Monday, November 10, 2008

Kelantan bayar riba RM57.46 juta kepada kerajaan Pusat?


Mengikut laporan dari harakahdaily, jumlah hutang yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di Kelantan sehingga kini adalah sebanyak RM220.26 juta yang telah dibayar oleh kerajaan PAS. Berdasarkan kepada jumlah tersebut RM57.46 juta adalah kadar faedah (bunga) yang dikenakan, manakala jumlah pokok hutang yang dibayar adalah sebanyak RM162.8 juta [harakahdaily.net].

Membayar hutang dengan kadar faedah (bunga) sudah menjadi lumrah di dalam sistem Kapitalis. Istilah ‘kadar faedah’ atau ‘bunga’ yang biasa digunakan dalam sistem perekonomian tidak lain dan tidak bukan adalah ‘riba’ yang telah diharamkan dengan jelas lagi nyata oleh Allah swt. Oleh sebab riba telah begitu sebati dengan sistem Kapitalis yang diamalkan, maka pembayaran riba ke atas hutang/pinjaman walaupun jutaan jumlahnya sekalipun, maka ia tidak lagi dilihat dari aspek halal dan haramnya ataupun dosa dan pahala, namun ia dilihat sebagai jumlah yang ‘wajib’ dibayar, walaupun si pemiutang dan si penghutang tahu bahawa jumlah itu adalah riba yang diharamkan. Kedua-dua mereka tidak lagi memandang bahawa jumlah tersebut sebenarnya ‘haram’ utk diambil atau dibayar.

Malangnya berita sebegini tidak lagi menjadi satu isu sensitif di kalangan kebanyakan umat Islam kerana konsep riba, sama ada mengenakan atau membayar riba, ada di mana-mana dan telah menjadi darah daging masyarakat. Bahkan orang yang berstatus agamawan sendiri tidak sensitif dengan isu sebegini, kerana mereka memandang riba yang dikenakan itu sebagai sebahagian dari ‘hutang’, bukannya sebahagian dari ‘dosa’. Lihat sahajalah umat Islam di sekeliling kita pada hari ini yang membuat pembelian rumah atau pun kereta dengan pinjaman riba, seolah-olah langsung tidak ada kesalahan dan dosa di dalamnya. Walhal Allah SWT secara jelas telah mengharamkan riba dan ada mengancam pelakunya dengan perang. Firman Allah,

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah sisa riba (yang belum dipungut), jika benar kamu orang- orang yang beriman. Maka, jika kalau kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah kamu bahawa Allah dan RasulNya akan memerangimu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu hanyalah pokok hartamu. Kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.” [TMQ Al-Baqarah (2):278 -279]

Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim dari Jabir ra,

“Rasululllah saw melaknat pemakan riba (yang mengambil riba), yang membayar riba, yang menjadi pencatat dan dua orang yang menjadi saksi dan baginda bersabda, ‘Mereka semua sama”.

Dalam ayat dan hadis di atas serta banyak lagi ayat dan hadis lainnya, haramnya riba itu teramatlah terang lagi bersuluh. Malangnya umat Islam kini sudah melihat riba umpama satu kebiasaan, bukan lagi keharaman. Oleh sebab sistem Kapitalis peninggalan penjajah ini telah mengajar bahawa riba adalah suatu yang ‘wajib’ dikenakan di dalam memberi pinjaman, malah ‘wajib’ pula membayarnya, maka persoalan haram dan jijiknya riba sudah tidak lagi dipandang atau diperhitungkan oleh kebanyakan umat Islam. Malah, sebuah negeri yang ingin menerapkan Islam sekalipun telah terjebak dan tunduk kepada sistem kufur Kapitalis ini.

Kenapa perlu membayar riba? Di manakah nas yang membolehkan kita membayar riba? Sedangkan perintah Allah dan perintah Rasulullah amat jelas memerintahkan umat Islam agar meninggalkan riba. Malah jika masih tidak mahu bertaubat dan meneruskan kerja-kerja maksiat ini, maka Allah dan Rasul telah ‘mengisytiharkan’ perang terhadap pelaku riba. Sesungguhnya di dalam keadaan apa sekalipun, riba tetap haram dan tidak ada ‘keadaan’ yang boleh menjadikan riba itu halal kecuali ada nas yang menyatakannya. Walaupun ada sesetengah golongan menyatakan ia termasuk di dalam ‘dharurat’, namun sebagai umat Islam, kita hendaklah jelas bahawa tidak akan wujud keadaan dharurat kecuali dalam keadaan di mana nyawa seseorang itu terancam jika tidak melakukan keharaman tersebut. Justeru, tepuk dada tanya iman, apakah terdapat ancaman kepada ‘nyawa’ jika tidak membayar riba tersebut?

Dilihat dari sisi yang lain, kenapa boleh berlakunya hutang di antara kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri, ia tidak lain adalah kerana sistem Federasi yang diamalkan di Malaysia hasil dari peninggalan penjajah kuffar. Malaysia, walaupun satu negara, namun sistem Federasi telah membezakan beberapa bidang kuasa di antara pusat dan negeri yang menyebabkan urusan menjaga kebajikan warganegara juga dipisahkan. Di dalam Islam, urusan menjaga kebajikan umat terletak di tangan Negara dan setiap perbelanjaan unit-unit kecil dalam Negara adalah satu, bukannya terpisah-pisah. Di dalam Daulah Islam, wilayah mana sekalipun yang memerlukan bantuan kewangan, maka Daulah akan membantu, malah wajib bagi pusat pemerintahan Daulah untuk membantu, dan jumlah ini bukanlah ‘hutang’, tetapi ‘kewajipan’ yang mesti dilaksanakan.

Uniknya sistem di Malaysia hasil peninggalan bekas penjajah Kapitalis ini adalah wujudnya entiti yang berbeza di antara pusat dan negeri. Bertambah malang apabila ramai di kalangan umat Islam sendiri yang, walaupun menginginkan Negara Islam, tetapi masih tidak tahu/sedar bahawa sistem Federasi ini bukan dari Islam, malah bertentangan dengan Islam. Pemikiran umat Islam seolah-olah sudah terkongkong dan mereka tidak lagi berupaya untuk berfikir di luar kotak (think out of the box). Islam cuba ‘dicampur gaulkan’ dengan sistem demokrasi yang sedia ada, tanpa mereka sedar bahawa Islam mempunyai sistem pemerintahannya yang tersendiri dan sempurna dan jauh berbeza dengan sistem demokrasi yang ada sekarang. Di bawah sistem demokrasi dan federasi ciptaan penjajah kuffar ini, medan perbalahan antara umat Islam semakin membesar apabila parti yang memerintah kerajaan Persekutuan berbeza dengan parti yang memerintah kerajaan negeri, walaupun hakikatnya mereka adalah bersaudara dan berada di bawah satu bumbung pemerintahan.

Justeru, kuasa dan kekayaan yang dimiliki oleh kerajaan Pusat yang jauh lebih besar dari kerajaan negeri menyebabkan mereka boleh ‘menindas’ kerajaan negeri sesuka hati, apatah lagi kerajaan negeri yang tidak separti dengan mereka. Apa yang kita harapkan adalah agar umat Islam dan kerajaan negeri yang inginkan Islam, sedar akan hakikat ini, bahawa sistem demokrasi dan sistem Federasi ini bukanlah dari Islam, malah bertentangan dengan sistem Islam yakni Sistem Khilafah. Kerajaan Negeri sepatutnya tegas mempertahankan hukum syarak bahawa riba adalah haram dan mereka sepatutnya tidak membayar satu sen riba kepada kerajaan Pusat kerana ianya haram di sisi Islam. Malah konsep ‘hutang’ antara kerajaan Pusat dan kerajaan negeri langsung tidak timbul kerana Islam hanya mengenal ‘satu negara/pemerintahan’ sahaja dan Islam tidak pernah membezakan di antara satu-satu wilayah atau kawasan-kawasan kecil di dalam pemerintahannya. Semuanya merupakan kawasan yang wajib dijaga oleh Khalifah di bawah sumber kewangan yang satu.

Oleh yang demikian, kerajaan Pusat dan juga kerajaan negeri mesti ingat dan takut kepada seksaan Allah terhadap pelaku riba dan mereka wajib menukar kerajaan yang sedia ada kepada bentuk Sistem Pemerintahan Khilafah yang akan menjalankan pemerintahan yang langsung tidak akan ada unsur-unsur riba di dalamnya. Firman Allah,

“Orang-orang yang memakan (mengambil) riba itu tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian adalah disebabkan mereka berkata: “Sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba” padahal Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya lalu ia berhenti (dari mengambil riba), maka apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum pengharaman itu) dan urusannya terserah kepada Allah. Orang yang mengulangi (perbuatan mengambil riba itu) maka orang itulah adalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.” [TQM al-Baqarah (2):275]

0 comments: