Monday, March 31, 2008

Kesan eksploitasi wanita dalam sistem Kapitalis

KUALA LUMPUR 24 Mac – Seorang eksekutif pemasaran bank wanita tidak menyangka impiannya untuk mempunyai rupa paras yang menawan melalui rawatan kecantikan bertukar menjadi mimpi ngeri yang menghantuinya seumur hidup.

Mangsa, Chey Pik Yock, 25, kini hanya mampu mengenangkan nasib malangnya kerana memiliki wajah hodoh yang dipenuhi parut dan jerawat besar ekoran rawatan itu.

Segala-galanya berpunca daripada keinginan untuk menghilangkan jerawat yang tumbuh pada muka yang mendorong mangsa mendapatkan rawatan di sebuah pusat kecantikan di Kota Damansara dekat sini pada 23 November 2007.

Menurut Pik Yock, selepas menemui pakar pusat kecantikan tersebut, beliau dinasihati supaya menjalani rawatan sebanyak lapan kali dengan tawaran kos RM1,499.

“Saya setuju ambil pakej rawatan itu kerana yakin jerawat pada muka saya mampu dipulihkan. Saya tambah tertarik kerana bayaran untuk pakej rawatan itu boleh dibuat dua kali,” katanya pada sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.

Bagaimanapun, selepas menjalani rawatan pertama, Pik Yock mendapati pipi dan dahinya bengkak termasuk mengalami kesan terbakar pada seluruh muka.

“Pakar yang merawat saya mendakwa ia adalah simptom biasa. Dia juga beritahu, saya perlu sabar,” jelasnya.

Menurut Pik Yock, pusat kecantikan berkenaan turut memujuk beliau supaya meneruskan rawatan dengan menyarankannya membeli beberapa produk untuk menyembuhkan semula keadaan mukanya.

Beliau termakan pujukan itu dan membeli beberapa produk berharga RM360. Namun, keadaan tidak berubah.

Pada Januari lalu, Pik Yock meneruskan rawatan muka sebanyak dua kali tetapi rupanya menjadi semakin serius.

“Menjelang Februari, perasaan bimbang mendorong saya berjumpa dengan doktor. Laporan perubatan doktor itu mengesahkan muka saya dijangkiti ‘alergi akut’.

“Saya kemudian membuat aduan kepada pusat kecantikan itu dan meminta mereka pulangkan bayaran termasuk membayar ganti rugi, namun permintaan itu tidak diendahkan,” katanya yang tidak percaya lagi kepada rawatan kecantikan dan mengalami fobia untuk menggunakan sebarang produk kecantikan.

Sumber: Utusan Malaysia 25/03/08

Ulasan:

Islam melihat bahawa perempuan itu adalah aurat yang wajib dijaga, dan penghormatan terhadap mereka kerana merekalah ibu dan penjaga rumah-tangga yang akan menjaga anak-anak, mereka dibolehkan bekerja jika mendapat izin dari pihak suami atau pihak ayah. Namun status yang mulia ini telah ditukar oleh kapitalis, perempuan telah dijadikan PRODUK oleh kapitalis dan aurat mereka perlu dibuka untuk memancing lawan jenis memberikan tender, membeli produk keluaran mereka, pelayan restoran dan pramugari. Jadi tidak hairan jika wanita sering dijadikan objek oleh syarikat kapitalis untuk melariskan produk mereka. Sebagai contoh isu polemik tudung pramugari menjadi bahan perbincangan di parlimen MAS tidak rugi pramugari berpakaian sopan dan Pakaian pramugari AirAsia bukan budaya timur.

Aktiviti mendedahkan aurat, berpakaian tipis telah menjadi budaya masyarakat dalam sistem Kapitalis. Piawaian hidup beginilah yang telah menjerut wanita di mana mereka merasakan bahawa mereka mesti mempunyai ciri tipikal seorang wanita yang menawan, pipi pauh di layang, muka bersih tanpa jerawat, bertubuh ramping, berbetis bunting padi dan sebagainya untuk memudahkan mereka mendapat tempat di arena pekerjaan dan memperoleh hasilan lumayan. Sikap majikan yang Kapitalis juga telah menambah suburkan pemikiran kufur ini di mana mereka sering menggunakan perempuan cantik untuk bekerja demi menarik pelanggan. Pemikiran yang diimport dari hadharah kufur ini telah menjadi barah dalam masyarakat kita.

Islam datang dan meletakkan manusia di atas fitrah kemanusiaan. Dalam bidang pekerjaan, Islam telah meletakkan garis panduan yang jelas di mana segala bentuk eksploitasi terhadap wanita mahu pun eksploitasi terhadap ketampanan lelaki untuk menarik ‘manfaat’ hasil darinya, adalah dilarang. Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani menjelaskan dalam fasal 115 Muqaddimah ad-Dustur,

“Seorang lelaki mahupun wanita tidak dibenar melakukan sesuatu pekerjaan yang dapat membahayakan akhlak dan mengundang kerosakan dalam masyarakat meskipun perbuatan itu termasuk dalam salah satu hukum yang mubah. Sebagai contoh, menggaji wanita sebagai pramugari atau pemuda yang tampan digunakan sebagai daya penarik untuk salun kecantikan, restoran dan lain-lain lagi”

Fasal ini diletakkan atas tiga asas utama, berdasarkan nas,

Pertama: Rafi bin Rifaah berkata : “Nabi SAW melarang kami dari memperkerjakan seorang pelayan wanita kecuali yang dikerjakan oleh kedua tangannya. Beliau bersabda, ‘Seperti inilah jari-jemarinya yang kasar sebagaimana halnya tukang roti, pemintal atau pengukir" [HR Ahmad]

Kedua: Kaedah usul menyebut, al wasilatu ila al haram, haram (sarana menuju perkara haram adalah haram) dan

Ketiga: Kaedah usul menyebut, asy syai`u al mubahu idza adday fardun min afradihi ila adh dharar yumna'u dzalika al fardu wahdahu wa yabqa asy syai`u mubahan (suatu perkara mubah bila salah satu bahagiannya menyebabkan dharar (bahaya), maka dilaranglah bahagian itu sahaja, sementara yang mubah tadi itu tetap mubah).

[Ringkasan Muqaddimatu Dustur, Al-Nabhani ms 263]

Jika tsaqafah Islam ini dapat diterapkan dalam kehidupan seseorang wanita, nescaya seorang wanita itu tidak lagi 'terdesak' untuk mencantikkan muka, merampingkan badan atau selalu ke salun kecantikan, kerana mereka sedar ‘harga diri’ mereka jauh lebih mahal dari perbuatan ‘menjual diri’ kepada sistem kapitalis yang mengeksploitasi mereka.

0 comments: