Tuesday, August 19, 2008

Jangan undang murka Allah - hentikan segera wabak assabiyyah

Bermula dengan secebis lontaran pandangan Menteri Besar Selangor pada 10 Ogos 2008 agar kerajaan membuka pintu kemasukan ke UiTM sebanyak 10% kepada golongan bukan bumiputera, 5000 pelajar UiTM terus berhimpun di hadapan bangunan SUK, Shah Alam sebagai bantahan.

Tidak cukup dengan itu, ditambah pula dengan kritikan pedas daripada Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Seri Ibrahim Abu Shah yang menyifatkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu sebagai seorang yang “cetek pemikiran” kerana sanggup mengeluarkan kenyataan sesuka hati sehingga dilihat menghina dan mengutuk kaum sendiri. Isu ini terus dicanangkan oleh media arus perdana dengan memperbesarkan percikan api ini sehingga seolah-olah bangsa Melayu telah musnah.


Walhal tindakan kerajaan selama ini yang banyak menzalimi rakyat, khususnya golongan Melayu yang berpendapatan rendah, dengan kenaikan harga minyak, tol, barangan dapur dan pelbagai lagi kesengsaraan yang berpanjangan, tidak pula diperjuangkan oleh Ibrahim Abu Shah. Media arus perdana juga tidak berminat melaporkan semua itu, kerana kini peluang terbuka luas untuk media arus perdana, sebagai kuda tunggangan kerajaan untuk ‘menghentam’ MB dari Pakatan Rakyat dengan isu yang dilontarkan itu.



Tidak hanya di UiTM Shah Alam, wabak assabiyyah kini terus merebak ke serata negara. Bermula Shah Alam, kemudian UiTM Machang, Kelantan, Ipoh, Arau, Bandar Jengka, Melaka, Sungai Petani, Kuala Terengganu, dan kini wabak Jahiliyyah ini terus merebak ke UiTM Permatang Pauh, UiTM Segamat dan terus terbang menyeberangi laut China Selatan ke UiTM Samarahan Sarawak. Sungguh cepat penyakit kufur ini merebak, entah apakah ‘agen pembawanya’ yang sangat efisien itu hingga berjaya menjangkiti berpuluh-puluh ribu mangsa dan entah berapa banyak lagi mangsa yang akan dijangkiti selepas ini. Sebelum isu kuota 10% UiTM ini timbul, isu pembukaan kuota sebanyak 45% biasiswa JPA kepada bukan bumiputera dan kuota 10% kemasukan ke program matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia umpama benih bagi wabak ini walaupun ia hanya dibincangkan oleh sekelompok golongan ekstremis assabiyyah Melayu sahaja.



Sesungguhnya assabiyyah adalah penyakit kufur Jahiliyyah yang jelas dilaknat oleh Rasulullah. Sabda Rasulullah SAW,



”Bukan dari kalangan kita orang yang menyeru kepada assabiyyah, berperang kerana assabiyyah dan yang mati kerana assabiyyah” [HR Abu Dawud]



Wahai pejuang bangsa Melayu sekalian! Apakah kalian tidak takut dengan azab yang dijanjikan oleh Allah bagi penyeru kepada assabiyyah? Apakah yang terlalu istimewa dengan benih Melayu yang kalian miliki berbanding dengan aqidah Islam yang maha agung yang diturunkan oleh Allah melalui Nabi Muhammad SAW tetapi tidak kalian perjuangkan? Jika kalian betul-betul ingin memperjuangkan ‘bangsa Melayu’, maka apakah kalian merasakan yang Rasulullah yang ‘berbangsa Arab’ itu lebih rendah dari kalian yang berbangsa Melayu, sehingga bangsa Melayu mesti dipertahankan habis-habisan? Jika kalian merasakan Rasulullah yang berbangsa Arab itu lebih tinggi, kenapa pula kalian tidak memperjuangkan bangsa Arab? Sungguh hina apa yang kalian perjuangkan. Kalian memperjuangkan bangsa walhal Rasulullah sendiri tidak pernah memperjuangkan ‘kearabannya, malah Rasulullah melaknat setiap pejuang bangsa! Ingatlah, apa yang diperjuangkan oleh Rasulullah adalah ‘Islam’, bukannya ‘bangsa’. Justeru, kenapa kalian memilih untuk memperjuangkan bangsa Melayu, yang mana tidak ada satu keistimewaan pun yang Allah berikan kepada bangsa Melayu, tidak ada di dalam al-Quran dan tidak ada di dalam hadis. Tingginya manusia itu adalah kerana ketakwaannya kepada Allah, bukan kerana bangsanya. Malah, para pejuang bangsa itu adalah sebuah kelompok yang hina di dalam Islam kerana mereka menyeru kepada seruan jahiliyyah!



Rasulullah telah diutus untuk menyampaikan Islam dan menyeru seluruh umat manusia untuk menganuti dan memperjuangkan aqidah Islam serta menyatukan pelbagai bangsa di dunia ini agar melebur menjadi ummatan wahidah atas dasar aqidah Islam dan bukannya atas nama kebangsaan. Kaum kuffar pastinya akan tersenyum lebar melihat penyakit yang mereka tanam beratus-ratus tahun dahulu ke atas umat Islam, hingga kini masih terus tumbuh dan bercambah.



Justeru, tinggallah penyakit assabiyyah ini wahai saudaraku. Apa yang kalian lakukan, baik orang yang memperalatkan mahupun yang diperalatkan untuk memperjuangkan ‘bangsa Melayu’ ini, maka kalian hanya mengundang murka dan laknat Allah ke atas kalian sendiri. Kepada yang berpandangan bahawa UiTM merupakan “benteng terakhir” bagi bangsa Melayu, maka bertaubatlah segera selagi nyawa masih di kandung badan. Di akhirat nanti, Allah tidak akan memperhitungkan kalian berdasarkan ‘bangsa’ kalian, tetapi atas ‘amalan’ kalian kepadaNya. Namun, Allah pasti akan memperhitungkan amalan kalian yang menjadikan ‘bangsa’ sebagai perjuangan, dan bukan menjadikan ‘agama’Nya sebagai perjuangan. Di padang mahsyar nanti, barulah kalian sedar bahawa bangsa Melayu yang kalian perjuangkan tidak ada keistimewaan langsung dan tidak ada nilai sebesar zarah pun di sisi Allah Azza wa Jalla. Justeru, takutlah kalian kepada azab Allah dengan apa yang kalian lakukan. Tinggalkanlah segera perjuangan yang akan membinasakan diri-diri kalian ini! Na’uzubillah min zalik.

Kenapa AS berminat dengan kes Anwar?

Sejak dari awal kes Liwat yang melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim timbul AS telah mula menunjukkan minat untuk memberi ‘bimbingan’ terhadap kerajaan Malaysia. Tom Casey jurucakap Jabatan negara Amerika Syarikat dipetik sebagai berkata,

"The main point for us is that the rule of law needs to stand above politics," [NST 08/07/01]
(Yang penting bagi kami (US) adalah kedaulatan undang-undang perlu mengatasi politik)

"And we would certainly oppose any use of law enforcement or judicial procedures for anything other than legitimate purposes of the law," [NST 08/07/01]
(Kami sesungguhnya menentang segala bentuk penguatkuasaan undang-undang dan tatacara perundangan melainkan untuk keperluan undang-undang yang sah).

Komen AS tersebut terus mendapat reaksi balas dari Menteri Luar Malaysia, Dr Rais Yatim yang telah menghantar surat bantahan kepada AS dan menggesa agar kuasa dunia tersebut tidak mencampuri urusan dalaman sesebuah negara.

Niat AS untuk campur tangan semakin jelas apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa secara rasmi pada 7 Ogos 2008. Keputusan pejabat peguam negara mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim amat tidak disenangi oleh Amerika Syarikat. Seorang pegawai Jabatan Negara berkata,

"Kita memandang berat banyak persoalan serius yang dibangkitkan di Malaysia, termasuk oleh Majlis Peguam, berhubung kes ini," [Malaysiakini 08/08/08]

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Nashville, Tennessee, bekas Naib Presiden Amerika Syarikat Al Gore menuduh kerajaan Malaysia melakukan serangan peribadi supaya pemimpin parti politik pembangkang yang efektif tidak dapat bersuara. [Mstar08/08/07]

Campur tangan terbaru ini telah menyebabkan Wisma Putra mengadakan siri penerangan di luar negara untuk menjawab persepsi negatif yang dihamburkan terhadap kerajaan Malaysia. Tekanan yang dikenakan terhadap Malaysia bukanlah suatu yang baru, dahulu sewaktu Datuk Seri Anwar Ibrahim dituduh untuk kes yang sama pada tahun 1998 AS amat berminat untuk membela Anwar. AS cuba bertindak sebagai penyelamat kepada kemelut yang dihadapi oleh kerajaan Malaysia dengan berjalan seiring dengan aspirasi gerakan reformasi.

Menangguk di air keruh

AS sebenarnya menunggu saat dan ketika untuk melebarkan pengaruhnya di Malaysia, perkiraan politiknya untuk menguasai Selat Melaka sebagai jalan perdagangan yang menghubungkan antara China dan Eropah masih menjadi impian yang tidak pernah padam. Dengan ‘bergerak seiring’ dengan gerakan popular di Malaysia, AS cuba untuk menonjolkan dirinya sebagai polis dunia. Taktik yang sama juga digunakan oleh AS di Iraq, dengan slogan kebebasan, rakyat Iraq terpesona namun akhirnya kebebasan yang diharapkan oleh rakyat Iraq tidak pernah kunjung tiba.

Agak menghairankan mengapa AS tidak berminat terhadap ratusan lagi orang lain yang kena dakwa di Malaysia, walaupun terdapat dari kalangan yang didakwa ialah orang-orang politik yang berpangkat tinggi? Apa yang tidak kena dengan undang-undang di Malaysia menurut pandangan AS, walhal undang-undang di Malaysia adalah sama kufurnya dengan undang-undang yang diterapkan di AS? Apakah ‘undang-undang’ yang menjadi minat Amerika atau ‘Anwar Ibrahim’ itu sendiri?

Tuesday, August 5, 2008

UMNO dan politik wang, ibarat lagu dan irama

KUALA LUMPUR 4 Ogos – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, ibu pejabat UMNO telah menubuhkan sebuah sekretariat untuk memantau mesyuarat cawangan dan bahagian di seluruh negara bagi memastikan tidak berlaku gejala politik wang pada pemilihan parti kali ini.

Presiden UMNO berkata, sekretariat yang mempunyai kakitangan yang mencukupi itu bertanggungjawab memantau perjalanan mesyuarat berkenaan supaya ia mematuhi etika parti.

“Langkah ini selaras dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan parti supaya perjalanan mesyuarat cawangan dan bahagian serta kempen diawasi oleh ibu pejabat UMNO,” kata Abdullah pada sidang akhbar selepas merasmikan majlis Wanita Bersama Pemimpin di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Datuk Seri Syed Hamid Albar semalam yang mendedahkan perjalanan mesyuarat cawangan UMNO bahagian itu sejak tiga minggu lalu adalah yang terburuk dalam sejarah kerana dicemari gejala politik wang, kehadiran anasir luar dan dipenuhi pelbagai ugutan serta ancaman.

UMNO sedang mengadakan pemilihan cawangan secara berperingkat dari 17 Julai hingga 24 Ogos ini yang turut menyaksikan pemilihan pelbagai jawatan di peringkat itu.

Selepas pemilihan cawangan, UMNO akan mengadakan pemilihan peringkat bahagian dari 9 Oktober hingga 9 November sebelum diikuti pertandingan jawatan peringkat tertinggi parti pada Perhimpunan Agung dari 16 hingga 20 Disember.

Menurut Abdullah, ibu pejabat UMNO memberikan perhatian serius terhadap gejala politik wang kerana tidak mahu ia berterusan sehingga merosakkan parti.

Mengenai pungutan pendapat yang dilakukan oleh Merdeka Center baru-baru ini yang menunjukkan popularitinya di kalangan rakyat semakin merosot, Abdullah berkata, ia adalah perkara normal.

“Setiap ahli politik ada masa turun dan naiknya. Apa yang penting bagi saya ialah apa yang dibuat untuk rakyat dan negara,” ujarnya.

Ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang yang membuat tuntutan ganti rugi RM4.7 bilion ekoran pembatalan beberapa projek mega di negeri itu, Perdana Menteri menegaskan, pihaknya tidak akan melayan desakan itu kerana Kerajaan Pusat tidak pernah berhutang apa-apa dengan kerajaan negeri itu.

“Pembatalan itu dibuat kerana kita perlu memberikan keutamaan kepada projek- projek lain yang lebih penting dan kita akan terus berpegang kepada keputusan ini,” ujar beliau.

Sumber: Utusan Malaysia 05/08/08

Ulasan:

Setiap kali berlakunya pemilihan UMNO, setiap kali itulah isu politik wang akan dapat kita saksikan. Ibarat kata, UMNO dan politik wang adalah umpama aur dan tebing, umpama irama dan lagu, jika dipisahkan keduanya, maka rosaklah irama, pincanglah lagunya. Sipa tak tahu yang UMNO dan politik wang adalah dua perkara yang berjalan seiring dan takkan dapat dipisahkan? Di mana ada ahli politik, di situlah adanya wang. Di mana ada wang, di situlah adanya tokoh-tokoh Kapitalis yang menghamburkannya. Inilah dunia politik UMNO yang penuh dengan kekotoran.

Untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh dalam dunia politik Kapitalisme sebagaimana di amalkan UMNO, seseorang itu perlu memiliki kekayaan. Kekayaan merupakan tiket kepada kekuasaan dan pengaruh. Tidak ada wang, maka tiadalah harapan seseorang itu dalam politik. Untuk terjun ke dunia politik Kapitalis ini, seseorang itu perlu mempunyai sumber kewangan yang banyak bagi menarik sokongan dari penyokong-penyokongnya. Keluhan dari Menteri Keselamatan Dalam Negeri merangkap Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi iaitu Dato Seri Syed Hamid Albar bukanlah suatu yang baru dalam amalan politik kapitalis ini. Keluhan beliau hanya memperjelaskan kepada kita betap busuk dan buruknya permainan politik yang berpaksikan idea Machiavelli di mana “matlamat menghalalkan segala cara”. Inilah kesannya apabila umat Islam itu mengambil pemikiran politik kufur untuk diamalkan saat ini. Yang dipertaruhkan adalah keuntungan dan manfaat semata-mata bukannya hukum syara’.

Islam sebagai suatu sistem hidup telah memperjelaskan dengan secara terang apakah yang dimaksudkan dengan politik itu. Politik atau siyasah itu maknanya adalah mengurusi urusan umat, sama ada di dalam atau pun di luar negeri. Sabda Rasulullah SAW,

"Siapa saja yang bangun pagi dengan gapaiannya bukan Allah maka ia bukanlah (hamba) Allah, dan siapa saja yang bangun pagi namum tidak memperhatikan urusan kaum muslimin maka ia bukan dari golongan mereka." [HR Al Hakim].

Bagi seorang ahli politik Islam mereka akan memahami bahawa politik itu adalah sesuatu yang akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT di hari akhirat kelak. Seorang pemimpin akan ditanya berkenaan dengan rakyat yang menjadi jagaannya. Sabda Rasulullah SAW,

“Ingatlah, setiap kamu adalah penggembala (pemelihara/penjaga) dan akan diminta pertanggungjawaban atas gembalaannya, setiap pemimpin adalah pemelihara (rakyatnya) dan akan diminta pertanggungjawaban atas pemeliharaannya, setiap laki-laki itu pemelihara ke atas ahli rumahnya dan akan dimintai pertanggungjawaban atas pemeliharaannya, perempuan itu pemelihara di dalam rumah suaminya dan dia akan ditanya, seorang hamba adalah pemelihara harta tuannya dan dia akan ditanya tentang harta itu. Ingatlah! kamu semua adalah pemelihara dan kamu semua akan ditanya tentang pemeliharaaan kamu”. [HR Tirmidzi, Juz 3, Hadits 1757].

Apa lagi yang kita harapkan dengan dunia politik Kapitalis ini? Para pemimpin ini sibuk berlumba dengan merasuah antara satu sama lain demi meraih kekuasaan, untuk mengaut lagi banyak kekayaaan yang ada. Inilah politik yang ada sekarang. Apakah pemimpin sebegini yang menjadi pilihan kita?