Tuesday, August 19, 2008

Jangan undang murka Allah - hentikan segera wabak assabiyyah

Bermula dengan secebis lontaran pandangan Menteri Besar Selangor pada 10 Ogos 2008 agar kerajaan membuka pintu kemasukan ke UiTM sebanyak 10% kepada golongan bukan bumiputera, 5000 pelajar UiTM terus berhimpun di hadapan bangunan SUK, Shah Alam sebagai bantahan.

Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan kritikan pedas daripada Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah yang menyifatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu sebagai seorang yang “cetek pemikiran” kerana sanggup mengeluarkan kenyataan sesuka hati sehingga dilihat menghina dan mengutuk kaum sendiri. Isu ini terus dicanangkan oleh media arus perdana dengan memperbesarkan percikan api ini sehingga seolah-olah bangsa Melayu telah musnah.


Walhal tindakan kerajaan selama ini yang banyak menzalimi rakyat, khususnya golongan Melayu yang berpendapatan rendah, dengan kenaikan harga minyak, tol, barangan dapur dan pelbagai lagi kesengsaraan yang berpanjangan, tidak pula diperjuangkan oleh Ibrahim Abu Shah. Media arus perdana juga tidak berminat melaporkan semua itu, kerana kini peluang terbuka luas untuk media arus perdana, sebagai kuda tunggangan kerajaan untuk ‘menghentam’ MB dari Pakatan Rakyat dengan isu yang dilontarkan itu.



Tidak hanya di UiTM Shah Alam, wabak assabiyyah kini terus merebak ke serata negara. Bermula Shah Alam, kemudian UiTM Machang, Kelantan, Ipoh, Arau, Bandar Jengka, Melaka, Sungai Petani, Kuala Terengganu, dan kini wabak Jahiliyyah ini terus merebak ke UiTM Permatang Pauh, UiTM Segamat dan terus terbang menyeberangi laut China Selatan ke UiTM Samarahan Sarawak. Sungguh cepat penyakit kufur ini merebak, entah apakah ‘agen pembawanya’ yang sangat efisien itu hingga berjaya menjangkiti berpuluh-puluh ribu mangsa dan entah berapa banyak lagi mangsa yang akan dijangkiti selepas ini. Sebelum isu kuota 10% UiTM ini timbul, isu pembukaan kuota sebanyak 45% biasiswa JPA kepada bukan bumiputera dan kuota 10% kemasukan ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia umpama benih bagi wabak ini walaupun ia hanya dibincangkan oleh sekelompok golongan ekstremis assabiyyah Melayu sahaja.



Sesungguhnya assabiyyah adalah penyakit kufur Jahiliyyah yang jelas dilaknat oleh Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW,



”Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang kerana assabiyyah dan yang mati kerana assabiyyah” [HR Abu Dawud]



Wahai pejuang bangsa Melayu sekalian! Apakah kalian tidak takut dengan azab yang dijanjikan oleh Allah bagi penyeru kepada assabiyyah? Apakah yang terlalu istimewa dengan benih Melayu yang kalian miliki berbanding dengan aqidah Islam yang maha agung yang diturunkan oleh Allah melalui Nabi Muhammad SAW tetapi tidak kalian perjuangkan? Jika kalian betul-betul ingin memperjuangkan ‘bangsa Melayu’, maka apakah kalian merasakan yang Rasulullah yang ‘berbangsa Arab’ itu lebih rendah dari kalian yang berbangsa Melayu, sehingga bangsa Melayu mesti dipertahankan habis-habisan? Jika kalian merasakan Rasulullah yang berbangsa Arab itu lebih tinggi, kenapa pula kalian tidak memperjuangkan bangsa Arab? Sungguh hina apa yang kalian perjuangkan. Kalian memperjuangkan bangsa walhal Rasulullah sendiri tidak pernah memperjuangkan ‘kearabannya, malah Rasulullah melaknat setiap pejuang bangsa! Ingatlah, apa yang diperjuangkan oleh Rasulullah adalah ‘Islam’, bukannya ‘bangsa’. Justeru, kenapa kalian memilih untuk memperjuangkan bangsa Melayu, yang mana tidak ada satu keistimewaan pun yang Allah berikan kepada bangsa Melayu, tidak ada di dalam al-Quran dan tidak ada di dalam hadis. Tingginya manusia itu adalah kerana ketakwaannya kepada Allah, bukan kerana bangsanya. Malah, para pejuang bangsa itu adalah sebuah kelompok yang hina di dalam Islam kerana mereka menyeru kepada seruan jahiliyyah!



Rasulullah telah diutus untuk menyampaikan Islam dan menyeru seluruh umat manusia untuk menganuti dan memperjuangkan aqidah Islam serta menyatukan pelbagai bangsa di dunia ini agar melebur menjadi ummatan wahidah atas dasar aqidah Islam dan bukannya atas nama kebangsaan. Kaum kuffar pastinya akan tersenyum lebar melihat penyakit yang mereka tanam beratus-ratus tahun dahulu ke atas umat Islam, hingga kini masih terus tumbuh dan bercambah.



Justeru, tinggallah penyakit assabiyyah ini wahai saudaraku. Apa yang kalian lakukan, baik orang yang memperalatkan mahupun yang diperalatkan untuk memperjuangkan ‘bangsa Melayu’ ini, maka kalian hanya mengundang murka dan laknat Allah ke atas kalian sendiri. Kepada yang berpandangan bahawa UiTM merupakan “benteng terakhir” bagi bangsa Melayu, maka bertaubatlah segera selagi nyawa masih di kandung badan. Di akhirat nanti, Allah tidak akan memperhitungkan kalian berdasarkan ‘bangsa’ kalian, tetapi atas ‘amalan’ kalian kepadaNya. Namun, Allah pasti akan memperhitungkan amalan kalian yang menjadikan ‘bangsa’ sebagai perjuangan, dan bukan menjadikan ‘agama’Nya sebagai perjuangan. Di padang mahsyar nanti, barulah kalian sedar bahawa bangsa Melayu yang kalian perjuangkan tidak ada keistimewaan langsung dan tidak ada nilai sebesar zarah pun di sisi Allah Azza wa Jalla. Justeru, takutlah kalian kepada azab Allah dengan apa yang kalian lakukan. Tinggalkanlah segera perjuangan yang akan membinasakan diri-diri kalian ini! Na’uzubillah min zalik.

Kenapa AS berminat dengan kes Anwar?

Sejak dari awal kes Liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim timbul AS telah mula menunjukkan minat untuk memberi ‘bimbingan’ terhadap kerajaan Malaysia. Tom Casey jurucakap Jabatan negara Amerika Syarikat dipetik sebagai berkata,

"The main point for us is that the rule of law needs to stand above politics," [NST 08/07/01]
(Yang penting bagi kami (US) adalah kedaulatan undang-undang perlu mengatasi politik)

"And we would certainly oppose any use of law enforcement or judicial procedures for anything other than legitimate purposes of the law," [NST 08/07/01]
(Kami sesungguhnya menentang segala bentuk penguatkuasaan undang-undang dan tatacara perundangan melainkan untuk keperluan undang-undang yang sah).

Komen AS tersebut terus mendapat reaksi balas dari Menteri Luar Malaysia, Dr Rais Yatim yang telah menghantar surat bantahan kepada AS dan menggesa agar kuasa dunia tersebut tidak mencampuri urusan dalaman sesebuah negara.

Niat AS untuk campur tangan semakin jelas apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa secara rasmi pada 7 Ogos 2008. Keputusan pejabat peguam negara mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim amat tidak disenangi oleh Amerika Syarikat. Seorang pegawai Jabatan Negara berkata,

"Kita memandang berat banyak persoalan serius yang dibangkitkan di Malaysia, termasuk oleh Majlis Peguam, berhubung kes ini," [Malaysiakini 08/08/08]

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Nashville, Tennessee, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore menuduh kerajaan Malaysia melakukan serangan peribadi supaya pemimpin parti politik pembangkang yang efektif tidak dapat bersuara. [Mstar08/08/07]

Campur tangan terbaru ini telah menyebabkan Wisma Putra mengadakan siri penerangan di luar negara untuk menjawab persepsi negatif yang dihamburkan terhadap kerajaan Malaysia. Tekanan yang dikenakan terhadap Malaysia bukanlah suatu yang baru, dahulu sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh untuk kes yang sama pada tahun 1998 AS amat berminat untuk membela Anwar. AS cuba bertindak sebagai penyelamat kepada kemelut yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia dengan berjalan seiring dengan aspirasi gerakan reformasi.

Menangguk di air keruh

AS sebenarnya menunggu saat dan ketika untuk melebarkan pengaruhnya di Malaysia, perkiraan politiknya untuk menguasai Selat Melaka sebagai jalan perdagangan yang menghubungkan antara China dan Eropah masih menjadi impian yang tidak pernah padam. Dengan ‘bergerak seiring’ dengan gerakan popular di Malaysia, AS cuba untuk menonjolkan dirinya sebagai polis dunia. Taktik yang sama juga digunakan oleh AS di Iraq, dengan slogan kebebasan, rakyat Iraq terpesona namun akhirnya kebebasan yang diharapkan oleh rakyat Iraq tidak pernah kunjung tiba.

Agak menghairankan mengapa AS tidak berminat terhadap ratusan lagi orang lain yang kena dakwa di Malaysia, walaupun terdapat dari kalangan yang didakwa ialah orang-orang politik yang berpangkat tinggi? Apa yang tidak kena dengan undang-undang di Malaysia menurut pandangan AS, walhal undang-undang di Malaysia adalah sama kufurnya dengan undang-undang yang diterapkan di AS? Apakah ‘undang-undang’ yang menjadi minat Amerika atau ‘Anwar Ibrahim’ itu sendiri?

Tuesday, August 5, 2008

UMNO dan politik wang, ibarat lagu dan irama

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ibu pejabat UMNO telah menubuhkan sebuah sekretariat untuk memantau mesyuarat cawangan dan bahagian di seluruh negara bagi memastikan tidak berlaku gejala politik wang pada pemilihan parti kali ini.

Presiden UMNO berkata, sekretariat yang mempunyai kakitangan yang mencukupi itu bertanggungjawab memantau perjalanan mesyuarat berkenaan supaya ia mematuhi etika parti.

“Langkah ini selaras dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan parti supaya perjalanan mesyuarat cawangan dan bahagian serta kempen diawasi oleh ibu pejabat UMNO,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Wanita Bersama Pemimpin di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam yang mendedahkan perjalanan mesyuarat cawangan UMNO bahagian itu sejak tiga minggu lalu adalah yang terburuk dalam sejarah kerana dicemari gejala politik wang, kehadiran anasir luar dan dipenuhi pelbagai ugutan serta ancaman.

UMNO sedang mengadakan pemilihan cawangan secara berperingkat dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini yang turut menyaksikan pemilihan pelbagai jawatan di peringkat itu.

Selepas pemilihan cawangan, UMNO akan mengadakan pemilihan peringkat bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November sebelum diikuti pertandingan jawatan peringkat tertinggi parti pada Perhimpunan Agung dari 16 hingga 20 Disember.

Menurut Abdullah, ibu pejabat UMNO memberikan perhatian serius terhadap gejala politik wang kerana tidak mahu ia berterusan sehingga merosakkan parti.

Mengenai pungutan pendapat yang dilakukan oleh Merdeka Center baru-baru ini yang menunjukkan popularitinya di kalangan rakyat semakin merosot, Abdullah berkata, ia adalah perkara normal.

“Setiap ahli politik ada masa turun dan naiknya. Apa yang penting bagi saya ialah apa yang dibuat untuk rakyat dan negara,” ujarnya.

Ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang membuat tuntutan ganti rugi RM4.7 bilion ekoran pembatalan beberapa projek mega di negeri itu, Perdana Menteri menegaskan, pihaknya tidak akan melayan desakan itu kerana Kerajaan Pusat tidak pernah berhutang apa-apa dengan kerajaan negeri itu.

“Pembatalan itu dibuat kerana kita perlu memberikan keutamaan kepada projek- projek lain yang lebih penting dan kita akan terus berpegang kepada keputusan ini,” ujar beliau.

Sumber: Utusan Malaysia 05/08/08

Ulasan:

Setiap kali berlakunya pemilihan UMNO, setiap kali itulah isu politik wang akan dapat kita saksikan. Ibarat kata, UMNO dan politik wang adalah umpama aur dan tebing, umpama irama dan lagu, jika dipisahkan keduanya, maka rosaklah irama, pincanglah lagunya. Sipa tak tahu yang UMNO dan politik wang adalah dua perkara yang berjalan seiring dan takkan dapat dipisahkan? Di mana ada ahli politik, di situlah adanya wang. Di mana ada wang, di situlah adanya tokoh-tokoh Kapitalis yang menghamburkannya. Inilah dunia politik UMNO yang penuh dengan kekotoran.

Untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh dalam dunia politik Kapitalisme sebagaimana di amalkan UMNO, seseorang itu perlu memiliki kekayaan. Kekayaan merupakan tiket kepada kekuasaan dan pengaruh. Tidak ada wang, maka tiadalah harapan seseorang itu dalam politik. Untuk terjun ke dunia politik Kapitalis ini, seseorang itu perlu mempunyai sumber kewangan yang banyak bagi menarik sokongan dari penyokong-penyokongnya. Keluhan dari Menteri Keselamatan Dalam Negeri merangkap Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi iaitu Dato Seri Syed Hamid Albar bukanlah suatu yang baru dalam amalan politik kapitalis ini. Keluhan beliau hanya memperjelaskan kepada kita betap busuk dan buruknya permainan politik yang berpaksikan idea Machiavelli di mana “matlamat menghalalkan segala cara”. Inilah kesannya apabila umat Islam itu mengambil pemikiran politik kufur untuk diamalkan saat ini. Yang dipertaruhkan adalah keuntungan dan manfaat semata-mata bukannya hukum syara’.

Islam sebagai suatu sistem hidup telah memperjelaskan dengan secara terang apakah yang dimaksudkan dengan politik itu. Politik atau siyasah itu maknanya adalah mengurusi urusan umat, sama ada di dalam atau pun di luar negeri. Sabda Rasulullah SAW,

"Siapa saja yang bangun pagi dengan gapaiannya bukan Allah maka ia bukanlah (hamba) Allah, dan siapa saja yang bangun pagi namum tidak memperhatikan urusan kaum muslimin maka ia bukan dari golongan mereka." [HR Al Hakim].

Bagi seorang ahli politik Islam mereka akan memahami bahawa politik itu adalah sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Seorang pemimpin akan ditanya berkenaan dengan rakyat yang menjadi jagaannya. Sabda Rasulullah SAW,

“Ingatlah, setiap kamu adalah penggembala (pemelihara/penjaga) dan akan diminta pertanggungjawaban atas gembalaannya, setiap pemimpin adalah pemelihara (rakyatnya) dan akan diminta pertanggungjawaban atas pemeliharaannya, setiap laki-laki itu pemelihara ke atas ahli rumahnya dan akan dimintai pertanggungjawaban atas pemeliharaannya, perempuan itu pemelihara di dalam rumah suaminya dan dia akan ditanya, seorang hamba adalah pemelihara harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta itu. Ingatlah! kamu semua adalah pemelihara dan kamu semua akan ditanya tentang pemeliharaaan kamu”. [HR Tirmidzi, Juz 3, Hadits 1757].

Apa lagi yang kita harapkan dengan dunia politik Kapitalis ini? Para pemimpin ini sibuk berlumba dengan merasuah antara satu sama lain demi meraih kekuasaan, untuk mengaut lagi banyak kekayaaan yang ada. Inilah politik yang ada sekarang. Apakah pemimpin sebegini yang menjadi pilihan kita?

Wednesday, July 30, 2008

'Skandal Liwat' Negara Malaysia

Negara dikejutkan sekali lagi dengan peristiwa 'skandal seks', iaitu seorang bekas Timbalan Perdana Menteri yang berumur 62 tahun, yang sakit di bahagian tulang belakangnya, juga tengkoknya dan kedaratnya mungkin tidak segagah dulu, telah berjaya 'meliwat' seorang anak muda yang berumur 23 tahun, gagah perkasa dan tinggi lampai orangnya. Yang menariknya kejadian ini bukan sekali dua, tetapi berkali-kali, bahkan ada yang pegawai unit-unit tertentu menyebarkan khabar angin bahawa si pemuda yang gagah perkasa ini telah diliwat dengan rakus sekali, dengan orang tua yang kedaratnya mungkin jauh kurang dari mangsanya. Beberapa pihak menjelaskan tentang bagaimana kes ini perlu ditangani, ada yang memberi cadangan supaya dilakukan muhabalah, ada yang kata perlu penghakiman dalam Islam dan ada yang menginginkan kedua-duanya.
Untuk menjawab persolan ini, kami ingin membincangkan hal ini secara sistematik mengikut penghujahan yang sebenarnya dari Fiqh Islam, bukannya Fiqh Sekular yang memisahkan agama dari kehidupan.
Perbezaan Antara Liwat dan Zina
Liwat dengan zina adalah dua perkara yang berbeza, di mana liwat didefinisikan sebagai memasukkan alat kelamin lelaki ke dalam dubur lelaki yang lain. Manakala zina pula adalah memasukkan alat kelamin lelaki ke dalam faraj perempuan. Maka dengan itu, hukuman liwat adalah tidak sama dengan hukuman zina, kerana di antara keduanya terdapat perbezaan dari segi fakta dan definisi yang telah disebutkan di atas.
Liwat juga tidak boleh diqiaskan dengan zina, kerana dalil yang menjelaskan tentang zina, tidak mengandungi `illat sama sekali, sama ada `illat dalalah, `llat sharahah, `illat istinbath mahupun `illat qiyas. Sekiranya, sesuatu dalil tidak mengandungi `illat, maka tidak boleh sama sekali kita mencari-cari `illatnya bagi menetapkan sesuatu hukum. Kerana `illat itu, mestilah berdasarkan kepada `illat syar'iyyah, bukannya `illat `aqliyyah iaitu `illat yang berdasarkan `aqal semata-mata dan tidak bersandar kepada nash-nash syara' (nusus asy-syar'iyyah) serta tidak mengandungi rukun-rukun qiyas sebagaimana yang telah ditetapkan oleh ulama ushul fiqh (ushuliyyun). Kaedah `illat juga menyatakan; "al-`illat taduru ma'a ma'luul wujudan wa `adaman" (`illat itu beredar kepada apa yang di'illati ada atau tidak adanya).
Hukuman Untuk Peliwat dan Orang Yang DiLiwathi
Dengan demikian, telah jelas bahawa liwat tidak sama dengan zina. Sekaligus, hukumannya juga berbeza dengan hukuman zina. Namun, kedua-dua hal tersebut termasuk kategori hudud, bukan jenayah (jinayat), ta'zir mahupun qisas. Apatah lagi mukhalafat. Selain itu, mendatangi wanita pada duburnya, tidak disebut sebagai liwat. Bahkan perbuatan tersebut juga, tidak dinamakan liwat. Ini kerana, perbuatan yang dikategorikan sebagai liwat bukan sekadar memasukkan alat kelamin lelaki ke dalam dubur, akan tetapi ia adalah hubungan kelamin lelaki dengan lelaki sahaja, tidak perempuan, walaupun seorang lelaki tersebut telah mendatangi seorang wanita melalui dubur. Ia tidak dianggap sebagai meliwat wanita tersebut, kerana liwat hanya melibatkan hubungan kelamin antara lelaki dengan lelaki sahaja. Maka hukuman yang akan dikenakan kepada lelaki yang mendatangi wanita melalui dubur adalah ta'zir, bukannya hukuman hudud sebagaimana hukuman hudud bagi liwat.
Oleh yang demikian, Khalifah atau Qadhi, wajib menjatuhkan hukuman ta'zir kepada pelaku-pelaku yang telah melakukan hal tersebut-(mendatangi wanita melalui dubur)-dengan hukuman yang menyakitkan, sehingga hukuman itu dapat menebus kesalahan yang telah ia lakukan, di samping mencegah pelakunya daripada mengulanginya semula. Ini kerana, fungsi hukuman (`uqubat) dalam Islam adalah sebagai pencegah (zawajir) dan penebus (jawabir).
Islam telah menetapkan bahawa hukuman liwat adalah bunuh, sama ada pelakunya belum berkahwin (ghair muhshan) ataupun yang telah berkahwin (muhshan). Sesiapa saja yang telah terbukti melakukan liwat, maka ianya dihukum bunuh. Dalilnya berdasarkan sunnah dan ijma' ash-sahabah. Dari Ibnu `Abbas r.a berkata; Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wa Sallam bersabda;
"Barang siapa yang kamu jumpa, yang mana ia melakukan perbuatan kaum Nabi Lut, maka bunuhlah keduanya." [ HR Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah dan Tarmizi]
Inilah dalil yang disebutkan oleh Rasulullah Shallallahu `Alaihi Wa Sallam di dalam hadisnya bahawa hukuman liwat adalah bunuh kedua-duanya. Manakala dalil yang ditunjukkan oleh ijma' ash-sahabah adalah kesepakatan para sahabat untuk membunuh pelaku liwat, sama ada yang belum berkahwin mahupun yang telah berkahwin. Hukumnya tetap sama iaitu bunuh. Ijma' Ash-Sahabah juga merupakan dalil syarak sebagaimana Sunnah. Dalil syarak yang disepakati oleh ulama ushul fiqh (ushuliyyun) hanya 4 sahaja iaitu;
1. Al-Quran Al-Karim
2. As-Sunnah An-Nabawiyyah Al-Muthahharah
3. Ijma' Ash-Sahabah
4. Qiyas Asy-Syar'iyyah
Imam Baihaqi telah mengeluarkan hadis, dari `Ali Bin Abi Thalib r.a bahawa beliau merejam pelaku liwat. Hadis lain yang dikeluarkan oleh Baihaqi, dari Abu Bakar r.a bahawa beliau mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan kes liwat. Di antara para sahabat Rasulullah itu, yang paling tegas pendapatnya adalah `Ali Bin Abi Thalib r.a. Beliau mengatakan; "Liwat adalah perbuatan dosa yang belum pernah dilakukan oleh umat manusia, kecuali satu umat yakni kaum lut sebagaimana yang telah kamu ketahui. Dengan demikian, pelaku liwat mesti dibakar dengan api." Diriwayatkan dari Ja'far bin Muhammad, dari bapanya, dari `Ali Bin Abi Thalib r.a selain dari kisah ini berkata; "Rejam dan bakrlah dengan api." Imam Baihaqi juga mengeluarkan hadis, dari Ibnu `Abbas bahawa beliau ditanya tentang hukum hudud bagi pelaku liwat, maka beliau r.a berkata; "Jatuhkanlah dari atas bangunan yang paling tinggi di suatu tempat, kemudian hujanilah dengan lemparan batu." Diriwayatkan dari `Ali Bin Abi Thalib r.a bahawa beliau membunuh pelaku liwat dengan pedang, kemudian membakarnya, disebabkan besarnya dosa liwat ini. `Umar r.a. dan Othman r.a. berpendapat; "Pelaku liwat dilempari dengan benda-benda keras sehingga mati." Semua ini adalah pendapat dan tindakan para sahabat dalam melaksanakan hukuman bagi pelaku-pelaku liwat iaitu dibunuh, walaupun uslub pembunuhannya berbeza-beza. Namun demikian, hukumannya tetap dibunuh, sama ada direjam, dipancung, dilempar dari bangunan yang tinggi dan berbagai lagi uslub yang boleh digunakan untuk melaksanakan hukum bunuh ke atas pelaku-pelaku liwat.
Pembuktian dalam kes liwat berbeza dengan pembuktian zina. Namun demikian, ia sama seperti halnya pembuktian lain yang terdapat dalam salah satu had dari hukum hudud, kecuali zina. Hakikatnya, liwat tidak boleh disamakan dengan zina. Oleh kerana itu liwat tidak boleh ditetapkan berdasarkan bayyinah (pembuktian) zina. Pembuktian liwat dikategorikan ke dalam dalil hudud yang lain (selain zina).
Liwat terbukti dengan adanya;
1.Pengakuan
2.Kesaksian 2 orang saksi atau seorang lelaki dan dua orang perempuan sebagaimana pembuktian (bayyinah) dalam kes pencurian serta kes hudud yang lain
Sekilas mengenai hukum-hukum pembuktian (ahkam al-bayyinat) dalam Islam, di mana hukum-hukum pembuktian tersebut sama seperti halnya hukum-hukum Islam yang lain, yang merupakan hukum-hukum syarak yang digali dari dalil-dalil yang bersifat tafshiliyyah (terperinci). Syeikh Ahmad ad-Da'ur dalam Kitab Ahkaam al-Bayyinat mendefinisikan bukti (al-bayyinat) sebagai semua hal atau perkara yang dapat membuktikan sesuatu dakwaan. Bukti juga merupakan hujah bagi orang yang mendakwa atas dakwaannya. Islam menjelaskan bahawa bukti itu ada 4 jenis;
1. Pengakuan
2. Sumpah
3. Kesaksian
4. Dokumen-dokumen bertulis yang meyakinkan

Keempat-empat bukti di atas adalah bukti-bukti yang telah ditetapkan oleh syarak. Tidak ada bukti-bukti yang lain yang diiktiraf oleh syarak', melainkan 4 bukti di atas sahaja. Mengenai indikasi (qarinah) pula, ia tidak termasuk sebagai bukti menurut syarak.
Hukuman hudud liwat dapat dijatuhkan dengan syarat kedua-dua pelakunya itu baligh, berakal, rela dengan sendirinya (bukan dipaksa) dan terbukti telah melakukan liwat dengan bukti syar'ie iaitu pengakuan dan dengan kesaksian 2 orang lelaki atau seorang lelaki dan dua orang perempuan. Sekiranya, pelaku liwat adalah kanak-kanak, orang gila atau dipaksa dengan pemaksaan yang sangat, maka ia tidak dijatuhi had liwat. Persoalannya jika seorang itu mendakwa diliwat dengan cara paksa, maka kita perlu mengkaji pengakuannya, adakah pemaksaan yang bersifat mengancam keselamatan anggota atau nyawa (ikrahul mulji')? Kalau tidak ini bermakna bahawa dia sebenarnya merelakan dirinya diliwat. Hukum orang yang mengaku liwat ini adalah dibunuh, dan kepada peliwat yang dituduhnya jika dia mengaku maka dia dihukum bunuh juga atau yang diliwat tadi berjaya membuktikan dengan 2 orang saksi mata, sekiranya gagal berbuat demikian, maka tambahan hukuman takzir kepada orang yang mengaku diliwat kerana mencemarkan nama orang lain. Hanya dalam sistem kapitalis sahaja pengakuan seks boleh dijadikan skandal untuk membunuh karier orang lain.

Oh Mercedes Benz pujaanku!

Beri betis nak peha! Itulah agaknya pepatah Melayu yang tepat untuk ditujukan kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu yang baru. Sudah puas memakai Perdana V6, ingin pula mencuba Mercedes Benz. Pepatah Melayu juga menyebut, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Itulah apa yang berlaku. Riuh rendah di dada akhbar mengenai isu kerajaan Terengganu ingin membeli 14 buah kereta Mercedes dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang dibeli pada tahun 2004. Kata Menteri Besar Terengganu, pertukaran ini perlu disebabkan oleh kos penyenggaraan yang tinggi bagi Perdana V6 yang mencecah hingga RM175,229.97 untuk tempoh empat tahun.Kalau difikirkan logik, betul juga pandangan MB baru ini, tapi kalau difikirkan logik juga, apakah kos penyelenggaraan Mercedes itu nanti ‘pasti’ lebih murah dari Perdana V6. Dan kalau difikirkan logik juga, bukankah kos penyelenggaraan Proton Saga atau Proton Wira jauh lebih rendah dari Perdana V6? Kalau nak bermain dengan logik, memakai Proton Saga adalah jauh lebih murah kos penyelenggaraannya. Namun, pemimpin mana yang nak pakai Proton Saga, walau Proton Saga baru sekalipun??? Jatuh standard dibuatnya. Tentu sekali dalam budaya pemerintahan Kapitalisme, keterampilan menjadi perkara paling utama. “Standard” seseorang adalah diukur dengan kekayaan yang mereka miliki, bukan lagi berdasarkan syakhsiyyah (keperibadian) yang mulia yang ada padanya. Bagi pemimpin yang mana “standard”nya adalah terletak pada harta, maka, memanglah naik Proton Saga akan menyebabkan standardnya jatuh. Manakala jika pemimpin itu menaiki Mercedes, maka standardnya akan mengangkasa tinggi, walaupun dia seorang kaki rasuah, kaki tipu, kaki judi, kaki botol, kaki betina dan pelbagai jenis kaki busuk lainnya. Dalam pemerintahan Kapitalis, pemimpin mesti mempunyai penampilan yang mewah, barulah kepimpinannya akan dihormati, dilihat sebagai bergaya, berwibawa dan berkarisma! Biarpun sebenarnya rakyat disedut keringat dan peluh mereka (melalui cukai) habis-habisan bagi membiayai semua kemewahan yang dimiliki pemimpin.Dalam perjuangan MB Terengganu untuk mendapatkan Mercedes idamannya ini, fail Pekeliling Perbendaharaan telah dibuka dan dipertontonkan kepada sekalian rakyat jelata, kononnya membenarkan pembelian tersebut. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad yang menyelar tindakan kerajaan negeri Terengganu, beliau menjelaskan bahawa MB telah tersalah faham mengenai peruntukan Pekeliling tersebut. Menurutnya, kenderaan yang dimaksudkan oleh peruntukan tersebut hanyalah melibatkan kenderaan selain kereta.Sejak seminggu lepas, begitulah drama tarik-tali yang diwayangkan di hadapan rakyat Malaysia di atas pentas politik untuk merebut sebuah kereta bernama Mercedes Benz. Duit rakyat yang dirampas bukan lagi menjadi isu, tetapi “kereta mewah” manakah yang perlu dimiliki pemimpin, itulah yang menjadi isu utamanya. Walhal isu yang sepatutnya di bawa oleh pemimpin adalah bagaimana untuk “menjaga” rakyat, ini tidak, para pemimpin membincangkan isu bagaimana nak “menjaga dan memuaskan nafsu aku”. Inilah kekejian drama politik Kapitalisme yang sangat menyayat hati bagi orang-orang yang berfikir. Di sebalik kemewahan yang mewarnai kehidupan sang pemimpin, terpapar realiti kehidupan rakyat yang sangat daif dan penuh penderitaan. Segala kekayaan negara dibolot oleh para bangsawan (pemimpin) manakala rakyat di biar sengsara, bahkan diwayangkan pula kerakusan pemimpin tersebut merebut kemewahan ini di hadapan rakyat jelata. Para pemimpin ini sudah tidak segan silu menunjukkan aksi rakus dan gelojoh mereka melahap habuan dari keringat serta darah rakyat. Masihkah rakyat mahu menyanjung mahupun berharap kepada para pemimpin seperti ini? Astaghfirullahal azhim. Di manakah pemimpin zuhud yang kita dambakan? Di manakah Abu Bakar as-Siddiq, di manakah Ali bin Abi Thalib, di manakah Umar bin Abdul Aziz? Di manakah kalian semua wahai Khalifah Allah yang soleh? Kami semua merindui pemimpin-pemimpin seperti kalian. Semoga Allah menggantikan pemimpin yang ada sekarang dengan seorang Khalifah yang akan disayangi oleh sekalian rakyat jelata. Amin.