Sunday, March 2, 2008

Peruntukan besar subsidi untuk keselesaan rakyat

KUALA KEDAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata kerajaan tidak pernah berbohong mengenai peruntukan besar dibelanjakan bagi menampung bantuan subsidi dan menyerap kenaikan harga barang untuk meringankan beban rakyat.

Beliau berkata, walaupun menghadapi kesukaran kerana kerajaan terpaksa memperuntukkan wang yang besar untuk tujuan itu, kerajaan tetap berusaha mengekalkan subsidi kerana tidak mahu menyusahkan rakyat.

"Kita nak bagi tau semua bahawa angka mengenai kenaikan harga minyak itu adalah benar dan tidak boleh dipalsukan kerana Malaysia akan berdepan dengan kritikan antarabangsa sekiranya berbuat demikian.

"Jika tak percaya pergi tengok dan baca, buat penyelidikan... apakah semua ini satu pembohongan. Mana boleh benda macam ni nak bohong pada rakyat," katanya ketika berucap pada majlis perjumpaan rakyat di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, kerajaan membelanjakan peruntukan besar, iaitu kira-kira RM35 bilion untuk memberikan subsidi, termasuk bagi bahan petroleum, tepung dan minyak masak supaya bebanan rakyat dapat dikurangkan.

Abdullah yang juga Pengerusi BN berkata, adalah mudah bagi Pas bercakap kononnya mahu menurunkan harga petrol sebanyak 30 sen seliter kerana ia sebenarnya akan mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung beban sebanyak RM5.4 bilion.

Janji Pas untuk menghapuskan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pula akan menyebabkan kos tambahan sebanyak RM17.2 bilion, manakala pendidikan percuma di institusi pengajian tinggi awam pula menyebabkan tambahan RM19 bilion.

"Pelaksanaan gaji minimum RM1,500 sebulan dijanjikan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pula akan mengakibatkan tambahan tanggungan kerajaan sebanyak RM34.8 bilion dan jika dijadikan akta boleh mengakibatkan syarikat kecil gulung tikar dan pihak swasta juga terpaksa patuh," katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai ketelusan senarai 'bersih' calon BN yang akan bertanding pada pilihan raya umum nanti dan jika ada di antara mereka yang terbabit dengan sebarang salah laku, Abdullah berkata, perkara itu akan dirujuk semula kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Perdana Menteri berkata, beliau juga akan merujuk perkara itu kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR), Pejabat Peguam Negara dan polis.

Katanya, perkara itu boleh berlaku mungkin kerana terlepas pandang ketika senarai calon ditapis polis dan BPR.

"Kita perlu dapatkan agensi berkaitan untuk membentangkan mengenai laporan itu dan kita akan pertimbangkan apa tindakan yang perlu diambil," katanya.

Sumber : Berita Harian 27/02/08

Ulasan:

Mengungkit-ungkit semula semua pemberian subsidi yang bernilai berbillion-billion ringgit pada ketika bahang pilihan raya semakin terasa sudah tentulah mendedahkan kepada kita betapa terdesaknya pemerintah untuk memastikan parti mereka menang. Pemerintah semakin galak berkempen dan melobi. Pelbagai cara dan eksploitasi dilakukan demi memastikan kemenangan. Pada ketika ini bagi sesetengah parti tiada lagi istilah halal dan haram kerana yang penting adalah kemenangan. Seperti biasa, kaedah politik Machiavelli digunapakai dan hukum syara' ditolak ke tepi dan pada sebahagian parti yang bertanding, kaedah Machiavelli itu seolah-olah telah bertukar menjadi 'wajib'.

Menonjolkan 'kemurahan' hati pemerintah di dalam pemberian subsidi itu sebenarnya mengharapkan balasan daripada rakyat agar mengundi mereka semula di dalam pilihan raya yang akan diadakan di dalam masa terdekat ini sedangkan hakikatnya pemberian subsidi itu adalah tanggungjawab mana-mana pemerintah ke atas rakyatnya dan bukan perkara yang perlu diungkit. Mereka ini langsung tidak faham perbezaan di antara subsidi dengan tanggungjawab. Bagi mereka yang mengungkit-ungkit apa jua pemberian yang telah mereka beri kepada orang lain, maka Allah berfirman,

“Wahai orang-orang yang beriman! jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti (perasaan si penerima), seperti (rosaknya pahala amal) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir" [TMQ al-Baqarah (2):264].

Rasulullah saw pula mengingatkan dalam hadisnya dengan begitu tegas sekali, dari Abu Dzar bahawa Rasulullah saw bersabda,

“Ada tiga golongan yang tidak akan diajak bicara oleh Allah di hari Kiamat. Allah tidak akan melihat mereka dan tidak akan membersihkan mereka. Mereka akan mendapat seksa yang sangat pedih. Abu Dzar berkata, ‘Rasulullah saw mengungkapkannya sebanyak tiga kali’ Abu Dzar berkata, ‘sedih dan rugilah mereka. Siapa mereka wahai Rasulullah?’ Rasulullah saw menjawab, ‘Mereka adalah orang yang menghulurkan pakaiannya hingga ke bawah mata kaki dengan kesombongan, orang yang suka mengungkit-ungkit pemberian dan orang yang mengembangkan hartanya dengan sumpah dusta” [HR Muslim].

Mereka mengungkit-ungkit untuk mendapat kesenangan dunia dan agar mereka diingati dan disokong oleh manusia, namun Allah tidak menghendaki semua itu dilakukan oleh makhlukNya. Sesungguhnya rugi dan terseksalah mereka yang suka mengungkit-ungkit tersebut di akhirat kelak dengan azab yang pedih dari Allah Azza wa Jalla. Na’uzubillah min zalik.

0 comments: