Tuesday, February 5, 2008

Islam pada kelas tersendiri

MENGAPA timbul dakwaan dan fahaman bahawa semua agama sama? Apakah kerana kejahilan tentang agama atau kerana ada agenda dan kepentingan lain sehingga sanggup menyamaratakan semua konsep agama untuk kelangsungan hidup.

Memang zaman selalu berubah, begitu juga dengan budaya hidup dan cara berfikir manusia. Berkembang dan majunya akal fikiran menjadikan akidah manusia jadi keliru, lalu timbul fahaman semua agama adalah sama.

Walaupun manusia punya kebebasan hak kehormatan (maruah) dan beragama tetapi budaya hidup dengan suku kaum yang pelbagai adalah berbeza.

Apa lagi soal agama iaitu pegangan ketauhidan dan konsep akidah terhadap Allah s.w.t. dalam Islam. Ia tidak akan pernah sama dengan mana-mana agama.

Islam hanya satu-satunya agama diterima di sisi Allah s.w.t sebagaimana mafhum-Nya: Sesungguhnya din (agama) yang diredai di sisi Allah hanyalah Islam.... (Ali-Imran:19).

Sebaliknya kepelbagaian bangsa dan suku kaum serta warna kulit manusia itu adalah agar mereka saling mengenali dan berhubungan antara satu sama lain sebagaimana mafhum-Nya lagi: Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa - bangsa dan bersuku-suku (berpuak-puak) supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (al-Hujuraat: 13)

Salah satu jalan ke arah mengenali dan merapatkan hubungan sukuan bangsa serta menjalin kesefahaman untuk saling menghormati dan hidup dalam keharmonian adalah melalui majlis dialog dan bermuzakarah.

Namun, Ketua Jabatan Undang-Undang Awam, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Abdul Aziz Bari menggesa jangan ada pihak yang menafikan apa yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan.

“Malaysia adalah negara Islam, jadi dasar keislaman harus jadi keutamaan oleh pemerintah dan ini harus difahami oleh golongan bukan Islam,” tegas beliau.

Menurut Abdul Aziz, kontrak sosial dibangkitkan kerana kefahaman yang cetek mengenai sejarah dan perlembagaan negara dan orang Islam terlalu bertolak ansur sehingga mengabaikan hak Islam sendiri.

“Akhirnya kita tidak tahu apa lagi yang ada untuk umat Islam,” katanya pada forum ‘Isu-isu tumpuan dalam dialog antara agama dan peradaban: Pengalaman semasa umat Islam’ dalam Muzakarah Ke Arah Pendisiplinan Dialog Antara Agama dan Peradaban, baru-baru ini.

Muzakarah anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di dewan besar institusi berkenaan pada 22 Januari lalu itu dihadiri oleh kira-kira 100 peserta terdiri daripada ahli akademik dan ahli agama tempatan.

Abdul Aziz ialah antara tiga ahli panel yang membicarakan mengenai tajuk tersebut. Dua lagi ahli panel ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad dan pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM, Prof. Madya Dr. Kamar Oniah Kamaruzaman.

Kena tegas

Muzakarah sehari itu juga turut menampilkan empat pembahas daripada ahli akademik dan ilmuwan dalam perbahasan ‘Ke arah Pendisiplinan Dialog Antara Agama dan Peradaban’.

Menurut Abdul Aziz, timbul kekeliruan mengenai Islam juga disebabkan ada pihak yang tidak senang dengan kedudukan Islam dalam sejarah dan perlembagaan negara Malaysia.

“Sebab itu kita orang Islam sebagai peneraju dalam pemerintahan tidak boleh bertolak ansur lagi. Pemimpin dan Muslim kena tegas dan jangan jahil hukum-hukum syarak serta sentiasalah mengikuti perkembangannya,” tegas beliau.

Sementara itu, Mohd. Nakhaie pula mempersoalkan, apakah Islam perlu kepada dialog antara agama?

Ini kerana tegas beliau, penyertaan Islam dalam dialog antara agama tidak pernah terancang dan bukan mewakili Islam yang sebenar.

“Melalui dialog, Muslim sepatutnya mendakwahkan Islam, tetapi sebaliknya orang Islam yang ‘dilantik’ dalam dialog telah didakwahkan oleh penganjurnya (musuh Islam),” ujar beliau.

Kata Mohd. Nakhaie lagi, ini berlaku kerana orang Islam yang dijemput berdialog mengenai agama tidak memahami latar belakang peradaban dan sejarah Islam serta tidak peka pada muslihat di sebalik dialog antara agama yang diadakan.

Akibatnya, jelas beliau, dengan mudah Islam diperalatkan oleh golongan Islam liberal dan yang memusuhi Islam.

“Oleh itu keilmuan mengenai dialog mesti mantap, sebab belum ada dialog yang menguntungkan Islam, tetapi banyak beri kelebihan kepada musuh kerana kecekapan strategi mereka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah IKIM, Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas berkata, agama-agama lain tidak berhak mengguna istilah atau perkataan Allah kerana ia nama khas dalam Islam yang terkandung dalam kitab suci al-Quran.

“Dari sudut falsafah, tidak ada tasawwur kefahaman mengenai Allah dalam mana-mana agama lain kecuali Islam,” tegasnya semasa menyampaikan ucaptama dan merasmikan muzakarah itu.

Sedangkan kalimah Tuhan menurut beliau, adalah istilah umum yang turut merujuk kepada Tuhan-tuhan dalam agama penyembahan berhala dan makhluk.

Sumber: Utusan Malaysia 06/02/08

Ulasan:

Berhubung kenyataan Ketua Jabatan Undang-Undang Awam, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, UIAM, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari yang menggesa jangan ada pihak yang menafikan apa yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan bahawa “Malaysia adalah negara Islam....”, ini jelas menunjukkan kekeliruan dalam berfikir yang dimiliki oleh seorang intelektual.

Sesebuah negara ingin dikategorikan sebagai sebuah Negara Islam perlu mempunyai kriteria yang khas untuk disebut sebagai Negara Islam, bukannya berdasarkan pa yang termaktub. Kalau setakat adanya peruntukan “agama rasmi Islam” dalam Perlembagaan akan menjadikan sesebuah negara itu Islam, maka analogi mudahnya adalah, AS pun akan boleh bertukar menjadi Negara Islam jika mereka merubah Perlembagaannya dengan menjadikan Islam sebagai agama rasmi. Sebaliknya, Madinah yang ditubuhkan oleh Rasulullah pula bukanlah merupakan negara Islam kerana tidak dinyatakan dalam Watsiqah/Sahifah (Perlembagaan) Madinah bahawa Islam adalah agama rasmi. Tentulah batil hujah-hujah ini, bukan?

Sebagaimana ‘orang’ Islam, ‘negara’ Islam juga mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri. Apabila ada sebab-musabab (ciri itu ada) itu maka barulah akibatnya (effect) orang/negara tersebut dikatakan Islam.

Sayangnya ada beberapa orang intelektual yang telah membalikkan realiti ini, bila ‘sebab’ dijadikan ‘akibat’, dan ‘akibat’ dijadikan ‘sebab’. Sebagai contoh, dalam polemik Malaysia sebagai sebuah Negara Islam, Malaysia sudah terlebih dahulu dikatakan (diisytiharkan) sebagai negara Islam kemudian, ‘sebab’nya dicari kemudian, bahkan sekadar ‘petikan’ dari perlembagaan yang menyebut Islam sebagai ‘agama rasmi’ terus diambil untuk dijadikan ‘sebab’ yang dengannya, Malaysia adalah ‘negara Islam’. Pendek kata, dalam minda mereka Malaysia mesti dijadikan Negara Islam, nasnya dicari kemudian.

Tidak cukup dengan itu, di carinya ‘ulama tertentu’ untuk menobatkan Malaysia sebagai Negara Islam dan agar diiktiraf dunia, maka diusung dan dijaja ke seantero dunia bahawa Malaysia adalah negara Islam.

Walhal dua ciri utama yang menjadikan sesebuah negara itu Islam, langsung tidak disebut, tepatnya tidak ada iaitu mestilah (i) adanya keamanan Islam dan (ii) penerapan hukum-hakam Islam secara kaffah. Syarat utama iaitu negara perlu menerapkan hukum-hakam Islam secara menyeluruh yang bersumber dari Al-Quran, Sunah, Ijmak dan Qiyas.

Namun peruntukan dalam perlembagaan Malaysia sendiri menafikan perkara ini. Bahkan Perlembagaan memperuntukkan jika ada undang-undang yang berlawanan dengan perlembagaan Malaysia, undang-undang tersebut akan terbatal (termasuk juga undang-undang Islam). Ini adalah permasalahan akidah yang jelas-jelas salah di mana sepatutnya apa sahaja yang terkandung dalam perlembagaan itu terbatal jika bertentangan dengan Islam, bukan sebaliknya. Hal ini sengaja disorok oleh intelektual tersebut dan cuba diputarbelitkan untuk menjustifikasikan hujah mereka yang lemah. Atau adakah mereka ini golongan intelek yang jahil atau dengan kata lain, langsung tidak intelektual?

0 comments: