Friday, November 14, 2008

Apabila fatwa Majlis Fatwa dibantah...

PUTRAJAYA 10 Nov. - Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk bukan Islam diberi amaran agar tidak mencabar kewibawaan fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) kerana ia membabitkan hukum berdasarkan sumber nas al-Quran, Sunah, Ijmak dan Qias. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, golongan itu perlu menghormati fatwa tanpa bersikap semberono mempertikaikan sesuatu hukum berasaskan logik akal semata-mata untuk kepentingan liberalisme bagi kelompok tertentu.

Zahid mengulas laporan sebuah portal berita Jumaat lalu mengenai tindakan NGO bukan Islam, Katagender dan Food-not-Bombs berdemonstrasi membantah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan perlakuan 'penkid' atau wanita menyerupai lelaki baru-baru ini. Portal berita itu juga menyiarkan temu bual dengan Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO), Ivy Josiah mempersoalkan fatwa tersebut yang disifatkan cuba mengongkong cara hidup seseorang termasuk dalam soal berpakaian.

Inilah sebahagian dari senario kehidupan di negara Malaysia yang sekular ini. Konsep pemisahan agama dari kehidupan yang diamalkan sejak sekian lama menyebabkan sesiapa sahaja boleh melanggar hukum syarak, baik Muslim mahupun non Muslim. Bagi golongan kafir, aspek kehidupan mereka langsung tidak berpandukan agama, manakala bagi Muslim sekular pula, agama hanyalah sebatas ibadat. Justeru, wujudlah ruang-ruang dan saluran-saluran mahupun aspirasi yang membolehkan agama ditentang dan tidak ditaati. Apa yang perlu ditaati dan tidak boleh dilawan adalah Perlembagaan dan undang-undang buatan manusia yang ada, manakala hukum-hakam Al-Quran boleh saja ditentang dan diingkari, kerana yang paling tinggi adalah Perlembagaan, bukannya Al-Quran. Jadi, tidak hairanlah jika ada kelompok yang sanggup menentang Majlis Fatwa.

Ini dari satu sisi. Dari sisi yang lain, oleh sebab ‘undang-undang Islam’ yang mesti ditaati adalah yang keluar dari Majlis Fatwa, bukannya yang terpancar dari akidah berdasarkan Quran dan Sunah, maka jika ada golongan yang menentang Majlis Fatwa, hal ini dipandang berat oleh sesetengah pihak. Namun, jika ada perempuan yang tidak menutup aurat, yang perbuatan ini jelas-jelas haram tetapi tidak difatwakan, maka Menteri yang ‘menjaga agama’ sekalipun tidak akan merasa apa-apa, walaupun ratusan ribu perempuan yang tidak menutup aurat. Tidak akan ada amaran yang dikeluarkan (atau tindakan yang diambil) bagi mereka yang tidak mematuhi perintah Allah, sebaliknya jika tidak mematuhi majlis fatwa, maka ini menjadi satu kesalahan.

Demonstrasi NGO yang membantah keputusan majlis fatwa memanglah sepatutnya di ambil tindakan. Namun persoalan yang ingin kita tanyakan adalah, mengapakah perkara ini boleh terjadi? NGO yang melawan hukum Islam (bukan melawan Majlis Fatwa) wajiblah diambil tindakan uqubat ke atas mereka yakni berupa ta’zir yang setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Masalahnya adalah, perkara ini sendiri terjadi kerana tidak diterapkannya ta’zir atau sistem uqubat Islam di Malaysia yang menyebabkan golongan ini berani naik kepala. Sekiranyalah uqubat Islam yang dilaksanakan, nescaya mereka tidak akan berani berdetik sedikit pun kerana mereka tahu akibat dari perbuatan mereka (yang melawan hukum syarak) adalah ta’zir yang berat dari negara.

Inilah yang menjadi akar permasalahan, kerana tidak diterapkannya Islam di dalam kehidupan bernegara, menyebabkan golongan kuffar boleh bertindak sesuka hati melawan hukum Allah. Sistem sekular yang diamalkan pada hari inilah yang menjadi punca kepada ‘keberanian’ mereka ini mencabar hukum Islam. Justeru, siapakah yang bersalah di dalam hal ini? Siapakah yang di tangan mereka ada kuasa untuk menerapkan hukum-hakam Islam jika bukan dari kalangan mereka yang memerintah?

Kedudukan ‘fatwa’ itu sendiri pun sebenarnya bukanlah untuk diterapkan di dalam negara, ia cuma sekadar menjadi ‘pedoman’, bukannya peraturan. Ia seolah-olah sebuah ‘pengumuman’ yang dikeluarkan oleh pihak majlis agar ‘diketahui’ hukumnya oleh orang Islam. Namun, jika ada yang melanggarnya, maksudnya dalam kes ini, jika masih ada golongan penkid yang berleluasa, tidak akan ada satu bentuk hukuman (uqubat) pun yang akan dikenakan. Ini kerana, kuasa untuk menghukum atau membuat undang-udang terletak pula di tangan anggota dewan rakyat atau dewan undangan negeri, bukannya di tangan majlis fatwa. Jadi, fungsi ‘fatwa’ yang dikeluarkan adalah tidak lebih dari sekadar ‘pengumuman’ untuk dijadikan panduan oleh umat Islam.

Kita seharusnya menyedari hakikat ini, bahawa kehidupan sekular di Malaysia ini sentiasa menafikan peranan agama dalam kehidupan. Jadi, kerajaan yang sekular sudah tentulah akan melahirkan sistem kehidupan yang rosak di dalam negara baik ke atas kaum Muslimin mahupun non Muslim. Justeru, ayuhlah kita tolak sekular dan tegakkan Islam.

0 comments: