Monday, March 31, 2008

Haram bagi pemerintah menetapkan harga

PUTRAJAYA 24 Mac – Malaysia tidak menolak kemungkinan mengguna pakai Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA) bagi memudahkan kemasukan barangan makanan sebagai strategi menangani kenaikan harga barang di negara ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, walaupun ramai menyedari kewujudan AFTA menerusi pengecualian tarif produk asing tertentu sejak 2003, namun masih ada menganggap barang keperluan tempatan terbaik hanya boleh diperoleh dari sempadan negara.

Dalam konteks ini, kata beliau, pasaran dalam negara ini sememangnya kecil sekali gus memudahkan harga barang dikawal oleh pengilang.

Justeru, beliau menyifatkan kawalan harga ke atas barangan keperluan sebagai tidak realistik selagi kerajaan tidak mengekang faktor bekalan oleh pengilang.

“Masalahnya kenaikan harga bergantung kepada soal bekalan yang diimbangi permintaan.

“Jika dibenarkan banyak produk (makanan) dibawa masuk ke negara ini dengan membuka pasaran menerusi AFTA, maka satu sistem kawalan harga mungkin diperoleh,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis serah tugas daripada bekas menteri, Datuk Mohd. Shafie Apdal yang kini mengetuai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan di sini hari ini.

AFTA yang dipersetujui oleh ketua-ketua kerajaan ASEAN pada Oktober 2003 merupakan usaha bersepadu untuk mewujudkan satu pasaran serantau melalui Masyarakat Ekonomi ASEAN (AEC) yang terkandung di dalam Deklarasi Bali Concord II.

Melalui deklarasi itu, Asia Tenggara akan menjadi satu pasaran barangan negara-negara anggota yang antara lain memudahkan kemasukan barangan, perkhidmatan, pelaburan dan modal menjelang 2010.

Menurut Shahrir, pihaknya juga menyambut baik penubuhan Majlis Harga Negara (MHN) awal tahun ini yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi mengekang kenaikan harga barang.

“Ini bermakna ada asas kesediaan (menanganinya) dan perlu ada penyelarasan semua kementerian ke arah mendapatkan satu harga yang munasabah untuk pengguna.

“Penyelarasan ini bukan tanggungjawab kementerian ini semata- mata tetapi melibatkan penyertaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia 25/03/08

Ulasan:

Dengan adanya krisis dalam negara, nampaknya seruan globalisasi mula menjadi pilihan. Globalisasi yang dibawa oleh Barat merupakan suatu bentuk penjajahan baru (neo-kolonialisme) melalui pelbagai usaha dan kempen, khususnya di bidang ekonomi, agar Barat dapat masuk dan menguasai ekonomi negara-negara yang lemah. Dengan globalisasi, tiada lagi sempadan yang boleh menghalang pengaliran dagangan seperti sebelum ini. Semua undang-undang dan akta perdagangan diliberalkan sesuai dengan kehendak globalisasi.

AFTA merupakan kesinambungan dari ledakan globalisasi yang melanda dunia. Dengan berlakunya krisis kenaikan harga barang dalam negara, pemimpin Malaysia mula mengintai ‘manfaat’ yang bakal diperolehi jika AFTA digunakan. Sekali pandang penggunaan AFTA nampaknya akan dapat menstabilkan semula harga, namun jika difikirkan dengan lebih mendalam, kesan sebaliknya boleh berlaku. Ini kerana, pemerintah cuba mengenakan kawalan harga apabila AFTA diguna pakai. Secara logiknya, jika pihak penguasa/pemerintah mengenakan kawalan harga, maka pasti pula ada golongan pengeluar atau pemborong yang mengawal keluaran stok masing-masing untuk meraih keuntungan. Mereka dengan mudah dapat melakukan lambakan stok produk mereka agar permintaan dalam pasaran meningkat hingga mendesak harganya naik ke tahap yang mereka sasarkan. Dan akhirnya, produk dilepaskan di dalam pasaran dan mereka dapat mengaut keuntungan yang berlipat kali ganda. Mangsa keadaan dalam senario ini adalah rakyat yang menjadi pengguna!

Itu hanyalah kesan dari segi ekonomi. Apa yang lebih penting adalah kita ingin melihat hukum syarak berkenaan hal ini. Dalam hal penetapan harga, Islam telah menggariskan bahawa tidak ada pihak yang berhak menjadi pemantau atau pengawal harga kerana ia merupakan suatu tindakan kezaliman. Hukum asal bagi barang dagangan adalah milik pemiliknya. Dan dialah yang berhak menetapkan harga barangannya dan harga yang ditetapkan oleh pemiliknya adalah sah menurut syarak. Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Said bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Sesungguhnya jual beli itu sah kerana suka sama suka”.

Berdasarkan hadis-hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam, Islam secara jelas telah memberikan hak menentukan harga kepada mereka yang terlibat di dalam melakukan transaksi/aqad tersebut sahaja.

Allah sekali-kali tidak memberi hak kepada pemerintah untuk menetapkan harga. Dengan kata lain, penetapan harga oleh Negara adalah haram. Penetapan harga ini akan memaksa rakyat untuk melakukan aktiviti jual beli dengan harga tersebut. Islam telah mengharamkan penetapan harga secara mutlak. Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis dari Anas,

“Harga (suatu masa) pada zaman Rasulullah telah naik. Lalu mereka melaporkan, ‘Wahai Rasulullah, seandainya harga ini engkau tetapkan (supaya tidak naik). Baginda menjawab, ‘Sesungguhnya Allah Maha Mencipta, Yang Maha Menggenggam, Yang Maha Melapangkan, Yang Maha Memberi Rezeki, lagi Maha Menentukan Harga. Aku ingin menghadap ke hadirat Allah, dengan tidak ada seorang pun yang menuntutku kerana kezaliman yang aku lakukan kepadanya dalam masalah harta dan darah.”

Imam Abu Daud meriwayatkan dari Abu Hurairah,

“Ada seorang lelaki datang lalu berkata, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga’ Baginda menjawab, ‘(Tidak) justeru biarkan sahaja’. Kemudian baginda didatangi lelaki lain lalu mengatakan, ‘Wahai Rasulullah, tetapkanlah harga’ Baginda menjawab, ‘(Tidak) tetapi Allah yang berhak menurunkan dan menaikkan.”

Mereka meminta kepada Rasulullah (dalam kapasiti baginda sebagai Ketua Negara) untuk menetapkan harga. Kemudian Rasulullah menyatakan bahawa jika baginda berbuat demikian bererti baginda telah melakukan kezaliman. Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa penetapan harga (yang dilakukan oleh Negara) sebenarnya adalah satu bentuk kezaliman. Jika Rasulullah sendiri tidak melakukan perkara ini, apakah hak ke atas pemimpin untuk menetapkan perkara yang sama?

0 comments: