KEPALA BATAS 24 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan akan menubuhkan barisan Kabinet yang terbaik dengan gabungan muka lama dan baru sekiranya Barisan Nasional (BN) diberikan mandat baru pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Menurut Perdana Menteri, untuk tujuan itu semua calon BN yang dipilih bertanding pada pilihan raya umum kali ini merupakan calon yang sebaik-baiknya dan telah melalui proses siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), mahkamah serta Jabatan Insolvensi.
Abdullah berkata, sebelum pilihan raya BN telah memastikan semuanya diatur dengan baik dengan calon yang dipilih dipastikan melalui siasatan dengan badan-badan berkenaan.
‘‘Kalau ada kes yang terlibat dengan mahkamah, macam semalam (apabila) kita mengetahui salah seorang calon yang dicadangkan mempunyai kes di mahkamah di bawah Kanun Keseksaan, kita serta-merta menggugurkan calon berkenaan.
‘‘Ada beberapa kes melibatkan isu BPR serta polis, jadi kita membuat siasatan dengan terperinci dan dalam masa yang sama, kita akan memeriksa dengan Jabatan Insolvensi sama ada bakal calon itu muflis atau tidak.
‘‘Jadi kita periksa dan calon sedemikian tidak akan dibenarkan (bertanding), kita memeriksa untuk memberikan yang terbaik,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas proses penamaan calon di sini hari ini.
Ditanya mengenai kempen pilihan raya, Perdana Menteri berkata, setakat ini beliau tidak mendengar sebarang masalah atau huru-hara berlaku di mana-mana tempat.
Sambil melahirkan rasa gembira, beliau mengucapkan terima kasih kepada polis yang telah mengawal keadaan keselamatan dengan baik dan ia merupakan langkah pertama menjayakan proses pemilihan calon.
‘‘Proses pemilihan calon oleh rakyat adalah amat penting bagi rakyat Malaysia. Mereka tentu sekali nak pilih siapa yang mereka mahu.
‘‘Saya percaya mereka akan beri perhatian kepada BN yang sejak 50 tahun lalu, bermula dengan Perikatan, telah pun mencapai kejayaan membangunkan negara serta pastikan dalam keadaan aman, selamat,” katanya.
Semasa berkempen pula, Perdana Menteri meminta supaya tidak berlaku pergaduhan antara penyokong parti-parti yang bertanding dan mereka diminta supaya menjaga percakapan kerana jika berlaku pergaduhan ia boleh mencemarkan proses pilihan raya.
Sumber: Utusan Malaysia 25/02/08
Ulasan:
Membaca tajuk keratan akhbar di atas, sekali lalu kita terus terfikir bahawa PM menjanjikan calon yang terbaik yang beriman dan bertakwa kepada Allah...rupanya ‘yang terbaik’ dalam definisi pemimpin tertinggi Islam Hadhari ini adalah terbaik dari segi ‘tidak ada rekod rasuah atau pun bankrap’. Masya Allah! Inilah ukuran baik dan buruk bagi seorang PM – baik jika tidak ada rekod rasuah atau pun baik jika calon tersebut tidak bankrap. Di manakah Al-Quran, di manakah hadis, di manakah Imam Ghazali yang selama ini dicari-cari oleh pemuisi Hadhari ini? Adakah ini kriteria insan terbaik yang digariskan oleh Al-Quran dan Sunah dan juga Imam Ghazali? Keimanan dan ketakwaan kepada Allah tidak dijadikan panduan...namun ‘akal’lah yang dijadikan ukuran.
Setiap kali pilihan raya, itulah apa yang akan diperkatakan oleh pemimpin parti yang bertanding yakni menjanjikan orang yang terbaik. Ya benar, budaya yang sedia wujud dan lama diketahui dalam UMNO/BN adalah calon-calon yang terbaik yang dipilih ini, setelah mereka menang nanti, maka mereka benar-benar akan menjadi wakil rakyat atau Kabinet yang terbaik. Mereka adalah orang yang terbaik di dalam mengkhianati amanah yang Allah letakkan pada mereka, mereka adalah yang terbaik di dalam memberi dan menerima rasuah, mereka adalah yang terbaik di dalam mengabaikan tanggungjawab mereka; mereka adalah terbaik di dalam merampas hak rakyat, menindas rakyat, mereka juga terbaik di dalam mengaut segala kekayaan rakyat ke dalam kantong mereka, mereka adalah yang terbaik dalam membodek PM untuk mendapat jawatan dan projek, mereka adalah yang terbaik di dalam merosakkan negara, mereka adalah yang terbaik di dalam skandal seks, terbaik di dalam memfitnah dan bergaduh sesama sendiri, terbaik di dalam membenci gerakan-gerakan Islam yang berjuang untuk menegakkan agama Allah dan pendek kata, mereka adalah yang terbaik di dalam segala perkara seumpama di atas. Yang paling utama, mereka adalah yang terbaik di dalam menerapkan hukum kufur dan mereka adalah contoh terbaik pemimpin yang lalai dari peringatan Allah.
Semoga mereka ini akan mendapat balasan yang ‘terbaik’ dari Allah.
Monday, February 25, 2008
PM janji Kabinet terbaik
Labels: Dalam Negeri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment