Tuesday, February 5, 2008

10 kawasan gejala sosial tinggi dipulihkan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memulihkan 10 kawasan dengan kadar gejala sosial dan jenayah tinggi di Lembah Klang bagi mewujudkan persekitaran komuniti lebih baik dan selamat untuk penduduk, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, projek perintis berasaskan teori sosial perbandaran 'Broken Window Theory' itu membabitkan pemulihan fizikal kawasan berkenaan seperti membaik pulih prasarana, menyediakan kemudahan riadah untuk belia dan memastikan keselamatan permainan kanak-kanak.

"Berasaskan 'Broken Window Theory', jika kita nak kurangkan masalah sosial dan jenayah di mana-mana kawasan, maka kawasan itu perlu digambarkan sebagai indah dan dijaga dengan baik.

"Apabila diselenggara dan diselia dengan baik, mereka yang tinggal dalam kawasan itu juga menunjukkan sikap lebih bertanggungjawab," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

'Broken Window Theory' diilhamkam penganalisis jenayah Amerika, James Q Wilson dan George Kelling, yang menyatakan jenayah adalah akibat ketiadaan kerukunan atau ketenteraman awam.

Mereka berkata, jika sebuah tingkap yang pecah tidak segera diperbaiki, orang ramai akan beranggapan bahawa tiada pihak yang peduli atau berkuasa sehingga lebih banyak tingkap dipecahkan, sekali gus mewujudkan keadaan anarki yang akan tersebar ke kawasan kejiranan berhampiran.

Pendekatan teori itu digunakan pihak berkuasa New York bagi menangani masalah sosial dan jenayah di bandar raya itu sejak dua dekad lalu.

Najib berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan mengenal pasti 10 kawasan berkenaan dan kerja pemulihan akan dijalankan dengan kerja sama pihak berkuasa tempatan, polis, Rukun Tetangga dan agensi berkaitan.

Katanya, program perintis itu akan diperluaskan ke kawasan lain jika didapati mampu mengurangkan kadar gejala sosial dan jenayah.

"Kita mulakan dengan asas ini... kita tengok sama ada menerusi tumpuan secara holistik ini kita dapat mempengaruhi tingkah laku mereka yang tinggal di kawasan ini," katanya.

Ditanya kawasan yang mungkin dipilih untuk program perintis itu, Najib berkata, antaranya ialah rumah pangsa dan perumahan yang memerlukan pemulihan.

"Tak semestinya kawasan jenayah, tetapi kawasan yang ada masalah sosial seperti vandalisme," katanya.

Najib berkata, Majlis Sosial Negara juga menetapkan semua program sosial yang dijalankan mestilah dirangka untuk kumpulan sasaran khusus.

"Maknanya kita kenal pasti kawasan yang hadapi banyak masalah dan kita akan babitkan belia dalam komuniti itu dengan program yang dijalankan. Jika tidak mereka yang terbabit dalam program adalah mereka yang sudah pun berkelakuan baik," katanya.

Sumber: Berita Harian 05/02/08

Ulasan:

Ingin pulihkan gejala sosial dengan konsep Barat? Pelik bin ajaib. Negara Barat (AS) yang merupakan negara yang paling bermasalah dari segi sosial tiba-tiba dijadikan rujukan. Inilah kerajaan sekular Malaysia, sudah tentu apa sahaja yang berasal dari Barat dilihat cantik untuk dilaksanakan. Pembuat dasar di negara kita selalu mencuba teknik-teknik asing dan mengimportnya untuk membaiki gejala sosial yang berleluasa di Negara ini. Satu perkara yang mereka tidak lakukan atau takut untuk mereka lakukan adalah mengambil Islam secara kaffah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam masyarakat. Bahkan mereka melihat ‘Islam’ itu adalah satu masalah bukannya satu penyelesaian untuk kehidupan. Jadi, mereka langsung tidak menoleh kepada Islam untuk menyelesaikan masalah, tetapi lebih suka berpaling kepada Barat.

Broken Window Theory adalah satu kaedah bersifat psikologi untuk mengelakkan aktiviti vandalisme seperti merosakkan cermin tingkap, kereta, menulis grafiti, mabuk di jalanan dan seumpamanya. Persoalannya, siapakah yang akan menggantikan tingkap atau memadam lukisan grafiti di dinding yang disebabkan oleh vandalisme ini? Apakah pihak berkuasa atau pemilik rumah atau pemilik bangunan tersebut? Di Barat sendiri, beberapa kritikan telah muncul kepada teori ini, sebagai contoh boleh merujuk kepada tulisan Richard Morin yang bertajuk A Crack in the Broken-Windows Theory. Barat sendiri (khususnya New York) sampai sekarang merupakan antara bandar yang mencatat kadar jenayah tertinggi di dunia, yang sekali gus membuktikan teori ini hanya tinggal teori sahaja.

Teori ini kemudiannya diilhamkan untuk mengubat penyakit bawaan dari doktrin kapitalisme yang memperjuangkan konsep kebebasan di mana setiap perbuatan tidak ada nilainya melainkan untuk merealisasikan kebebasan peribadi seseorang. Adalah amat lemah dan dangkal apabila kita memandang bahawa teori ini akan menyelesaikan masalah sosial masyarakat di mana-mana tempat pun di atas dunia ini, termasuklah di Malaysia. Jahilnya pemimpin dengan Islam dan taksubnya mereka dengan Barat menyebabkan mereka langsung tidak mengambil Islam sebagai penyelesai kepada segala masalah. Walhal Islam telah lama datang dan menyelesaikan konflik yang ada dalam masyarakat sejak zaman Jahiliyyah lagi dengan sistematik dan tuntas. Untuk menanam nilai murni yang agung dalam masyarakat maka kita hendaklah menerapkan sistem Islam secara keseluruhan, yang mana sistem Islam ini pasti akan dapat;

1) menjaga akidah
2) menjaga akal
3) menjaga harta
4) menjaga nyawa
5) menjaga nasab
6) menjaga maruah
7) menjaga keamanan
8) menjaga kesatuan negara

Untuk menjamin kesemuanya berjalan maka pendekatan Islam yang holistik (kaffah) perlu dilakukan dengan:-

(1) setiap individu mengambil ideologi Islam sebagai asas untuk memperbaiki konsep dan perbuatannya dengan hukum syarak,
(2) mewujudkan masyarakat yang sentiasa melakukan amar makruf nahi mungkar sesuai tuntutan syarak
(3) Negara pula bertindak menghukum penjenayah, atau orang melanggar undang-undang tadi dengan hukum Islam.

Pokoknya kita wajib kembali kepada Islam yang menyeluruh bukannya kembali kepada Broken-Window Theory.

0 comments: