Saturday, March 22, 2008

DEB dan propaganda kerajaan

Bercanggah pendapat -- * MB Perak mahu teruskan DEB * MB Selangor mahu hentikannya

KUALA LUMPUR 17 Mac – Pakatan pembangkang hari ini memperlihatkan perbezaan pendapat yang ketara apabila kerajaan pimpinan mereka di dua negeri tidak sehaluan berhubung pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Ketika Menteri Besar Perak, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin mahu meneruskan pelan pembangunan kerajaan terdahulu termasuk pelaksanaan DEB, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pula bertegas dasar itu tidak perlu dilanjutkan.

Di KUALA KANGSAR, Mohammad Nizar berkata, Kerajaan Negeri Perak yang baru akan meneruskan projek dan pelan pembangunan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini termasuk DEB tetapi ia tidak akan melaksanakan hukum hudud yang pernah diperjuangkan oleh pimpinan Pas di Perak.

Katanya, isu pelaksanaan hukum hudud dan penghapusan DEB tidak timbul sama sekali dalam kerajaan campuran yang diterajui DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

‘‘Hukum hudud tidak timbul di negeri Perak dan kita tidak menghapuskan DEB. Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pun tidak menyatakan (menghapuskan DEB).

‘‘Oleh itu, mana-mana dasar yang baik kepada rakyat akan diteruskan.

“Dasar yang ada diskriminasi akan dihentikan kerana kita mahu adil kepada semua kaum termasuk Orang Asli sekalipun,” katanya pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar pagi ini.

Mohammad Nizar berkata, beliau akan memberi tumpuan kepada soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat dengan melaksanakan manifesto yang dikemukakan semasa pilihan raya umum lalu.

Pada sidang akhbar itu yang turut dihadiri Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa, Mohammad Nizar berkata, projek-projek dan pelan pembangunan yang dirangka oleh kerajaan BN akan tetap diteruskan.

Di SHAH ALAM, Abdul Khalid pula berkata, DEB tidak perlu dilaksanakan kerana hanya golongan tertentu yang mendapat manfaat daripadanya.

Sambil mengakui beliau antara yang turut mendapat manfaat daripada DEB, Abdul Khalid mendakwa, ketika ini dasar berkenaan hanya mementingkan orang Melayu yang berada dalam lingkungan kepimpinan UMNO serta segelintir kaum Cina dan India yang mempunyai hubungan rapat dengan kumpulan itu.

‘‘Terdapat pihak tertentu di Selangor mengatakan saya telah melupakan DEB kerana saya adalah antara mereka yang boleh ditonjolkan sebagai menerima rahmat daripada DEB.

‘‘Saya berterima kasih tentang penerimaan itu tetapi terdapat penyelewengan DEB selepas ia dilaksanakan pada 1970-an. Bila sampai 1990-an, kita dapati DEB disalahgunakan.

‘‘Pada saya, apa gunanya satu dasar yang sepatutnya memberi kesan kepada seluruh rakyat tetapi tidak dilaksanakan dengan baik,’’ kata Menteri Besar Selangor itu yang juga Setiausaha Agung PKR.

Abdul Khalid bercakap pada sidang akhbar bersama penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengadakan pertemuan dengan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR termasuk calon yang tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-12 di kediaman rasmi Menteri Besar di Shah Alam.

Beliau yang mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor Jumaat lalu dilaporkan mendakwa DEB gagal memberi faedah menyeluruh kepada semua kaum di negara ini termasuk orang Melayu.

Baginya, dasar yang diperkenalkan pada 1971 itu dan diteruskan melalui Dasar Pembangunan Nasional (DPN) sekarang tidak memberi kebaikan kepada semua rakyat, tidak telus dan hanya membeza-bezakan kaum.

Ekoran kenyataan itu, Abdul Khalid ditempelak oleh para pemimpin UMNO memandangkan beliau pernah terlibat melaksanakan DEB ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang mengendalikan skim Amanah Saham Nasional (ASN) serta Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Para pemimpin UMNO menegaskan, sebagai individu yang mendapat manfaat daripada DEB, Abdul Khalid tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan itu yang menghina dan tidak menghormati orang Melayu.

Mengulas dakwaan itu, Abdul Khalid berkata, semasa menerajui PNB, beliau melaksanakan DEB secara menyeluruh dengan lebih lima juta orang Melayu mendapat manfaat daripadanya ketika beliau meninggalkan organisasi itu.

‘‘Namun, DEB selepas itu tidak lagi dibuat secara menyeluruh sebaliknya secara terpilih, itu yang menyebabkan saya mencadangkan tidak boleh lagi menggunakan DEB. Ia bukan sahaja mendiskriminasi kaum tetapi mendiskriminasi bangsa Melayu sendiri,’’ katanya.

Mengulas tuduhan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib bahawa beliau umpama ‘kacang lupakan kulit’, wakil rakyat Ijok itu berkata: ‘‘Saya hendak betulkan ‘kacang dan kulitnya’ sekali supaya Selangor yang maju bererti maju untuk semua.’’

Sumber: Utusan Malaysia 18/03/08

Ulasan:

Secara umumnya bila kita melihat kepada ulasan media massa pro-kerajaan BN kita akan dapati sekurang-kurangnya ada beberapa propaganda penting yang cuba dilontarkan iaitu:

a) Usaha untuk melaga-lagakan pakatan antara PAS, PKR dan DAP;

b) Usaha untuk ‘menyelamatkan dan cover’ isu undi protes di kalangan BN sendiri, dengan menunjukkan BN masih lagi kuat dan pakatan BA sebenarnya lemah;

c) Menyuntik isu-isu berbentuk perkauman Melayu untuk membangkitkan semangat Melayu bagi menunjukkan UMNO masih relevan;

d) Kepimpinan Pak Lah masih lagi relevan.

Antara isu yang menjadi ‘tuah’ kepada BN dan cuba di‘evergreen’kan adalah isu DEB. Ini kerana ia secara langsung dapat diguna untuk ‘menghentam’ DAP (khususnya di Pulau Pinang) dan dalam masa yang sama dapat membangkitkan emosi orang Melayu dan isu ini juga boleh diolah sedemikian rupa untuk melaga-lagakan pakatan pembangkang. Jika dahulu orang Melayu bangkit menentang dasar ‘pecah dan perintah’ yang dibawa oleh British, namun setelah BN memerintah, sebenarnya dasar pecah dan perintah ini tetap dikekalkan oleh kerajaan dengan pelancaran DEB. Pendek kata, dasar yang sama yang diwarisi dari penjajah ini, cuma berlainan tema, telah menjadi senjata kepada pemerintah sekarang.

Sebenarnya cubaan akhbar perdana kerajaan di dalam memperbesar-besarkan isu DEB dengan melaga-lagakan pembangkang ini akan menambahkan lagi kebencian pembangkang khususnya dan rakyat amnya kepada kerajaan. Rakyat sudah cukup benci dan muak dengan propaganda kerajaan sehingga mereka telah menzahirkannya di dalam PRU baru-baru ini. Belum pun reda kebencian dan ‘kemenyampahan’ rakyat kepada kerajaan BN, BN (melalui media) nampaknya masih ‘buta’ dan menambahkan lagi kemarahan rakyat dengan cubaan melaga-lagakan pembangkang ini. Kerajaan BN masih belum sedar nampaknya berapa banyak senjata mereka yang sudah memakan diri mereka sendiri. Ini dari satu aspek.

Dari aspek yang lain, tidak ada satu pihak pun, baik dari kalangan pembangkang mahupun kerajaan yang cuba menyelesaikan perbezaan pendapat ini dengan merujuk kepada hukum syarak. Masing-masing hanya sibuk memainkan sentimen assabiyyah yang haram, tanpa sedikit pun cuba merujuk kepada nas-nas syarak dalam masalah ini. Kalaulah ingin membicarakan perkara berkenaan menyamaratakan pendapatan iaitu mengurangkan jurang agihan pendapatan dalam negara, kedua-dua pihak yang beragama Islam sepatutnya dan sewajibnya melihat dari perspektif syarak semata-mata, bukannya dengan mengapi-apikan sentimen Melayu. Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam dahulu pernah melakukannya hal ini, tetapi bukannya atas dasar assabiyyah, tetapi atas dasar Islam semata-mata.

Dalam pembahagian kekayaan di kalangan rakyat ini, Syeikh Taqiuddin Al-Nabhani menjelaskan,

Islam mewajibkan yang kekayaan itu hendaklah diedarkan kepada seluruh masyarakat, dan melarang daripada diedarkan di kalangan orang-orang tertentu sahaja. Allah SWT berfirman,

“Supaya harta itu jangan hanya beredar di antara orang-orang kaya sahaja di antara kamu.” [TMQ Al-Hasyr (59):7]

Apabila masyarakat mengalami jurang pendapatan yang besar antara individu dalam rangka untuk memenuhi keperluan-keperluannya, kemudian masyarakat itu ingin dibangkitkan, ataupun di dalam masyarakat tersebut ada jurang agihan pendapatan kerana mengabaikan hukum-hakam Islam, ataupun kerana memandang remeh penerapan hukum-hakam Islam, maka negara haruslah menyelesaikan masalah ini dengan mewujudkan keseimbangan sosio-ekonomi di dalam masyarakat. Caranya adalah dengan mengagihkan harta hak milik negara (milkiah al-daulah) kepada sesiapa yang menghadapi masalah untuk memenuhi keperluan-keperluan asas hidupnya sehingga negara boleh memenuhi keperluan hidupnya. Apabila ini dilakukan maka akan terwujud lah keseimbangan (equilibrium) sosio-ekonomi dalam memenuhi keperluan-keperluan mereka.

Dalam memenuhi hal ini, negara bolehlah memberikan harta, baik yang bergerak (movable) mahupun tetap (immovable). Ini kerana maksud ‘pemberian harta’ tersebut bukan sekadar memenuhi keperluan yang bersifat sementara sahaja, tetapi apa yang dimaksudkan ialah ‘pemberian’ itu dijadikan teknik untuk memenuhi keperluan rakyat (untuk jangka panjang – pen). Ini kerana jika kekayaan itu dimiliki negara, maka ia akan dipergunakan untuk memenuhi keperluan-keperluan tersebut. Jika negara tidak mempunyai harta, ataupun harta negara tidak cukup untuk mewujudkan keseimbangan sosio-ekonomi itu, negara masih tetap tidak dibolehkan untuk memungut harta daripada rakyatnya. Oleh sebab itu, negara tidak boleh mengenakan cukai dalam rangka mewujudkan keseimbangan sosio-ekonomi di tengah-tengah masyarakatnya. Ini disebabkan ia bukanlah keperluan yang difardhukan ke atas kaum Muslimin (malah diharamkan - pen). Namun begitu negara boleh mengusahakan memenuhi harta tersebut (bukannya melalui cukai) melalui ghanimah (harta rampasan perang) dan melalui hak milik awam (milkiah al-ammah) yang lain, sehingga dengan melalui cara ini keseimbangan sosio-ekonomi di dalam masyarakat akan terwujud.

Begitulah yang akan dilakukan oleh negara apabila berlakunya ketidakseimbangan ekonomi di dalam masyarakat. Negara akan membekalkan orang yang tidak mampu memenuhi keperluan hidupnya dengan harta yang ada di Baitul Mal, jika di Baitul Mal ada mempunyai harta ghanimah, serta harta hak milik awam.

Jika dilihat dari sirah, ketika Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam melihat ada perbezaan dalam pemilikan harta (kekayaan) antara kaum Muhajirin dan Ansar, maka beliau mengkhususkan harta fai' yang dirampas dari Bani Nadhir menjadi harta kaum Muhajirin, supaya keseimbangan ekonomi berlaku di antara Muhajirin dan Ansar. Telah diriwayatkan bahawa apabila Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam menakluki Bani Nadhir dengan cara damai, dan orang-orang Yahudi diusir dari daerah tersebut, lalu kaum Muslimin bertanya kepada Rasulullah, apakah harta tersebut akan dibahagi di kalangan mereka, kemudian turunlah ayat,

“Dan apa sahaja harta rampasan fai' yang diberikan oleh Allah kepada Rasul-Nya (dari harta benda) mereka, maka untuk mendapatkan itu kamu tidak akan mengerahkan seekor kuda pun...” [TMQ Al-Hasyr (59) : 6]

Allah telah mengkhususkan harta Bani Nadhir itu untuk Rasulullah sahaja, jadi Rasulullah Sallallahu alaihi wa Sallam berhak untuk memberikan kepada sesiapa sahaja yang baginda mahu. Lalu harta itu dibahagikan kepada orang Muhajirin, sementara kaum Ansar tidak mendapat bahagian walaupun sedikit melainkan dua orang iaitu Abu Dujanah Samak bin Khurasyah dan Sahal bin Hunaif kerana mereka berdua ini dalam keadaan sama seperti orang Muhajirin yang lain iaitu fakir. [Nizhamul Iqtisadi Fil Islam, bab Agihan Kekayaan]

Bagaimanapun, hukum Islam itu tidak akan terlaksana sekiranya negara tidak berhukum dengan hukum Allah dan Rasul. Selagi tidak ada Daulah Khilafah, nampaknya hukum akal terus memainkan peranan dan hukum akal ini juga nampaknya akan terus memecahbelahkan umat Islam yang bergaduh dan cuba menegakkan hujah akal masing-masing.

0 comments: