh itu ia wajib dihapuskan dan dibina di atasnya Daulah Islam yang akan berhukum dengan hukum Allah secara kaffah. Daulah yang dimaksudkan ini adalah Daulah Khilafah Rasyidah yang didirikan atas jalan kenabian.

Seseorang yang ingin menjalankan fungsi yang mulia ini tidaklah perlu merasa terkilan sekiranya tidak berjaya menjadi ahli Parlimen tersebut kerana sesungguhnya, platform untuk menjalankan fungsi ini (dakwah kepada Islam) terdapat di mana-mana dan tidak hanya terbatas di Parlimen sahaja. Bahkan dengan menjadi ahli Parlimen, seorang Muslim itu mungkin akan berubah akibat pelbagai godaan, peluang dan kekayaan yang tersedia, lantas mengganggu konsistensi dan keikhlasannya dalam menjalankan dakwah hanya untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala, bukan untuk mendapat habuan dunia.

Wahai kaum Muslimin!

Sesungguhnya Islam mewajibkan ke atas kita untuk muhasabah para pemerintah dan mengubah mereka melalui jalan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah Sallallahu ’alaihi wa Sallam, yakni dengan peperangan pemikiran (sira’ul fikr) dan penentangan politik (kifah siyasi) sekiranya hukum yang dijalankan adalah selain dari hukum Allah. Sekiranya ini tidak kita lakukan, maka pastilah situasi kita akan menjadi semakin buruk dan Allah akan menghukum kita di dunia dan akhirat. Sesungguhnya mengubah keadaan (kaum Muslimin) sekarang bukanlah suatu yang mustahil, seperti mana yang kerap digembar-gemburkan oleh mereka yang jahil, pengecut dan dalam kesesatan. Mengubah suasana ini merupakan suatu yang mampu dilakukan oleh umat Islam sekiranya umat ini bertawakal kepada Allah dan menjalankan apa yang telah diwajibkanNya ke atas kaum Muslimin. Janganlah rasa putus asa menyelubungi diri kita sehingga kita berdiam diri dengan sistem kufur yang mendominasi saat ini. Janganlah kita membiarkan segala ilusi (bahawa kita tidak akan dapat berubah) ini mengalihkan pandangan kita dari berusaha untuk mengubah situasi umat dan melanjutkan kehidupan Islam serta menyebarkan Islam ke seluruh dunia melalui Daulah Khilafah yang akan menyatukan seluruh kaum Muslimin. Umat ini, Insya Allah akan disatukan di bawah seorang pemimpin dan kibaran bendera Islam yang satu di mana negeri-negeri kaum Muslimin yang bertaburan akan disatukan dan umat Islam akan dibebaskan dari ketidakadilan sistem kufur yang rosak kepada keadilan Islam. Maka akan wujudlah negara yang satu, Khilafah Rasyidah, yang menerapkan Islam dan menegakkan jihad sehinggalah Islam mendominasi dan mengatasi segala din (cara hidup) yang lain.

“Kepada pentadbiran Allah jualah kembali segala urusan, sebelum berlakunya dan sesudah berlakunya; dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira - dengan kemenangan yang diberi Allah. Ia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani. Demikian dijanjikan Allah. Allah tidak pernah mengubah janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” [TMQ Al-Rum (30):5-6]

Sunday, March 2, 2008

Peruntukan besar subsidi untuk keselesaan rakyat

KUALA KEDAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan tidak pernah berbohong mengenai peruntukan besar dibelanjakan bagi menampung bantuan subsidi dan menyerap kenaikan harga barang untuk meringankan beban rakyat.

Beliau berkata, walaupun menghadapi kesukaran kerana kerajaan terpaksa memperuntukkan wang yang besar untuk tujuan itu, kerajaan tetap berusaha mengekalkan subsidi kerana tidak mahu menyusahkan rakyat.

"Kita nak bagi tau semua bahawa angka mengenai kenaikan harga minyak itu adalah benar dan tidak boleh dipalsukan kerana Malaysia akan berdepan dengan kritikan antarabangsa sekiranya berbuat demikian.

"Jika tak percaya pergi tengok dan baca, buat penyelidikan... apakah semua ini satu pembohongan. Mana boleh benda macam ni nak bohong pada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan rakyat di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, kerajaan membelanjakan peruntukan besar, iaitu kira-kira RM35 bilion untuk memberikan subsidi, termasuk bagi bahan petroleum, tepung dan minyak masak supaya bebanan rakyat dapat dikurangkan.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, adalah mudah bagi Pas bercakap kononnya mahu menurunkan harga petrol sebanyak 30 sen seliter kerana ia sebenarnya akan mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung beban sebanyak RM5.4 bilion.

Janji Pas untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula akan menyebabkan kos tambahan sebanyak RM17.2 bilion, manakala pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam pula menyebabkan tambahan RM19 bilion.

"Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan dijanjikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula akan mengakibatkan tambahan tanggungan kerajaan sebanyak RM34.8 bilion dan jika dijadikan akta boleh mengakibatkan syarikat kecil gulung tikar dan pihak swasta juga terpaksa patuh," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai ketelusan senarai 'bersih' calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya umum nanti dan jika ada di antara mereka yang terbabit dengan sebarang salah laku, Abdullah berkata, perkara itu akan dirujuk semula kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perdana Menteri berkata, beliau juga akan merujuk perkara itu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), Pejabat Peguam Negara dan polis.

Katanya, perkara itu boleh berlaku mungkin kerana terlepas pandang ketika senarai calon ditapis polis dan BPR.

"Kita perlu dapatkan agensi berkaitan untuk membentangkan mengenai laporan itu dan kita akan pertimbangkan apa tindakan yang perlu diambil," katanya.

Sumber : Berita Harian 27/02/08

Ulasan:

Mengungkit-ungkit semula semua pemberian subsidi yang bernilai berbillion-billion ringgit pada ketika bahang pilihan raya semakin terasa sudah tentulah mendedahkan kepada kita betapa terdesaknya pemerintah untuk memastikan parti mereka menang. Pemerintah semakin galak berkempen dan melobi. Pelbagai cara dan eksploitasi dilakukan demi memastikan kemenangan. Pada ketika ini bagi sesetengah parti tiada lagi istilah halal dan haram kerana yang penting adalah kemenangan. Seperti biasa, kaedah politik Machiavelli digunapakai dan hukum syara' ditolak ke tepi dan pada sebahagian parti yang bertanding, kaedah Machiavelli itu seolah-olah telah bertukar menjadi 'wajib'.

Menonjolkan 'kemurahan' hati pemerintah di dalam pemberian subsidi itu sebenarnya mengharapkan balasan daripada rakyat agar mengundi mereka semula di dalam pilihan raya yang akan diadakan di dalam masa terdekat ini sedangkan hakikatnya pemberian subsidi itu adalah tanggungjawab mana-mana pemerintah ke atas rakyatnya dan bukan perkara yang perlu diungkit. Mereka ini langsung tidak faham perbezaan di antara subsidi dengan tanggungjawab. Bagi mereka yang mengungkit-ungkit apa jua pemberian yang telah mereka beri kepada orang lain, maka Allah berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti (rosaknya pahala amal) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir" [TMQ al-Baqarah (2):264].

Rasulullah saw pula mengingatkan dalam hadisnya dengan begitu tegas sekali, dari Abu Dzar bahawa Rasulullah saw bersabda,

“Ada tiga golongan yang tidak akan diajak bicara oleh Allah di hari Kiamat. Allah tidak akan melihat mereka dan tidak akan membersihkan mereka. Mereka akan mendapat seksa yang sangat pedih. Abu Dzar berkata, ‘Rasulullah saw mengungkapkannya sebanyak tiga kali’ Abu Dzar berkata, ‘sedih dan rugilah mereka. Siapa mereka wahai Rasulullah?’ Rasulullah saw menjawab, ‘Mereka adalah orang yang menghulurkan pakaiannya hingga ke bawah mata kaki dengan kesombongan, orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian dan orang yang mengembangkan hartanya dengan sumpah dusta” [HR Muslim].

Mereka mengungkit-ungkit untuk mendapat kesenangan dunia dan agar mereka diingati dan disokong oleh manusia, namun Allah tidak menghendaki semua itu dilakukan oleh makhlukNya. Sesungguhnya rugi dan terseksalah mereka yang suka mengungkit-ungkit tersebut di akhirat kelak dengan azab yang pedih dari Allah Azza wa Jalla. Na’uzubillah min zalik.

Manifesto dirujuk Al-Quran ditinggal

MUAR: Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-12, perlu didokumentasikan supaya menjadi rujukan, sekali gus sebagai dorongan untuk kerajaan terus memajukan negara ke tahap lebih tinggi.

Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata manifesto itu membuktikan kerajaan BN tidak pernah mengambil mudah soal pembangunan negara dan kebajikan rakyat.

Katanya, manifesto itu adalah satu inisiatif yang dirancang akan dilaksanakan BN dalam tempoh lima tahun akan datang yang menjadi komitmen kerajaan mentadbir negara.

"Manifesto yang didokumenkan menunjukkan kerajaan tidak berdolak dalik dan kita berpegang kepada manifesto itu yang juga menjadi pendorong atau semangat untuk kita terus mendokong pembangunan negara," katanya kepada pemberita selepas perjumpaan bersama masyarakat dan melawat bilik gerakan jentera BN di Batu 23, Lenga, di sini, semalam.

Turut mengiringi beliau calon baru Dewan Undangan Negeri (DUN) Jorak, Dr Shahruddin Salleh.

Muhyiddin berkata, manifesto itu adalah janji BN untuk mengangkat martabat negara dan rakyat ke peringkat lebih tinggi dalam usaha kesinambungan pembangunan sosio ekonomi, selain mementingkan kebajikan masyarakat.

"Ini adalah janji dan jaminan yang penting dan kita berharap rakyat akan sedar kerana berbanding manifesto parti pembangkang yang tidak tidak dapat dikotakan," katanya.

Katanya, berbeza dengan janji parti pembangkang yang sebelum ini mahu menubuhkan negara Islam dan selepas tidak mendapat sokongan semua rakyat kemudian mengalih kepada mahu menubuhkan negara kebajikan yang boleh menjadikan negara ini muflis.

Sumber: Berita Harian 27/02/08

Ulasan:

Negara merupakan satu entiti yang penting. Ia termasuk soal survival sebuah masyarakat. Agenda membentuk sebuah negara bukan perkara yang remeh tetapi suatu yang perlu dititikberatkan hingga ke tahap perinciannya. Manifesto hanyalah garis kasar yang menggambarkan aspirasi suatu pihak kepada pihak lain agar ianya dijadikan aspirasi umum. Lumrah dalam ‘politik manfaat’ ala Machievally, ia akan didedahkan setiap kali musim pilihan raya, bertujuan untuk menabur segala janji manis bagi memerangkap pengundi agar mengundi parti-parti yang bertanding.

Rasulullah berjaya membina sebuah negara dengan membawa Al-Quran. Tiada pembangunan, baik dari segi fizikal mahupun modal insan, yang dijanjikan, namun Rasulullah berjaya membina sebuah Negara yang maju dan bertamadun. Berbanding manifesto yang dibawa parti-parti yang bertanding, kesemuanya disusun oleh akal manusia yang terbatas, yang menjadikan ‘manfaat kebendaan’ sebagai asas untuk menabur janji kepada para pengundi. Pemikiran manusia (akal) sentiasa terbatas kepada tempat, suasana, ruang dan waktu yang tertentu dan tolok ukur ‘manfaat’ menjadi pegangan utama. Sedangkan umum mengetahui, secara rasional, akal tidak dapat memberikan jaminan kebahagiaan yang berkekalan. Ini berbeza dengan wahyu, yang apabila dijadikan rujukan, maka manusia akan sentiasa beroleh rahmat, tanpa mengira masa dan tempat dan kekal pula kebahagiaan yang akan diperolehi manusia hingga ke akhirat. Manakala manifesto yang hanya berpijak atas kegeniusan manusia dan dibuat semata-mata untuk menarik undi, tidak akan mampu mengembalikan manusia kepada fitrahnya yang sebenar, apatah lagi untuk membawa rahmat ke seluruh alam. Dalam pada umat Islam ghairah dan sibuk bermanifesto memancing undi, hukum Jahiliyyah di Malaysia terus berjalan...

“Apakah hukum Jahiliyyah yang mereka kehendaki walhal (hukum) siapakah yang baik dari hukum Allah bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah (5):50]

Semua dasar yang menjadi pegangan dan amalan sesebuah negara akan baik dan sempurna jika yang dirujuk adalah Al-Quran, bukannya manifesto. Pemerintahan sesebuah negara akan diberkati Allah jika ia lahir dari akidah yang mematuhi konsep perintah dan larangan Allah swt. Akidah dan aturan Islam ini bukan perlu di ada-adakan sebagai alat untuk meraih undi dari rakyat, tetapi ia merupakan sebuah kewajipan yang mesti dimanifestasikan dalam kehidupan seluruh hamba Allah di muka bumi ini. Kesempurnaan dan keagungan syari'ah yang telah diterapkan di sepanjang sejarah pemerintahan Islam terpampang abadi, walaupun tiada manifesto dibuat mengenainya. Ternyata, walau telah beratus muka surat manifesto yang disediakan sejak 50 tahun lepas, akal manusia yang membelakangkan hukum Allah tidak akan mampu mengembalikan kegemilangan Islam seperti mana yang pernah dipaparkan oleh Khilafah Islamiyyah sepanjang 13 kurun bertapak di atas muka bumi, tanpa satu manifesto pun.

Selamat, Aman dan Makmur dengan Sistem Sekular?

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam melancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Umum ke-12 dengan misi dan visi untuk membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih selamat, aman dan makmur.

Lapan perkara menjadi tunjang dan ikrar manifesto bertemakan Selamat, Aman dan Makmur itu, disertakan dengan laporan kemajuan yang dilaksanakan Kerajaan BN sejak 2004 hingga 2007.

Ia menyenaraikan 76 pencapaian kerajaan BN dalam tempoh empat tahun lalu serta 61 ikrar untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang, dirangkum di bawah lapan perkara iaitu ekonomi; pembangunan seimbang; pendidikan; undang-undang dan keselamatan awam; perkhidmatan awam; membanteras rasuah dan meningkatkan urus tadbir; agama dan perpaduan; serta dasar luar negara.

Manifesto itu juga memperincikan tindakan yang diambil bagi meringankan beban kenaikan harga barang, meningkatkan pendapatan bersih serta memastikan tiada rakyat yang terpinggir selaras konsep BN kerajaan prihatin.

Berucap melancarkan manifesto itu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Perdana Menteri berkata, janji BN adalah realistik dan bertanggungjawab serta dibuat berasaskan kesedaran bahawa gabungan 14 parti komponen itu bertanggungjawab melaksanakannya.

"Bukan janji-janji kosong sekadar nak menghiburkan rakyat, bukan janji-janji yang tak ada tanggungjawab, bukan janji-janji yang kosong, kita bukan begitu.

"Kita tahu pembangkang mengemukakan pelbagai janji... membayangkan satu sikap yang sebenarnya terdesak. Pas dengan manifestonya, DAP dengan manifestonya... sebenarnya ini satu pakatan main-main saja," katanya.

Hadir sama ialah isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting; Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu; pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta pemimpin parti komponen BN lain.

Dalam manifesto 24 halaman itu, BN antara lain berikrar akan membantu sejuta syarikat Industri Kecil dan Sederhana (PKS) serta menjana lebih dua juta peluang pekerjaan yang bermutu dalam masa lima tahun.

BN juga berikrar akan meningkatkan penyediaan rumah bermutu pada harga yang mampu dibeli, meningkatkan liputan bekalan elektrik di kawasan luar bandar di Sabah kepada 81 peratus dan 90 peratus di Sarawak menjelang 2010.

Pendekatan 'Kelantan Baru, Kelantan Maju' pula berhasrat memastikan berlangsungnya pembangunan berkualiti dan mutu kehidupan yang lebih baik bagi penduduk di negeri itu.

BN turut berjanji untuk menaikkan tahap kelayakan minimum guru dan menyediakan lebih banyak peluang latihan, memelihara kedudukan sekolah jenis kebangsaan, mengurangkan indeks jenayah dan menangani isu pendatang asing serta meningkatkan kepelbagaian etnik dalam perkhidmatan awam.

Gabungan 14 parti komponen itu juga berikrar meneruskan usaha memerangi rasuah tanpa gentar dan pilih kasih serta meningkatkan usaha dialog mengenai isu antara agama melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Mengenai dasar luar pula, BN antara lain akan menggalakkan kerjasama strategik antara Barat dengan dunia Islam untuk memajukan agenda ekonomi di bawah Deklarasi Makkah 2005.

Menghuraikan manifesto itu, Abdullah yang juga Pengerusi BN, berkata pencapaian dan ikrar BN itu adalah untuk melahirkan Malaysia yang lebih selamat, aman dan makmur.

"Ini jelas membuktikan komitmen BN terhadap janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum 2004 dan kita pegang kuat kepada Misi Nasional untuk menjayakan apa yang dijanji.

"Banyak yang sudah kita lakukan dalam membawa kemajuan. Jika nak diambil kira semua, lebih banyak daripada 76 perkara ini dan lebih tebal daripada buku manifesto ini," katanya.

Beliau berkata, rancangan pembangunan kerajaan BN mengutamakan kesejahteraan rakyat dan untuk memajukan negara.

"Manifesto ini dihasilkan dengan gabungan kekuatan parti-parti komponen BN yang mewakili semua kaum.

Kita beri janji dan banyak telah kita laksanakan.

"Namun usaha perlu kita teruskan untuk selesaikan perjuangan yang dimulakan. Janji tetap kita laksanakan," katanya yang turut melancarkan laman web kempen BN untuk pilihan raya ini - www.bn2008.org.my.

Abdullah berkata, teras tindakan BN ialah komitmen yang tidak boleh dikalahkan oleh masalah, rintangan atau cabaran, yang akan dilaksanakan sedaya upaya untuk menjadikan Malaysia dan rakyatnya lebih hebat.

"Kita berjanji akan terus berkerja bersama rakyat dan berjanji dalam apa juga perbelanjaan, kita akan tetap berhemah... tidak belanja wang ikut suka tapi dengan penuh hemah. Ini sebenarnya cara kita urus kewangan negara hingga kita dapat kejayaan dalam pelbagai bidang.

"Malah, ketika kerajaan BN memberi subsidi dan jimat dalam perbelanjaan, negara masih boleh mencapai kejayaan pembangunan dalam pelbagai bidang. BN juga mempunyai pengalaman 50 tahun membangunkan negara dan menyelesaikan masalah," katanya.

Perdana Menteri berkata, BN berjanji akan terus bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan apa yang dikehendaki rakyat bagi kesenangan mereka dan kemakmuran negara akan dilaksanakan sebaik-baiknya.

BN berpegang kepada komitmen bahawa tidak siapa akan dipinggirkan dan apa juga yang dilakukan adalah untuk semua tanpa mengira kaum.

Beliau berharap BN akan mendapat mandat dan sokongan rakyat agar segala kejayaan yang diperoleh selama ini dapat terus ditingkatkan pada masa depan.

"Insya-Allah dengan kerjasama rakyat dan mandat itu, kita akan capai matlamat untuk menjadikan negara ini cemerlang, gemilang dan terbilang," katanya.

Sumber: Berita Harian 26/02/08

Ulasan:

BN telah mengeluarkan manifesto pilihan raya bertemakan Selamat, Aman dan Makmur sebagai gula-gula kepada rakyat untuk memancing undi, di samping beberapa habuan material lain yang bakal disogokkan untuk mengundi BN. Parti pemerintah ini seperti buta dan tuli bahawa kadar jenayah di Malaysia semakin meningkat dari hari ke hari, harga barangan semakin meningkat dan sudah berapa lama rakyat hidup dengan tidak selamat, tidak aman dan kemakmuran semakin terjejas.

Satu-satunya cara untuk masyarakat menjadi selamat dan makmur hanyalah dengan bersistem dengan sistem Islam yang mana ia berasal dari Allah sendiri sebagai Rabb yang mengatur manusia, alam dan kehidupan. Sistem Islam telah terbukti membawa umat manusia ke arah peradaban dan kemakmuran sejati berabad lamanya. Dalam aspek penjagaan masyarakat, keharmonian hidup bermasyarakat benar-benar terjaga di mana Islam mempunyai kaedah yang unik dan sempurna yang mana:-

(a) Islamlah satu-satu ideologi yang memiliki tujuan murni untuk menjaga masyarakat dengan sistem Islam
(b) Jaminan dari segi kualiti hidup berekonomi dalam masyarakat.

Syeikh Taqiyuddin semasa membincangkan bab sosiologi, menghuraikan,

"...tujuan-tujuan murni untuk menjaga masyarakat bukan ditentukan oleh manusia, akan tetapi berasal dari perintah-perintah Allah dan larangan-larangan-Nya. Sistem ini selalu tetap keadaannya, tidak akan berubah atau berkembang. Oleh karena itu, menjaga keturunan manusia (jalur nasab), menjaga akal, kehormatan, jiwa, pemilikan individu, agama, keamanan dan negara, adalah tujuan-tujuan murni yang tetap, yang tidak akan berubah ataupun berkembang. Untuk menjaganya ditetapkan hukuman yang tegas dengan adanya hukum-hakam yang menyangkut hudud dan uqubat (jinayah, hudud, takzir, mukhalafat) untuk memelihara tujuan-tujuan yang bersifat baku tadi." [Nizhamul Islam, bab Qiyadah Fikriyyah]. Sila rujuk SN083

Dari segi ekonomi pula keperluan asas individu rakyat (basic needs) seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal telah dijamin berasaskan hukum-hakam syarak yang tetap dan jelas, manakala hak asas rakyat (basic rights) seperti pendidikan, kesihatan dan keselamatan juga wajib disediakan secara percuma kepada rakyat oleh negara.

Jaminan kualiti hidup masyarakat bukanlah satu bahan retorik atau gula-gula dalam manifesto pilihan raya, tetapi ianya adalah kewajiban yang telah ditentukan oleh Allah kepada manusia yang bergelar pemerintah sebagaimana dijelaskan oleh hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wassalam,

“Seorang imam (pemimpin) adalah pemelihara dan dia akan diminta pertanggungjawaban terhadap rakyatnya” [HR Bukhari dan Muslim].

Namun sebahagian besar rakyat yang ada pada hari ini ternyata terancam dan tidak mendapat jaminan sewajarnya dari segi sosial dan ekonomi. Hanya segelintir orang sahaja yakni para pemerintah dan juga kaum Kapitalis yang akan ‘terjaga’ kesejahteraan mereka manakala yang lain terus menderita. Kucar-kacir ini tidak lain dan tidak bukan adalah kerana manusia mengambil sistem lain selain dari sistem Ilahi. Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala,

“Barang siapa yang berpaling dari peringantanKu maka baginya penghidupan yang sempit”
[TMQ Al-Taaha (20):23].

Wahai mereka yang berakal! Cuba fikirkan - Selamat, aman dan makmurkah bumi Allah ini apabila yang memerintah adalah sistem kufur-sekular? Jika ada yang merasa selamat dan aman di dunia ini sekalipun, selamatkah mereka dengan azab Allah di akhirat kelak dengan sistem kufur yang mereka terapkan?