DUNIA politik memang penuh dengan drama sedih, ketawa dan pengalaman yang boleh mematangkan seseorang manusia.
Bagi bekas ahli Parlimen Baling, Kedah, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, sesuatu yang dipelajarinya dalam politik ialah sahabat tidak kekal dan boleh berubah dalam sekelip mata.
Dalam pertemuan dengannya sempena Sambutan Maulidur Rasul di Stadium Nasional Bukit Jalil, baru-baru ini, Dr Mashitah seperti biasa sentiasa menguntum senyuman walaupun mengakui masih dalam kejutan.
Beliau bersyukur kerana masih diterima dalam kerajaan walaupun tidak mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU), baru-baru ini.
"Saya gembira kerana masih dapat menabur bakti kepada masyarakat terutama umat Islam apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Namun, saya banyak belajar asam garam dunia politik yang menuntut banyak pengorbanan, kesabaran dan tidak mudah mengalah," katanya.
Menurutnya, pengalaman disisih rakan karib sebaik tidak dicalonkan dalam pilihan raya baru-baru ini memang memberi pengajaran berguna.
Penyokong yang selama ini berdiri di belakangnya turut menjauhkan diri.
"Ketika itu saya kenal siapa kawan sejati kerana ada yang enggan berjumpa apabila nama saya tidak dicalonkan.
"Saya menangis bukan kerana kehilangan jawatan tetapi sikap rakan karib dan penyokong yang tidak ikhlas.
"Saya memang tertekan dengan sikap rakan-rakan dan penyokong tetapi suami banyak memberi semangat," katanya.
Dr Mashitah, 43, bekas pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa ini berkata, pengalaman mentarbiah orang ramai menerusi kuliah dan syarahannya menjadi landasannya bermuhasabah diri sendiri.
"Ayah pernah berkata, jangan bersedih jika sudah kerja kuat dan melakukan yang terbaik selain memelihara akhlak baik.
"Allah akan ganti dengan lebih baik sebab Yang Maha Esa ada perancangan tersendiri yang kita tidak tahu hikmah di sebaliknya.
"Apabila pengumuman saya menyertai Kabinet, saya mengakui kata-kata ayah benar," katanya.
Namun, benar bahawa politik memang penuh dengan kejutan kerana selepas itu saya menerima lebih 250 Sistem Pesanan Ringkas (SMS) yang memberi tahniah.
"Lucunya, ada antara SMS itu daripada mereka yang menyisihkan saya sebelum ini.
"Apa pun, saya anggap itu adat dunia dan pengalaman itu mematangkan saya menjadi lebih kuat," katanya.
Beliau berkata, kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberikannya semangat untuk memberikan yang terbaik kepada agama, bangsa dan negara.
"Saya berjanji kepada Pak Lah dan diri sendiri untuk melakukan yang terbaik," katanya.
Mengenai dakwaan beliau gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Baling, Kedah, beliau berkata, itu tidak benar.
"Semua laporan sampai ke tangan Pak Lah. Masyarakat tahu saya sering turun padang tetapi perkara itu tidak perlu dihebohkan.
"Saya buat kerja kerana Allah dan bukan kerana kehendak orang. Tetapi, saya akur kita tidak boleh memuaskan semua pihak," katanya.
Dr Mashitah berkata, tugasnya selepas itu ialah memastikan program Islam Hadhari dapat dilaksanakan dengan lancar selain mengumpul golongan profesional berlatarbelakangkan agama.
"Untuk mengembalikan keyakinan rakyat, perlu ada kesungguhan daripada semua pihak. Inilah cabaran yang hebat buat saya.
"Ia memerlukan kekuatan mental dan pengalaman sepenggal sebagai ahli parlimen memudahkan tugas ini," katanya.
Tambahan lagi, katanya, bersandarkan hanya beberapa kerat barisan kepemimpinan wanita dalam kabinet, beliau merasakan tugas besar menunggunya menjulang kegemilangan Islam Hadhari satu penghormatan buat golongan wanita.
"Saya bertuah kerana bakal bekerjasama dengan 'bos' yang begitu keterbukaan sifatnya (merujuk kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi).
"Sesuatu yang saya pelajari, dalam politik saya akan lebih berhati-hati kerana kita sentiasa menjadi perhatian masyarakat.
"Apa pun yang akan berlaku selepas ini, saya serah kepada Allah kerana yang penting saya akan melakukan yang terbaik sebagai amanah yang diberikan," katanya.
Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Saturday/Hati/20080321220456/Article/index_html
Ulasan:
Mashitah atau lebih dikenali sebagai Ummu Hadhari ini nampaknya baru sedar dan mula mengakui betapa ‘kejinya’ politik UMNO. Walaupun bahasa yang digunakan untuk ‘menghentam’ orang UMNO masih berlapik-lapik kerana takutkan ‘big bos’nya mungkin menarik balik jawatan yang diberi, namun setiap orang yang waras akan memahami bahawa amalan politik dalam UMNO sesungguhnya penuh kekejian. Siapa lagi ‘penyokong’ yang dimaksudkan Mashitah jika bukan dari kalangan kawan-kawannya dari dalam UMNO? Takkanlah yang dimaksudkan Mashitah adalah penyokongnya dari parti PAS, atau dari parti pembangkang yang lain?
Ya, siapa tidak tahu, inilah politik kufur! Politik yang hanya berlandaskan ‘manfaat’. Jika ada manfaat, maka siapa sahaja boleh menjadi kawan, bila dah tidak ada manfaat, boleh belah! Namun, jika orang yang ‘boleh belah’ tadi boleh mendatangkan manfaat semula, maka dia boleh dijadikan kawan semula. Manfaat merupakan asas kepada segala-galanya di dalam politik kufur yang diamalkan hari ini. Namun, apa yang lebih menjengkelkan kita ialah, walaupun menyedari betapa keji dan hinanya politik yang diamalkan oleh parti pemerintah sekarang, namun Ummu Hadhari ini tetap memilih untuk bersama parti pemerintah yang sekular ini.
Apa pun kata dan perbuatan orang, namun bekas pensyarah UIA ini nampaknya tetap memilih ingin bersama UMNO dan terus menjadi pengampu kepada Islam Hadhari yang semakin tidak diterima umat Islam di Malaysia ini.
Amat menyedihkan juga adalah apabila beliau menyatakan bahawa beliau akan melakukan yang terbaik sebagai amanah yang diberikan. Amanah apa yang Dr Mashitah akan lakukan yang terbaik? Amanah jawatan (yang diberi) untuk memerintah dengan hukum kufur sekular? Sayang seribu sekali sayang apabila orang yang berpendidikan agama yang tinggi merelakan diri untuk diperkudakan oleh pemerintah sekular yang ada!
Monday, March 31, 2008
Mashitah dan politik UMNO
Labels: Dalam Negeri
Pilih hakim - cara sekular kepada cara sekular!
KUALA LUMPUR 30 Mac – Penubuhan suruhanjaya bebas untuk mengendalikan urusan pelantikan dan kenaikan pangkat hakim akan menjadikan badan kehakiman lebih telus dan berwibawa.
Peguam Amer Hamzah Arshad berkata, Majlis Peguam sentiasa melobi penubuhan suruhanjaya seumpama itu kerana pelantikan hakim adalah satu perkara yang penting untuk diputuskan oleh individu tertentu sahaja.
Katanya, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Majlis Peguam Malaysia, beliau mengetuai perarakan Walk of Justice pada tahun lalu untuk menyampaikan mesej yang sama.
‘‘Suruhanjaya ini menjadikan proses pelantikan hakim lebih telus dan membabitkan calon yang lebih layak serta kurang kontroversi,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim yang mahu menyegerakan penubuhan suruhanjaya untuk melantik hakim.
Peguam terkemuka, Datuk Muhammad Shafee Abdullah yang turut menyokong penubuhan suruhanjaya itu mencadangkan supaya pemberian kuasa kepada suruhanjaya berkenaan dibuat secara berperingkat-peringkat.
Beliau berkata, ia adalah bagi mengelakkan berlakunya kejutan kepada sistem yang sedang diamalkan sekarang.
Sumber: Utusan Malaysia 31/03/08
Ulasan:
Ekoran dari cadangan Zaid Ibrahim yang sudah mula menunjukkan ‘kuasa’ beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, nampaknya beberapa orang peguam pun turut menyokong cadangan yang bertentangan dengan Islam ini.
Memang selama ini ramai peguam yang mempertikaikan kewibawaan hakim dan sistem kehakiman yang ada, jadi tidak peliklah jika cadangan ini dipersetujui mereka. Hakim dan sistem kehakiman di Malaysia yang terkenal dengan skandal penyalahgunaan kuasa, rasuah, tiada kredibiliti, jawatan tertinggi yang merupakan ‘jawatan politik’ dan pelbagai keburukan lainnya sudah lama tidak dapat disembunyikan. Namun, oleh sebab pembesar politik senantiasa masuk campur dalam urusan ini, maka tidak ada siapa yang berani menegur. Kini dengan jawatan yang dipegangnya, Zaid Ibrahim telah mula menunjukkan taring.
Sebagai seorang Muslim, kita wajib sedar bahawa sistem kehakiman yang ada adalah sistem kufur. Ia adalah sistem yang diwarisi dari British dan ia bertentangan seratus peratus dengan Islam. Sistem kehakiman kufur yang diamalkan di Malaysia sejak ratusan tahun lamanya ini sewajarnyalah mempunyai 1001 jenis keburukan dan kejahatan di dalamnya.
Sama ada hakim atau peguam yang menjadi pengamal undang-undang sekarang adalah peguam yang sekular dan berhukum dengan hukum sekular. Mereka mengambil hukum sekular yang dibuat oleh manusia dan juga yang ditinggalkan oleh kuffar Britih kepada mereka untuk diamalkan. Tidak ada satu pun undang-undang yang diamalkan sekarang kecuali sekular adanya.
Cadangan Zaid Ibrahim atau persetujuan peguam untuk menubuhkan suruhanjaya melantik hakim adalah satu lagi hukum sekular yang cuba diterapkan oleh mereka yang berpendidikan undang-undang di Malaysia. Dalam sistem pemerintahan Islam, seorang hakim itu dilantik oleh ketua negara, yakni Khalifah, bukan melalui suruhanjaya.
Rasulullah merupakan seorang Ketua Negara yang memikul secara langsung urusan kehakiman dan baginda juga melantik orang lain sebagai hakim. Perbuatan baginda ini menunjukkan bahawa ‘hak dan kuasa’ untuk melantik hakim berada di tangan Ketua Negara, tidak pada yang lain. Rasulullah melantik Ali bin Abi Thalib sebagai hakim (qadhi) di Yaman. Rasulullah juga melantik Muaz bin Jabal sebagai qadhi di daerah Janad. Rasulullah juga pernah melantik Amr bin al-Ash untuk mengurusi urusan kehakiman. Terdapat banyak sekali dalil yang menunjukkan bahawa semua pelantikan hakim ini dijalankan oleh Rasulullah sebagai Ketua Negara.
Di dalam Islam terdapat 3 jenis hakim (qadhi) yang kesemuanya mesti dilantik oleh Ketua Negara. Dalam sistem pemerintahan Islam, Qadhi al-Muhtasib, Qadhi al-Khusumat dan Qadhi Mazhalim semuanya dilantik oleh Ketua Negara (Khalifah). Tidak ada langsung khilaf di kalangan mazhab tentang hal ini.
Inilah padahnya apabila yang menjadi pemimpin adalah golongan sekular dan yang menjadi pengamal undang-undang juga adalah mereka yang mendapat pendidikan sekular, walau dari universiti yang bergelar Islam sekalipun. Mereka sudah tidak dapat lari dari koridor sistem dan pemikiran sekular yang ada di tengah-tengah masyarakat pada hari ini dan itulah yang mereka amalkan.
Labels: Dalam Negeri
Drama apa antara Samy Vellu dan Hindraf?
KUALA LUMPUR 30 Mac – MIC akan meminta kepada kerajaan agar membebaskan lima anggota pertubuhan haram Hindraf yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, pembebasan itu sepatutnya sudah boleh dibuat memandangkan pilihan raya umum sudah pun berlalu dan tidak ada apa-apa peristiwa serius selepas ini.
“Biarlah keadaan menjadi lebih aman lagi melalui pembebasan kelima-lima itu,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan program Penjenamaan Semula MIC di sini hari ini.
Menurut Samy, dua daripada tahanan itu boleh dibebaskan lebih awal iaitu R. Kenghadharan yang kesihatan kini terganggu dan M. Manoharan yang telah pun dipilih rakyat untuk menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah.
Dua lagi kata beliau, V. Ganabatirau dan K. Vasantha Kumar juga sepatutnya sudah boleh dibebaskan kerana penglibatan mereka dalam Hindraf tidak terlalu serius.
“Saya akan bertemu dengan Datuk Seri Syed Hamid Albar (Menteri Dalam Negeri), kemudian saya akan bertemu dengan Perdana Menteri dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan untuk tujuan itu,” jelasnya.
Beliau juga merancang untuk meminta agar P. Uthayakumar yang dilihat sebagai pemimpin terkuat dalam Hindraf turut sama dibebaskan.
Mengenai seorang lagi pemimpin Hindraf, Waytha Moorthy yang kini dikatakan bersembunyi di luar negara, Samy yakin dia juga boleh kembali semula ke Malaysia selepas kelima-lima rakannya yang lain dapat dibebaskan.
Tambahnya, beliau menerima banyak panggilan telefon dari pelbagai pihak dan kunjungan daripada keluarga tahanan meminta melakukan sesuatu agar kesemua yang ditahan itu dibebaskan.
Sumber: Utusan Malaysia 31/03/08
Ulasan:
Samy Vellu yang telah semakin hilang popularitinya, khususnya setelah tercetusnya kes Hindraf, kini nampaknya cuba bangkit dan ingin menjadi hero tamil yang hebat. Beliau antara orang kuat kerajaan yang dulunya bersungguh-sungguh menafikan dakwaan dan tuntutan Hindraf, kini nampaknya cuba menunjukkan sokongan kepada para pejuang Hindraf yang merengkok dalam ISA.
Apakah mainan politik yang cuba diusahakan oleh pemimpin tamil BN ini? Cuba fikirkan senario ini – Dengan berkokok meminta Hamid Albar membebaskan tahanan Hindraf, Samy Velly tentunya akan mendapat perhatian dan tempat di kalangan penyokong Hindraf. Ini dapat memulihkan imej bekas menteri kerjaraya ini di mata masyarakat India yang membencinya selama ini. Namun, Hamid Albar, yang sama-sama berada dalam kerajaan dan BN, tentunya tidak akan dengan mudah membebaskan tahanan Hindraf. Syed Hamid, sebagaimana dilaporkan tidak melayan desakan Samy Vellu ini. Sekali pandang nampak seperti tepat dan benar, namun bila dipandang kedua kali, ini sebenarnya ia seperti dirancang untuk memberi kelebihan kepada Samy Vellu untuk terus berjuang (membebaskan tahanan Hindraf). Perjuangan yang memakan masa lama biasanya akan dilihat sebagai betul-betul bersungguh-sungguh dan ‘lebih ikhlas’. Ini akan merealisasikan lagi dan memberi lebih masa kepada Samy untuk membuktikan dirinya sebagai hero.
Penyokong Hindraf pula tentunya akan terus mendesak dan ‘mengharapkan’ Samy Vellu. Apabila harapan telah diletakkan kepada si Samy ini, maka dia akan terus menjadi kuat dan menjadi ‘tempat bergantung’ kepada masyarakat India, khususnya Hindraf. Jadi, si Samy yang dibenci lama-kelamaan semakin disayangi dan diletakkan harapan. Drama yang lama ini yang membariskan Samy Vellu sebagai hero utamanya, tentunya akan berjaya menggabungkan semula masyarakat India dan MIC akan terus mendapat sokongan dan akan berjaya dipulihkan. Setelah keadaan selamat, aman dan makmur bagi MIC khususnya, dan bagi BN amnya dan Samy telah muncul sebagai hero yang hebat yang kembali mendapat tempat di hati orang India, dengan ini, justifikasi untuk membebaskan tahanan Hindraf boleh dimulakan yang lama-kelamaan akan membawa kepada pembebasan mereka. Hamid Albar dan kerajaan pun akan turut menerima pujian yang sama pada ketika ini. Akhir sekali, drama ini akan berakhir dengan happy ending bagi semua yang terlibat.
Cuba fikirkan hebat atau tidak drama di atas dan boleh atau tidak dijadikan ‘kisah benar’?
Labels: Dalam Negeri
Keghairahan' Zaid ditegur
BANGI 30 Mac – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim tidak sepatutnya membuat kenyataan terbuka mengenai penubuhan suruhanjaya kehakiman kerana perkara itu belum dibincangkan di peringkat Kabinet.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai menteri, sudah sewajarnya Zaid mendapat panduan ketika mesyuarat Kabinet minggu lalu yang memutuskan supaya dibezakan antara pendapat peribadi dan pandangan rasmi.
Beliau bimbang imej dan maruah kerajaan akan terjejas sekiranya seseorang menteri terus-terusan membuat kenyataan peribadi berhubung perkara penting seperti itu tetapi kemudiannya Kabinet tidak bersetuju, yang akhirnya menyebabkan rakyat menuduh kerajaan berpatah balik.
‘‘Saya tidak hendak komen panjang, saya tak nak nanti (timbul) konflik, orang kata apa ini menteri Kabinet bercanggah.
‘‘Anggap pandangan saya ini sebagai Naib Presiden UMNO supaya hal-hal yang penting seperti ini elok dibincang dahulu dan jangan seolah-olah pandangan peribadi sudah jadi pandangan rasmi kerajaan,’’ ujarnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Sukan Antara Agensi MITI 2008 di sini hari ini.
Muhyiddin mengulas kenyataan Zaid dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia semalam bahawa pelantikan pengganti Ketua Hakim Negara, Datuk Abdul Hamid Mohamad yang akan tamat tempohnya Oktober ini diharap dapat dilakukan melalui sebuah suruhanjaya.
Zaid berkata, langkah itu amat mustahak untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara apabila pelantikan hakim dapat dilakukan melalui satu proses yang lebih telus, ketat dan meyakinkan.
Muhyiddin menjelaskan, semasa mesyuarat lalu, Kabinet bersetuju pada prinsipnya perlu ada usaha dibuat untuk menyusun semula sistem kehakiman.
‘‘Bagaimana bentuk dan formatnya, ini perlu dibawa kepada Kabinet, jangan dibincang secara terbuka macam sudah ada keputusan, tidak elok begitu.
‘‘Macam sudah setuju hendak tubuhkan suruhanjaya kehakiman. Saya fikir belum ada perbincangan apa-apa lagi.
‘‘Eloklah bawa dahulu ke Kabinet, pasal ini isu besar, saya cuma komen setakat ini, nanti orang kata saya berbalah, tidak ada,’’ katanya.
Sumber: Utusan Malaysia 31/03/08
Ulasan:
Zaid Ibrahim yang baru dilantik ke kabinet nampaknya begitu ‘ghairah’ mengeluarkan pelbagai bentuk kenyataan. Bermula dari kenyataan pertama beliau meminta agar kerajaan memohon maaf kepada Tun Salleh Abbas kerana pemecatan bekas ketua hakim negara itu, kini Zaid mengeluarkan satu lagi kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.
Sebagai orang baru dalam kabinet sekular di Malaysia, sudah semestinya Zaid cuba mencari populariti untuk menonjol. Sebagai orang lama pula, Muhyiddin tentunya tidak senang duduk dan tidak akan membiarkan Zaid terus-menerus muncul di akhbar-akhbar. Inilah ‘open secret’ UMNO yang selalu disembunyikan – percanggahan pendapat dan pergaduhan sesama sendiri yang tidak berkesudahan serta usaha untuk naik ke atas secepat mungkin dengan mempopularkan diri melalui ‘kerjasama’ dengan wartawan-wartawan.
Hal ini sebenarnya bukan soal pendapat peribadi atau pendapat rasmi kerajaan, ia soal ‘bagaimanakah’ untuk menunjukkan kehebatan diri dan mendiscreditkan orang lain yang merupakan satu lagi tradisi dalam UMNO. Semoga percanggahan pendapat yang berdasarkan hukum sekular ini akan terus berlaku di dalam kerajaan yang membolehkan rakyat menilai betapa jauhnya mereka dari mengambil Islam sebagai penyelesaian kepada peraturan hidup.
Labels: Dalam Negeri
Undang-undang lantik MB ingin dipinda?
PUTRAJAYA: Undang-undang yang ketinggalan zaman, khususnya berkaitan pelantikan pemimpin kerajaan negeri, wajar dikaji semula supaya tidak timbul masalah pada masa depan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Zaid Ibrahim.
Beliau berkata, kajian semula itu perlu kerana ada antara undang-undang negeri itu digubal pada awal 1900-an dan sudah tidak lagi sesuai pada zaman ini.
"Ada kalanya sesuatu perkara itu menjadi rumit kerana kita ada undang-undang yang ketinggalan zaman dan lapuk. Walaupun ia undang-undang lama, ia perlu dipatuhi kerana masih wujud. Jika ada keperluan memindanya atau jika ia tidak sesuai pada zaman ini, ia mesti dipinda," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelantikan Menteri Besar Terengganu yang menyaksikan istana dan parti pemerintah tidak sepakat berhubung pilihan penjawat dan kuasa untuk melantik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negeri.
Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Ahmad Said, sebagai Menteri Besar Terengganu manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menamakan semula Datuk Seri Idris Jusoh untuk jawatan itu.
Berikutan itu, Perdana Menteri menyatakan pelantikan Ahmad sebagai Menteri Besar Terengganu yang baru menggantikan Idris, tidak kena dari segi Perlembagaan.
Ditanya apakah beliau sedang meneliti perkara itu, Zaid berkata: "Ya, sudah tentu... sebilangan Perlembagaan negeri digubal pada 1911, 1920... Saya percaya Peguam Negara juga sedang meneliti perkara itu, begitu juga beberapa kementerian. Kita perlu beri tumpuan kepada isu ini bagi mengelak konflik".
Bagaimanapun, Zaid menegaskan, perkara itu perlu diselesaikan secara rundingan bagi mencapai kesepakatan antara kerajaan yang memerintah dan pihak istana.
"Kita kena bincang perkara ini dan dapatkan kesepakatan bagaimana kita mengharmonikan harapan kerajaan demokratik dengan pihak istana. Jika ada konflik, ia perlu diselesaikan secara rundingan dan itulah yang perlu kita lakukan," katanya.
Mengenai perubahan terhadap badan kehakiman negara, Zaid berkata, Jemaah Menteri semalam mengulangi komitmen untuk melaksanakan cadangan itu dan beliau akan menyediakan Kertas Kabinet selepas kajian teliti, termasuk mengambil kira laporan Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kesahihan klip video yang didakwa membabitkan peguam Datuk VK Lingam,
Beliau berkata, perubahan yang dicadangkan beliau itu bukan sekadar kosmetik tetapi secara dasar bagi memperkukuhkan badan kehakiman negara.
"Saya mahu melihat badan kehakiman diperkasakan dengan mereka yang layak dan memiliki strategi. Saya mahu melihat permulaan yang baru," katanya.
Ditanya apakah Kabinet sudah membuat keputusan berhubung saranan beliau supaya kerajaan memohon maaf kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, berhubung pemecatannya daripada jawatan itu pada 1988, Zaid berkata, pandangan beliau belum dipertimbangkan.
"Ramai lagi (menteri) yang lebih berpengalaman dan bijak daripada saya, kita kena tunggu keputusan," katanya.
Merujuk permohonan maaf Kerajaan Australia kepada penduduk pribumi negara itu dan permohonan maaf kerajaan Afrika Selatan kepada penduduk kulit hitam berhubung dasar aparteid, beliau berkata, ia bukan sesuatu yang tidak boleh dilakukan kerajaan.
"Ia adalah sesuatu yang boleh kita (kerajaan) lakukan, terpulang kepada pemimpin," katanya.
Ditanya apakah pentadbiran Abdullah atau Tun Dr Mahathir Mohamad yang wajar membuat permohonan maaf itu, Zaid berkata: "Anda tidak boleh mengharapkan Dr Mahathir untuk memohon maaf... pentadbiran itu sudah tiada lagi."
Mengenai Undang-Undang Antilompat Parti yang dicadangkannya, Zaid berkata, beliau belum mengemukakan cadangan terperinci kepada Kabinet.
Zaid juga berkata, beliau tidak berminat untuk memegang atau bertanding merebut sebarang jawatan dalam Umno.
"Saya menyertai kerajaan kerana saya mahu membantu. Saya hanya mahu tumpukan kepada tugas ini," katanya sambil menambah beliau sedar ada pihak yang tidak suka dengan pandangan beliau.
Sumber: Berita Harian 27/03/08
Ulasan:
Bila dah berlaku konflik, khususnya yang menjejaskan kepentingan UMNO, barulah timbul isu undang-undang sudah lapuk dan perlu diganti. Selama ini, undang-undang lapuk inilah yang diagung-agungkan dan Malaysia sering didakwa UMNO sebagai sebuah model negara demokrasi dan negara Islam terbaik, dengan undang-undang lapuk ini. Inilah pemikiran kelompok-kelompok sekular di dalam UMNO yang hanya hidup untuk meraih manfaat dunia tanpa mempertimbangkan dosa dan pahala. Mereka tidak pernah terfikir untuk menukar undang-undang lapuk ini dengan undang-undang Islam, namun mereka pastinya akan tukar dengan undang-undang yang akan memberi manfaat kepada UMNO.
Krisis yang belum berkesudahan di antara kerajaan persekutuan dan juga pihak istana negeri ini tidak lain adalah berpunca dari undang-undang warisan penjajahan British. Perlembagaan yang digubal oleh British antara lain menetapkan bidang kuasa di antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan. Memang sudah menjadi dasar British yang kufur dan musuh Islam, undang-undang yang mereka ‘tinggalkan’ ini adalah bagi memastikan sistem kufur mereka terus dianuti oleh umat Islam. Bezanya, dulu merekalah yang menerapkannya secara langsung, kini, lebih buruk, ia diterap dan dipertahankan oleh pemimpin Muslim yang ada. Semasa pemerintahannya, British telah pun menghadkan kuasa Raja-Raja Melayu sebatas menjaga agama dan upacara keagamaan sahaja. Hukum Islam hanya dibenar diamal dalam kes nikah kahwin, cerai, harta pusaka, penjagaan anak dan seumpamanya. Itu sahaja. Selebihnya undang-undang hendaklah dibuat sendiri mengikut suara majoriti, tidak perlu mengikut undang-undang Islam.
Begitulah natijahnya apabila berhukum dengan hukum buatan manusia, lompang dan keburukannya ada di mana-mana. Di dalam kes terbaru ini pertikaian berlaku apabila pihak istana mengguna pakai perlembagaan negeri Terengganu tahun 1919 untuk melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Ahmad Said sebagai menteri Besar Terengganu yang baru. Manakala Perdana Menteri pula melalui bidang kuasanya sebagai ‘penasihat’ telah menyerahkan watikah pelantikan kepada Menteri Besar yang lama. Situasi ini sebenarnya saling tak tumpah sewaktu pesuruhjaya British memerintah dahulu, di mana British (sebagai pemerintah) selalunya akan mengenepikan istana dalam soal pemerintahan.
Selama mana umat Islam itu masih berhukum dengan hukum Jahiliyyah, membuat hukum sendiri dan tidak kembali kepada Al-Quran dan Sunah, maka selama itulah perpecahan dan murka Allah akan tertimpa ke atas mereka. Firman Allah SWT,
“Dan bahawa (yang kami perintahkan) ini adalah jalanKu yang lurus, maka ikutilah akannya, dan janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain), kerana jalan itu menceraiberaikan kamu dari jalanNya" [TMQ Al-An'aam (6):153].
Labels: Dalam Negeri