KUALA LUMPUR 16 Feb. – Dunia Islam tidak harus terlalu mudah menghukum semua masyarakat Barat membenci Islam kerana masih terdapat sebahagian daripada mereka menghormati agama suci itu.
Syeikhul Al-Azhar, Dr. Muhammed Sayyid Tantawi berkata, tuduhan seumpama itu tidak adil kerana sifatnya berat sebelah, sekali gus tidak menggambarkan keadaan yang sebenar khususnya kepada mereka yang pro-Islam.
Sehubungan itu beliau meminta, pendapat yang terlalu umum mengenai hubungan antara Islam dan Barat perlu dielakkan supaya tidak berlaku salah faham.
‘‘Pada tahun ini kira-kira 3,000 pelajar di Universiti Al-Azhar yang berasal dari negara-negara bukan Islam (negara-negara Barat) telah memeluk Islam dan ini menunjukkan tidak semua masyarakat Barat membenci Islam. Kejayaan ini amat membanggakan kita.
‘‘Mereka memeluk Islam kerana yakin dengan Islam. Oleh itu kita perlu menunjukkan kepada pihak Barat cara Islam yang sebenarnya,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Dakwah dan Pengurusan Islam) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang disampaikan Canselornya, Tuanku Najihah Tunku Besar Burhanuddin.
Tantawi berkata, selain memberi contoh yang terbaik, setiap umat Islam juga bertanggungjawab mempertahankan ajaran agama suci itu daripada diganggu gugat oleh mana-mana pihak.
‘‘Ini bukan tanggungjawab pihak tertentu sahaja tetapi juga semua (penganut) Islam,” ujarnya.
Mengenai isu perselisihan pendapat antara Ahli Sunah Wal Jamaah dan Syiah, beliau berkata, selagi semua pihak berpegang kepada akidah yang sama, mengakui kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. dan semua nabi serta mengiktiraf sahabat-sahabat Rasulullah, perbezaan yang berlaku itu tidak harus menjadi punca perpecahan.
‘‘Bagi saya tiada bezanya antara Ahli Sunah dan Syiah kerana kedua-duanya masih berpegang kepada akidah yang satu dan kita semua tetap bersaudara,” katanya lagi.
Ditanya mengenai langkah kerajaan Iran membina teknologi nuklear bagi tujuan menjana tenaga elektrik, Tantawi berpendapat setiap program yang memberi manfaat kepada rakyat hendaklah disokong.
‘‘Apa jua projek yang tidak memudaratkan rakyat, hendaklah disokong sepenuhnya,” ujarnya lagi.
Sumber: Utusan Malaysia 17/02/08
Ulasan:
Inilah kata-kata yang dikeluarkan oleh seorang 'ulama' yang tersohor, yang terkenal memihak kepada Barat dalam banyak ucapan/komennya. Tidak lama dahulu Tantawi menyokong kerajaan Perancis yang tidak membenarkan pelajar Islam memakai tudung di negara mereka. Alasan jahil Tantawi mudah sahaja – umat Islam perlu taat kepada undang-undang di mana tempat mereka tinggal.
Kali ini, Tantawi sekali lagi menyatakan ‘sokongan’nya kepada Barat apabila menyeru umat Islam agar tidak memusuhi Barat kerana tidak semua masyarakat Barat membenci Islam. Sekali pandang memang benar apa yang dikatakan Tantawi, namun apa yang sebenarnya tersurat dan tersirat dari kata-kata Tantawi adalah umat Islam hendaklah bersangka baik dengan Barat, jangan menuduh Barat jahat, jangan membenci Barat dan seumpamanya. Ya, memang benar tidak semua orang Barat itu jahat, tetapi takkanlah Tantawi begitu jahil sehingga tidak tahu apabila kita merujuk kepada ‘Barat’, maka yang kita maksudkan adalah ‘pemerintah Barat’ yang kesemuanya adalah terdiri dari orang-orang kafir yang rata-ratanya memusuhi Islam atau benci kepada Islam. Apabila kita menyebut ‘Barat’, itulah yang kita maksudkan, dan bukannya kita maksudkan ‘orang-orang’ Barat, apatah lagi orang Islam Barat. Istilah ‘Barat (Western)’ juga sering digunakan sebagai suatu terminologi kepada sebuah ketamadunan yang rosak dan kufur yang bercanggah dengan Islam.
Apakah Tantawi begitu jahil sehingga tidak mengerti hakikat ini? Tentunya tidak! Apa yang Tantawi mahukan ialah umat Islam memandang baik pemerintahan Barat! Kenapa Tantawi tidak mengeluarkan ucapan seperti, “Barat adalah jahat kecuali orang Islam Barat”, jika betul yang beliau ingin mengasingkan ‘orang Islam Barat’?
Kata-kata Tantawi ini hanya akan menyebabkan Barat lagi sayang kepadanya (dan mungkin inilah yang Syeikhul Azhar ini mahukan), dan yang lebih bahaya, pemerintah-pemerintah Muslim yang sekular tentunya akan menerima 100% idea menyeleweng Tantawi ini untuk membuat dasar terus berbaik dengan rejim kuffar Barat yang terkenal kejam dan memusuhi Islam selama ini.
Barat merupakan musuh Islam. Banyak ayat-ayat Allah yang memberitakan perkara ini. Nescaya tidak sepatutnya seorang pun dari kalangan kaum muslimin yang layak bersuara untuk mendamaikan antara Islam dan Barat. Ini adalah ketetapan dari Allah Yang Maha Pencipta, bukan dari sejarah, realiti atau lain-lain. Firman Allah,
"Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut milah mereka...” [TMQ Al-Baqarah (2):120]
“...mereka tidak akan berhenti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu, mereka suka apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih besar lagi.” [TMQ Ali Imran (3):118].
“..mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu dari agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka mampu” [TMQ al-Baqarah (2):217].
Demikian jelas dan nyata apa yang disebut oleh Allah di dalam Al-Quran, namun kita menyaksikan ramai pemimpin dan ‘ulama’ Islam yang masih ingin mengambil kafir Barat sebagai sahabat dan tidak kurang yang menyeru untuk merapatkan jurang perbezaan antara Islam dan Barat. Kenapakah mereka tidak menyeru kepada perkara/hukum yang jelas-jelas qath’i di dalam Islam seperti menyatukan semula kaum Muslimin di bawah satu payung pemerintahan – Daulah Khilafah? Apakah pemimpin dan ulama ini begitu jahil sehingga tidak tahu akan kewajipan ini?
Tuesday, February 19, 2008
Anti-Islam: Jangan mudah hukum Barat
Labels: Dalam Negeri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment