Tuesday, August 19, 2008

Jangan undang murka Allah - hentikan segera wabak assabiyyah

Bermula dengan secebis lontaran pandangan Menteri Besar Selangor pada 10 Ogos 2008 agar kerajaan membuka pintu kemasukan ke UiTM sebanyak 10% kepada golongan bukan bumiputera, 5000 pelajar UiTM terus berhimpun di hadapan bangunan SUK, Shah Alam sebagai bantahan.

Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan kritikan pedas daripada Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah yang menyifatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu sebagai seorang yang “cetek pemikiran” kerana sanggup mengeluarkan kenyataan sesuka hati sehingga dilihat menghina dan mengutuk kaum sendiri. Isu ini terus dicanangkan oleh media arus perdana dengan memperbesarkan percikan api ini sehingga seolah-olah bangsa Melayu telah musnah.


Walhal tindakan kerajaan selama ini yang banyak menzalimi rakyat, khususnya golongan Melayu yang berpendapatan rendah, dengan kenaikan harga minyak, tol, barangan dapur dan pelbagai lagi kesengsaraan yang berpanjangan, tidak pula diperjuangkan oleh Ibrahim Abu Shah. Media arus perdana juga tidak berminat melaporkan semua itu, kerana kini peluang terbuka luas untuk media arus perdana, sebagai kuda tunggangan kerajaan untuk ‘menghentam’ MB dari Pakatan Rakyat dengan isu yang dilontarkan itu.



Tidak hanya di UiTM Shah Alam, wabak assabiyyah kini terus merebak ke serata negara. Bermula Shah Alam, kemudian UiTM Machang, Kelantan, Ipoh, Arau, Bandar Jengka, Melaka, Sungai Petani, Kuala Terengganu, dan kini wabak Jahiliyyah ini terus merebak ke UiTM Permatang Pauh, UiTM Segamat dan terus terbang menyeberangi laut China Selatan ke UiTM Samarahan Sarawak. Sungguh cepat penyakit kufur ini merebak, entah apakah ‘agen pembawanya’ yang sangat efisien itu hingga berjaya menjangkiti berpuluh-puluh ribu mangsa dan entah berapa banyak lagi mangsa yang akan dijangkiti selepas ini. Sebelum isu kuota 10% UiTM ini timbul, isu pembukaan kuota sebanyak 45% biasiswa JPA kepada bukan bumiputera dan kuota 10% kemasukan ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia umpama benih bagi wabak ini walaupun ia hanya dibincangkan oleh sekelompok golongan ekstremis assabiyyah Melayu sahaja.



Sesungguhnya assabiyyah adalah penyakit kufur Jahiliyyah yang jelas dilaknat oleh Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW,



”Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang kerana assabiyyah dan yang mati kerana assabiyyah” [HR Abu Dawud]



Wahai pejuang bangsa Melayu sekalian! Apakah kalian tidak takut dengan azab yang dijanjikan oleh Allah bagi penyeru kepada assabiyyah? Apakah yang terlalu istimewa dengan benih Melayu yang kalian miliki berbanding dengan aqidah Islam yang maha agung yang diturunkan oleh Allah melalui Nabi Muhammad SAW tetapi tidak kalian perjuangkan? Jika kalian betul-betul ingin memperjuangkan ‘bangsa Melayu’, maka apakah kalian merasakan yang Rasulullah yang ‘berbangsa Arab’ itu lebih rendah dari kalian yang berbangsa Melayu, sehingga bangsa Melayu mesti dipertahankan habis-habisan? Jika kalian merasakan Rasulullah yang berbangsa Arab itu lebih tinggi, kenapa pula kalian tidak memperjuangkan bangsa Arab? Sungguh hina apa yang kalian perjuangkan. Kalian memperjuangkan bangsa walhal Rasulullah sendiri tidak pernah memperjuangkan ‘kearabannya, malah Rasulullah melaknat setiap pejuang bangsa! Ingatlah, apa yang diperjuangkan oleh Rasulullah adalah ‘Islam’, bukannya ‘bangsa’. Justeru, kenapa kalian memilih untuk memperjuangkan bangsa Melayu, yang mana tidak ada satu keistimewaan pun yang Allah berikan kepada bangsa Melayu, tidak ada di dalam al-Quran dan tidak ada di dalam hadis. Tingginya manusia itu adalah kerana ketakwaannya kepada Allah, bukan kerana bangsanya. Malah, para pejuang bangsa itu adalah sebuah kelompok yang hina di dalam Islam kerana mereka menyeru kepada seruan jahiliyyah!



Rasulullah telah diutus untuk menyampaikan Islam dan menyeru seluruh umat manusia untuk menganuti dan memperjuangkan aqidah Islam serta menyatukan pelbagai bangsa di dunia ini agar melebur menjadi ummatan wahidah atas dasar aqidah Islam dan bukannya atas nama kebangsaan. Kaum kuffar pastinya akan tersenyum lebar melihat penyakit yang mereka tanam beratus-ratus tahun dahulu ke atas umat Islam, hingga kini masih terus tumbuh dan bercambah.



Justeru, tinggallah penyakit assabiyyah ini wahai saudaraku. Apa yang kalian lakukan, baik orang yang memperalatkan mahupun yang diperalatkan untuk memperjuangkan ‘bangsa Melayu’ ini, maka kalian hanya mengundang murka dan laknat Allah ke atas kalian sendiri. Kepada yang berpandangan bahawa UiTM merupakan “benteng terakhir” bagi bangsa Melayu, maka bertaubatlah segera selagi nyawa masih di kandung badan. Di akhirat nanti, Allah tidak akan memperhitungkan kalian berdasarkan ‘bangsa’ kalian, tetapi atas ‘amalan’ kalian kepadaNya. Namun, Allah pasti akan memperhitungkan amalan kalian yang menjadikan ‘bangsa’ sebagai perjuangan, dan bukan menjadikan ‘agama’Nya sebagai perjuangan. Di padang mahsyar nanti, barulah kalian sedar bahawa bangsa Melayu yang kalian perjuangkan tidak ada keistimewaan langsung dan tidak ada nilai sebesar zarah pun di sisi Allah Azza wa Jalla. Justeru, takutlah kalian kepada azab Allah dengan apa yang kalian lakukan. Tinggalkanlah segera perjuangan yang akan membinasakan diri-diri kalian ini! Na’uzubillah min zalik.

0 comments: