Wednesday, July 30, 2008

Oh Mercedes Benz pujaanku!

Beri betis nak peha! Itulah agaknya pepatah Melayu yang tepat untuk ditujukan kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu yang baru. Sudah puas memakai Perdana V6, ingin pula mencuba Mercedes Benz. Pepatah Melayu juga menyebut, nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Itulah apa yang berlaku. Riuh rendah di dada akhbar mengenai isu kerajaan Terengganu ingin membeli 14 buah kereta Mercedes dengan kos RM3.43 juta sebagai menggantikan Proton Perdana V6 Executive yang dibeli pada tahun 2004. Kata Menteri Besar Terengganu, pertukaran ini perlu disebabkan oleh kos penyenggaraan yang tinggi bagi Perdana V6 yang mencecah hingga RM175,229.97 untuk tempoh empat tahun.Kalau difikirkan logik, betul juga pandangan MB baru ini, tapi kalau difikirkan logik juga, apakah kos penyelenggaraan Mercedes itu nanti ‘pasti’ lebih murah dari Perdana V6. Dan kalau difikirkan logik juga, bukankah kos penyelenggaraan Proton Saga atau Proton Wira jauh lebih rendah dari Perdana V6? Kalau nak bermain dengan logik, memakai Proton Saga adalah jauh lebih murah kos penyelenggaraannya. Namun, pemimpin mana yang nak pakai Proton Saga, walau Proton Saga baru sekalipun??? Jatuh standard dibuatnya. Tentu sekali dalam budaya pemerintahan Kapitalisme, keterampilan menjadi perkara paling utama. “Standard” seseorang adalah diukur dengan kekayaan yang mereka miliki, bukan lagi berdasarkan syakhsiyyah (keperibadian) yang mulia yang ada padanya. Bagi pemimpin yang mana “standard”nya adalah terletak pada harta, maka, memanglah naik Proton Saga akan menyebabkan standardnya jatuh. Manakala jika pemimpin itu menaiki Mercedes, maka standardnya akan mengangkasa tinggi, walaupun dia seorang kaki rasuah, kaki tipu, kaki judi, kaki botol, kaki betina dan pelbagai jenis kaki busuk lainnya. Dalam pemerintahan Kapitalis, pemimpin mesti mempunyai penampilan yang mewah, barulah kepimpinannya akan dihormati, dilihat sebagai bergaya, berwibawa dan berkarisma! Biarpun sebenarnya rakyat disedut keringat dan peluh mereka (melalui cukai) habis-habisan bagi membiayai semua kemewahan yang dimiliki pemimpin.Dalam perjuangan MB Terengganu untuk mendapatkan Mercedes idamannya ini, fail Pekeliling Perbendaharaan telah dibuka dan dipertontonkan kepada sekalian rakyat jelata, kononnya membenarkan pembelian tersebut. Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad yang menyelar tindakan kerajaan negeri Terengganu, beliau menjelaskan bahawa MB telah tersalah faham mengenai peruntukan Pekeliling tersebut. Menurutnya, kenderaan yang dimaksudkan oleh peruntukan tersebut hanyalah melibatkan kenderaan selain kereta.Sejak seminggu lepas, begitulah drama tarik-tali yang diwayangkan di hadapan rakyat Malaysia di atas pentas politik untuk merebut sebuah kereta bernama Mercedes Benz. Duit rakyat yang dirampas bukan lagi menjadi isu, tetapi “kereta mewah” manakah yang perlu dimiliki pemimpin, itulah yang menjadi isu utamanya. Walhal isu yang sepatutnya di bawa oleh pemimpin adalah bagaimana untuk “menjaga” rakyat, ini tidak, para pemimpin membincangkan isu bagaimana nak “menjaga dan memuaskan nafsu aku”. Inilah kekejian drama politik Kapitalisme yang sangat menyayat hati bagi orang-orang yang berfikir. Di sebalik kemewahan yang mewarnai kehidupan sang pemimpin, terpapar realiti kehidupan rakyat yang sangat daif dan penuh penderitaan. Segala kekayaan negara dibolot oleh para bangsawan (pemimpin) manakala rakyat di biar sengsara, bahkan diwayangkan pula kerakusan pemimpin tersebut merebut kemewahan ini di hadapan rakyat jelata. Para pemimpin ini sudah tidak segan silu menunjukkan aksi rakus dan gelojoh mereka melahap habuan dari keringat serta darah rakyat. Masihkah rakyat mahu menyanjung mahupun berharap kepada para pemimpin seperti ini? Astaghfirullahal azhim. Di manakah pemimpin zuhud yang kita dambakan? Di manakah Abu Bakar as-Siddiq, di manakah Ali bin Abi Thalib, di manakah Umar bin Abdul Aziz? Di manakah kalian semua wahai Khalifah Allah yang soleh? Kami semua merindui pemimpin-pemimpin seperti kalian. Semoga Allah menggantikan pemimpin yang ada sekarang dengan seorang Khalifah yang akan disayangi oleh sekalian rakyat jelata. Amin.

0 comments: