Wednesday, April 30, 2008

BPR ditukar nama

KUALA LUMPUR 21 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan distruktur semula bagi menjadikannya sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, penstrukturan semula institusi membanteras rasuah yang ditubuhkan pada tahun 1967 itu merupakan satu daripada empat inisiatif kerajaan untuk memerangi gejala rasuah di negara ini.

Tiga inisiatif lain ialah:

Menambah jumlah anggota dan pegawai penguat kuasa antirasuah daripada 2,000 orang sekarang kepada 5,000 dalam tempoh lima tahun;

Memperkenalkan undang-undang melindungi pemberi maklumat dan saksi;

Menambah baik sistem pemerolehan awam.

Abdullah berkata, penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia itu bertujuan meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam dalam usaha membanteras gejala rasuah di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, dari segi pendakwaan, suruhanjaya tersebut perlu merujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Peguam Negara sebelum membawa apa jua kes ke mahkamah kerana jabatan itu masih bertindak sebagai pihak pendakwa bagi suruhanjaya berkenaan.

Perdana Menteri mengumumkan pembaharuan kepada institusi BPR itu ketika menyampaikan ucaptama program Dialog Integriti ASEAN di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini.

Turut hadir ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Surin Pitsuwan; Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan yang merupakan Pengerusi IIM.

Dalam ucapannya, Abdullah melahirkan harapannya untuk melihat para pegawai BPR menjalankan tugas tanpa rasa takut dan berat sebelah.

“Saya selalu percaya dengan memberi lebih kebebasan kepada BPR, ia akan membolehkan agensi itu melaksanakan setiap tugas dengan lebih baik.

“Justeru, kesungguhan kerajaan menstrukturkan semula BPR (dengan menjadikannya sebuah suruhanjaya) diharap dapat meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam selain mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap agensi ini,’’ katanya.

Perdana Menteri menjangkakan proses penstrukturan semula BPR kepada suruhanjaya akan selesai sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata, sebuah lembaga penasihat akan ditubuhkan di bawah suruhanjaya tersebut yang dikenali sebagai Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah.

Ujarnya, semua anggota lembaga penasihat berkenaan akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Anggota lembaga ini bertanggungjawab memberi nasihat kepada suruhanjaya sama ada mengenai pentadbiran atau operasi. Mereka juga akan diberikan taklimat terutama yang melibatkan kes-kes berkepentingan awam.

“Dalam hal ini, mereka boleh mempersoalkan mengenai tindakan yang telah diambil oleh suruhanjaya dan boleh mencadangkan jenis tindakan yang seharusnya diambil,’’ ujar beliau.

Paling penting, kata Abdullah, lembaga itu akan bertindak meyakinkan orang ramai bahawa kes-kes yang berkepentingan awam ditangani dengan sewajarnya oleh suruhanjaya terbabit.

Selain mempunyai lembaga penasihat, Perdana Menteri menjelaskan, sebuah jawatankuasa Parlimen juga akan ditubuhkan dikenali sebagai Jawatankuasa Parlimen Mencegah Rasuah.

Beliau berkata, Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia bertanggungjawab membentangkan laporan tahunannya kepada jawatankuasa berkenaan.

“Anggota jawatankuasa ini juga ditugaskan untuk menyemak serta mendapatkan penjelasan terhadap segala yang terdapat dalam laporan tersebut,’’ katanya.

Sejajar dengan statusnya sebagai suruhanjaya, agensi membanteras rasuah dengan kuasa baru itu, kata Abdullah, akan mempunyai kebebasan untuk merekrut pegawai dan kakitangan termasuk menawarkan tangga gaji yang lebih menarik.

“Ini merupakan inisiatif kerajaan yang kedua (dalam membanteras rasuah).

“Tujuan kerajaan memberi kebebasan kepada suruhanjaya untuk mempunyai tangga gaji yang lebih menarik dan berbeza bertujuan menarik lebih ramai profesional menyertai agensi itu,’’ katanya.

Perdana Menteri yakin usaha terbaru kerajaan itu bakal meningkatkan taraf BPR pada kedudukan yang lebih baik.

Sumber: Utusan Malaysia 22/04/08

Ulasan:

Kerajaan UMNO/BN sekarang sudah begitu terdesak untuk melakukan pelbagai perubahan bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada mereka. Segala perubahan nampaknya dilakukan bagi memenuhi ‘kehendak’ rakyat atau setidak-tidaknya, kerajaan mahu dilihat agar sedang memperbaiki apa sahaja yang rakyat lihat tidak betul selama ini.

Kegagalan Pak Lah dalam menangani kes rasuah telah ‘dibalas’ oleh rakyat dengan kekalahan teruk UMNO/BN dalam pilihan raya ke-12 yang lalu. Jadi, sudah semestinyalah Pak Lah sekarang perlu berusaha untuk memulihkan kredibiliti badan tersebut. Namun, jika dilihat dengan mendalam langkah-langkah yang diambil, ia nampaknya akan lebih menambah burukkan keadaan yang sedia ada.

Menukar ‘nama’ Badan Pencegah Rasuah kepada Suruhanjaya Anti Rasuah, yang bermaksud menjadikan badan tersebut ‘lebih bebas’ tidak akan menjanjikan apa-apa perubahan kerana orang-orang yang terlibat adalah orang-orang yang sama sahaja. Mereka tetap akan dilantik oleh kerajaan atau tepatnya oleh Perdana Menteri. Secara logiknya, adakah PM akan melantik orang yang ‘tidak mendengar kata’ untuk memimpin atau menganggotai Suruhanjaya ini nanti?

Usaha untuk mewujudkan ‘lembaga penasihat’ kepada suruhanjaya ini juga tidak lebih dari merumitkan lagi segala prosedur yang telah ada. Ia hanya akan menambahkan lagi ‘lapisan’ birokrasi yang telah sememangnya berlapis-lapis selama ini. Tambahan lagi, anggotanya juga akan dipilih oleh PM sendiri yang sekali lagi, pastinya akan terdiri dari pak turut-pak turut yang baik. Kewujudan lembaga penasihat ini juga sebenarnya menunjukkan seolah-olah Suruhanjaya Anti Rasuah ini ‘tidak tahu’ menjalankan tugas, kerana terpaksa bergantung pada nasihat dari orang lain.

Menambahkan bilangan anggota kepada 5000 orang yang langsung tidak mempunyai kuasa mendakwa juga hanyalah akan menjadi sebagai ‘penyedap’ telinga sahaja. Hakikatnya, kuasa untuk mendakwa hanya ada pada Peguam Negara ‘seorang’ sahaja!!! Dan sebagaimana dimaklumi, Peguam Negara adalah 'orang kepercayaan' dan setia kepada PM. Jadi, apakah angka 5000

Inilah masalah yang ada pada kerajaan. Cuba menyelesaikan masalah dalam rangka sistem kufur yang sedia ada, langsung tidak cuba melihat dari perspektif Islam yang syumul. Mereka tidak sedikit pun menyentuh bahawa rasuah adalah kesalahan besar di dalam memaksiati Allah yang mana pelakunya pasti akan menerima laknat dari Allah. Aspek ruhiyah tidak pernah ditekankan oleh kerajaan walhal inilah yang pertama-tama perlu disedarkan kepada anggota mereka. Abu Dawud meriwayatkan sebuah hadis dari Abu Hurairah ra. bahawasanya Rasululah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,

“Laknat Allah terhadap pemberi dan penerima rasuah di dalam urusan pemerintahan”.

At-Tirmidzi meriwayatkan sebuah hadis serupa berasal dari Abdullah bin ‘Amr, bahawasanya Rasulullah bersabda,

“Laknat Allah terhadap pemberi dan penerima rasuah”.

Hadis lain mengenai hal ini juga diriwayatkan oleh Ahmad, Thabrani, Al-Bazar dan Al-Hakim, berasal dari Tsuban yang mengatakan,

“Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah, dan orang yang menyaksikannya.”

Sesungguhnya segala masalah dan keburukan ini tidak akan selesai selagi pemikiran pemimpin yang ada tidak ditukar kepada pemikiran Islam. Mereka ini langsung tidak mahu menoleh melihat bagaimanakah caranya para Khulafa’ Rasyidin menguruskan negara dan membasmi amalan keji rasuah ini dalam negara mereka. Sebaliknya pemimpin sekarang asik menggunapakai kepala otak sendiri di dalam menyelesaikan masalah, bukan menggunakan hukum Allah, kerana itulah mereka akan selama-lamanya gagal.

0 comments: