Monday, March 31, 2008

Jangan politikkan agama

JOHOR BAHRU: Semua kerajaan negeri dikuasai pembangkang diminta tidak menyalahgunakan jabatan serta majlis agama negeri untuk tujuan politik sebaliknya, terus melaksanakan tanggungjawab kepada semua umat Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata adalah sesuatu yang malang, jika agama Islam dipolitikkan sedangkan, ia adalah agama untuk semua umat Islam dan bukannya, memihak kepada kelompok tertentu saja.

“Golongan pemerintah perlu bersikap adil kepada semua pihak, tidak hanya memberi kepada yang menyokong parti atau menghukum orang yang menentang. Sama ada dia menyokong atau tidak, kita mesti tolong dan keutamaan diberikan kepada keperluan, barulah keadilan sebenar dapat diterjemah,” katanya di sini, malam kelmarin.

Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menghadiri majlis makan malam sempena Persidangan Ketua Jabatan dan Majlis Agama negeri seluruh Malaysia. Hadir sama, Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Abdul Latiff Yusof; Pengarah Jabatan Agama Johor, Datuk Zalin Baron dan Mufti negeri, Datuk Nooh Gadot.

Dr Ahmad Zahid berkata, dalam soal yang berkaitan dengan ajaran Islam, perpecahan tidak wajar berlaku dan pendekatan perlu diambil untuk sentiasa kembali kepada hukum yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah nabi.

Sumber: MyMetro 26/03/08

Ulasan:

Jangan politikkan agama! Agama tidak boleh dicampurkan dengan politik! Islam itu suci, politik itu kotor! Jangan cakap politik di dalam masjid atau surau! Inilah sebahagian daripada perkataan yang sering kita dengar dari mulut pemimpin yang jahil terhadap Islam. Inilah kesannya apabila pemimpin sekular yang memerintah, racun sekularisme iaitu suatu kefahaman yang memisahkan agama dari kehidupan terus menjadi pegangan. Pemikiran yang sebeginilah yang diinginkan dan yang disukai oleh kuffar Barat. Terutamanya jika pemikiran ini dimiliki dan diperkembangkan oleh mereka yang menjadi penguasa dan pemimpin umat Islam. Pemimpin yang sebeginilah yang diinginkan oleh Barat supaya mereka terus menjadi boneka dan penjilat kepada sistem demokrasi yang dicanangkan di negeri umat Islam.

BN/UMNO telah tumbang di lima buah negeri, namun kejahilan dan perasaan takut akan agama dan politik terus bersemadi dalam diri pemimpin UMNO. Akibatnya, negeri yang tidak diperintahnya pun diingatkan agar memisahkan antara politik dan agama. Tidak ada bezanya pemikiran sebegini dengan pemikiran yang dibawa oleh Barat, yakni agama dan politik mesti di asingkan. Sungguh gembira jika Barat mendengar apa yang diucapkan oleh pemimpin yang beragama Islam ini. Bush, Brown, Putin dan lain-lainnya tidak perlu bersusah payah untuk datang ke negeri-negeri umat Islam untuk menyampaikan pemikiran yang sebegini kerana pemimpin dari kalangan umat Islam sendiri yang secara sedar mahupun tidak telah menjadi jurubicara untuk menyampaikan pemikiran sekular ini di tengah-tengah umat Islam.

Wahai mereka yang masih lagi dilingkungi oleh pemikiran sekular! Apakah anda tidak memahami bahawa Islam itu adalah suatu ajaran yang menyentuh seluruh kehidupan manusia sama ada persoalan politik, pemerintahan, ekonomi, sosial, pendidikan dan lain-lainnya? Apakah anda tidak pernah membaca dan mendengar hadis nabi yang melafazkan perkataan “siyasah” yang bermaksud politik? Jika belum, renunglah hadis ini…

“Adalah Bani Israel, mereka diurusi urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, maka diganti oleh nabi yang lain. Sesungguhnya tidak ada lagi nabi setelahku, namun akan ada khalifah, dan jumlahnya banyak... " [HR Bukhari dan Muslim].

Jika pemimpin sekular ini faham bahawa maksud politik adalah ri’ayat asy-syu’un al-ummah (mengurusi urusan umat), berkecimpung dalam politik bererti memperhatikan keadaan kaum Muslimin dan menguruskan mereka, maka tidak akan timbul persoalan Islam itu akan dipolitikkan oleh mana-mana pihak. Ya! Memang Islam itu agama untuk seluruh manusia dan bukan hanya untuk bangsa dan golongan tertentu sahaja kerana Rasulullah SAW diutuskan untuk seluruh manusia. Dan sememangnya menjadi tanggungjawab pemerintah untuk menjaga dan memberikan keadilan yang sama kepada semua warga negara tanpa mengira Muslim mahupun kafir. Dan keadilan hanya akan dapat dicapai apabila sistem Islam diterapkan secara kaffah dengan membawa politik Islam ke dalam kehidupan, bukan dengan memisahkannya dari agama seperti ajaran sekular.

0 comments: