Tuesday, February 19, 2008

Negara Islam sepakat amal Islam Hadhari

KUALA LUMPUR 17 Feb. - Delegasi Multaqa Alumni Al-Azhar 2008 di sini sepakat agar semua negara Islam mengamalkan pendekatan Islam Hadhari yang diamalkan oleh Malaysia untuk memacu kemajuan umat Islam.

Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Abd. Shukor Husin berkata, ini kerana pendekatan tersebut menumpukan kepada pembangunan rohani dan spiritual yang seimbang.

Katanya, walaupun pendekatan tersebut masih di peringkat pelaksanaan tetapi para delegasi bersetuju yang ia memberi keutamaan kepada kesepaduan di antara penguasaan ilmu dan pembangunan.

"Pengalaman Malaysia selama tiga tahun mengamalkan konsep Islam Hadhari dalam membina ketamadunan bangsa, ekonomi, kerjasama antarabangsa dan penguasaan ilmu berteraskan Islam, membuka minda negara-negara Islam agar tidak bertumpu kepada aspek agama sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membentangkan kertas kerja ''Pendekatan Islam Hadhari: Pengalaman Malaysia'' pada hari ketiga Multaqa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLLCC) di sini hari ini.

Ahli panel yang lain ialah pensyarah Universiti Al-Azhar, Dr. Fuad Al-Nadi; pensyarah Universiti Islam Imam Muhammad bin Suud, Riyadh, Prof. Dr. Mohammad Ahmad Al-Salleh dan pensyarah Universiti Al-Azhar, Prof. Dr. Mohammad Abd. Sattar Nassar yang turut membincangkan mengenai warisan dan pembaharuan.

Dalam pada itu, Abd. Shukor yang juga pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan berkata, negara-negara Islam perlu melakukan perubahan dan bukan hanya bercakap mengenai teori tanpa praktikal.

"Apa yang diperbincangkan perlu dipraktikkan ke arah menjana kemajuan umat Islam berpandukan petunjuk agama yang suci di samping mengembalikan kegemilangan dan kecemerlangan umat Islam.

"Malaysia yang berlatar belakangkan masyarakat majmuk telah mengaplikasikan pendekatan tersebut sebagai model kepada negara-negara Islam yang lain," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia 18/02/08

Ulasan:

Memang hebat propaganda UMNO menjelang pilihan raya kali ini! Dengan penganjuran Multaqa Alumni Al-Azhar 2008 ini, ternyata banyak ‘kebaikan’ yang cuba digapai dan dipropaganda habis-habisan oleh kerajaan. Sebagaimana dijangka, ‘Islam Hadhari’ tentunya menjadi agenda utama untuk diketengahkan.

Jika satu masa dahulu Dr. Mahathir telah mengisytiharkan Malaysia Negara Islam, lalu bekas PM ini menjemput ‘ulama’ satu dunia untuk ‘mengiktiraf’ yang Malaysia adalah negara Islam. Kini giliran Pak Lah pula, setelah memperkenalkan Islam Hadhari, menjemput seramai mungkin ‘ulama’ Al-Azhar untuk ‘mengiktiraf’ konsep menyeleweng yang dibawanya selama ini.

Jika kita fikirkan dengan mendalam, jika benarlah konsep Islam Hadhari yang di bawa PM Malaysia ini bertepatan dengan Islam dan merupakan satu konsep yang agung (sebagaimana dilaung-laungkan!), maka sudah tentu dan tidak dapat diragukan lagi bahawa ulama mahupun bekas Al-Azhar yang ada semuanya adalah jahil (bodoh). Apa tidaknya, satu konsep yang mereka (ulama Al-Azhar) sendiri puji habis-habisan (sekarang) sehingga disaran untuk dijadikan contoh oleh semua negara umat Islam, namun konsep yang ‘agung’ yang datangnya dari Islam ini, tidak pula diketahui oleh mereka selama ini!!! Alangkah jahilnya para ulama Al-Azhar selama ini – tidak tahu bahawa di dalam Islam ini ada satu konsep bernegara yang hebat yang bernama ‘Islam Hadhari’!

Sayang sekali dengan golongan ulama yang ada pada hari ini yang rata-rata hanya diperkuda oleh golongan umarak (pemerintah) untuk menyokong pemerintahan kufur-sekular yang mereka amalkan. Hampir tidak ada lagi mereka yang dikenali sebagai ulama pada hari ini yang ikhlas yang berani menegur kerajaan dan berjuang untuk menegakkan hukum Allah. Maka, perjuangan untuk meninggikan kalimah Allah pada hari ini tidak lagi dibawa oleh ulama murahan ini. Yang berjuang untuk meninggikan kalimah Allah pada hari ini adalah pemuda-pemuda yang ikhlas, yang walau pun bukan lulusan Al-Azhar tetapi terdiri dari mereka yang sayangkan Allah dan Rasul melebihi dari segala-galanya. Mereka adalah orang yang dibenci oleh pemerintah, namun mereka tidak mengharapkan sedikit pun pujian atau redha dari pemerintah yang ada, tetapi mereka berjuang kerana ingin meraih redha dan syurga Allah.

0 comments: