KUALA LUMPUR 7 Mei – Padiberas Nasional Berhad (Bernas) akan meningkatkan pengeluaran beras tempatan dengan kandungan hancur 15 peratus (Super 15 peratus) daripada 11,000 tan metrik kepada 20,000 tan metrik sebulan bagi memenuhi keperluan rakyat negara ini.
Pengarah Urusannya, Bakry Hamzah berkata, Bernas akur kepada saranan kerajaan untuk meningkatkan pengeluaran beras tempatan Super 15 peratus berikutan permintaan yang meningkat dan kekurangan bekalan beras kategori itu di pasaran. “Ketika ini Bernas mengeluarkan 11,000 tan metrik beras Super 15 peratus sebulan bagi memenuhi permintaan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negara ini. “Bagaimanapun, jumlah tersebut akan ditingkatkan sebanyak 9,000 tan metrik lagi bagi mencapai tahap yang disarankan oleh kerajaan iaitu 20,000 tan metrik sebulan,” kata Bakry dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, sejak 16 April lalu, Bernas telah mengeluarkan hampir 500,000 kampit 10 kilogram beras Super tempatan 15 peratus dalam pelbagai jenama melalui anak-anak syarikat Bernas. Dalam beberapa minggu lalu berlaku kenaikan mendadak harga beras lebih berkualiti, khususnya beras import, yang tidak dikawal harganya.
Ketika ini, kerajaan hanya mengawal harga beras Super 15 peratus iaitu antara RM16.50 dan RM17.50 bagi sekampit 10 kilogram, manakala harga beras yang lebih berkualiti ditetapkan oleh pasaran. Bakry berkata, para pengguna yang ingin membeli beras tempatan Super 15 peratus keluaran Bernas boleh mendapatkan produk-produk beras tersebut di negeri masing-masing. “Jenama beras tempatan Super 15 peratus bagi Selangor dan Negeri Sembilan ialah jenama 77, Kelantan dan Terengganu (Bangau), sementara di Melaka jenamanya ialah Saga Super 15 peratus. “Di Johor dan Pahang, jenama beras tempatan Super 15 peratus ialah beras Kedah; Selangor dan Perak (jenama ABC); dan jenama Talipon di Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” kata Bakry.
Menurut beliau, mulai bulan depan, satu jenama nasional iaitu Bernas Super Tempatan 15 peratus yang dikeluarkan melalui anak-anak syarikat Bernas akan digunakan untuk menyeragamkan gred beras tempatan Super 15 peratus di Semenanjung Malaysia. “Jenama tersebut akan menggantikan pelbagai jenama beras gred Super 15 peratus yang ada di pasaran. “Ia juga dijangka dapat membantu dan memudahkan para pengguna untuk memilih dan membeli beras gred Super 15 peratus,’’ jelasnya.
Sumber: Utusan Malaysia
Ulasan:
Inilah realiti kualiti hidup yang kita alami. Di serata ceruk manusia mengalami kualiti hidup yang semakin teruk, kecuali para pemimpin/penguasa, kroni dan orang-orang kaya. Semakin hari, kos sara hidup semakin menghimpit jiwa yang rindukan kualiti hidup lebih baik. Beras yang merupakan makanan ruji bagi penduduk di Malaysia kini mengalami rejatan harga akibat percaturan pengamal ekonomi kapitalisme. Tanpa mengambil kira faktor kemanusiaan, para kapitalis dan penguasa bersekongkol menghisap darah dan keringat rakyat masing-masing.
Beras import yang kualitinya tinggi dikecualikan kawalan harga, kerana ia membabitkan keuntungan cukai bagi negara sedangkan beras tempatan hancur 15% yang rendah kualitinya dikawal harganya seolah-olah inilah satu-satunya alternatif kepada masalah kenaikan harga beras baru-baru ini. Dengan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis, mekanisme harga dan kawalan negara atas produk komoditi hanyalah akan menguntungkan pihak tertentu sahaja. Eksploitasi produk komoditi dan keperluan asas adalah salah satu ruang yang dioptimumkan puak rakus/kejam ini. Soal kemaslahatan umum langsung tidak dijadikan agenda dalam perencanaan mereka ketika menghadapi situasi sukar. Yang penting diri sendiri dan kroni!
Dalam membincangkan masalah makanan, sektor pertanian merupakan sektor terpenting bagi sesebuah negara. Ia perlu dijadikan agenda penting negara demi memelihara produk keluaran dalaman bagi memenuhi keperluan rakyat, bukan negara! Rakyat perlu diberi layanan (perkhidmatan) yang secukupnya agar keperluan mereka dipenuhi, bukan sebagai sumber eksploitasi keuntungan diri! Kualiti hidup rakyatlah yang melambangkan kemakmuran negara, bukannya kemewahan negara yang melambangkan kemakmuran rakyat!
Semua ini, pada hakikatnya mustahil berlaku dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem ekonomi kapitalisme seperti Malaysia, Indonesia dan majoriti negara di dunia. Ianya hanya boleh berlaku dalam sebuah negara Islam - Daulah Khilafah. Ini adalah kerana prinsip ekonomi Islam berbeza seratus peratus daripada prinsip ekonomi kapitalisme. Sistem ekonomi Islam sentiasa menjadikan agenda pemenuhan keperluan asas manusia sebagai aspek yang paling utama. Ini berbeza dengan sistem kapitalis yang hanya mementingkan peningkatan daya pengeluaran (productivity) negara tanpa perhatian yang serius dalam memenuhi keperluan rakyatnya. Apa gunanya negara mencapai KDNK begitu tinggi sedangkan rakyat merempat dicelah-celah timbunan sampah mengutip sisa-sisa nasi yang basi?
Friday, May 9, 2008
Beras oh beras...
Labels: Dalam Negeri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment