Wednesday, September 3, 2008

Antara sumpah Saiful dan sumpah Anwar


Anwar Ibrahim telah pun mengangkat sumpah sebagai ahli Parlimen Permatang Pauh yang baru setelah menang dalam pilihan raya kecil pada 26 ogos lepas. Anwar yang menang dengan majoriti 15,671 mengalahkan dua pencabarnya dari UMNO dan juga AKIM, kini telah berjaya melangkah kaki ke Parlimen setelah lebih kurang 10 tahun terhalang dari berbuat demikian. Jika dulu Anwar, sebagai Timbalan Perdana Menteri merupakan jaguh di Parlimen membela UMNO/BN, kini, Anwar muncul di Parlimen sebagai barisan pembangkang, malah bakal dilantik sebagai ketua pembangkang sedikit masa lagi. Jika dulu UMNO dibela, kini UMNO tentunya akan dihina oleh bakal ketua pembangkang yang baru ini.

Apa pun, upacara angkat sumpah Anwar telah pun selesai dilakukan pada pukul 10.05 pagi di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Sebelum Anwar Ibrahim mengangkat sumpah di Dewan Parlimen, lebih kurang dua minggu lepas, Saiful Bukhari juga telah melafazkan sumpah di Masjid Wilayah Persekutuan. Sumpah Saiful adalah bahawa dia telah diliwat oleh Anwar, manakala sumpah Anwar adalah untuk menumpahkan taat setia kepada Malaysia sebagai anggota Parlimen. Sebenarnya terdapat banyak perbezaan dan persamaan di antara kedua-dua sumpah tersebut.

Untuk perbezaan, rasanya semua pembaca dapat membuat perbezaan tersebut. Namun, mungkin ramai di kalangan kita yang tidak sedar bahawa terdapat persamaan di antara kedua-dua sumpah tersebut. Di bawah ini dinyatakan beberapa persamaan untuk difikirkan bersama:-

(1) Kedua-dua sumpah adalah ‘sumpah politik’. Saiful bersumpah di dalam keadaan semua rakyat Malaysia tahu bahawa terdapat agenda politik kotor di sebaliknya. Malah, imam yang menghadiri upacara sumpah tersebut telah mengisytiharkan secara terang-terangan bahawa beliau telah ‘diperangkap’ oleh orang politik untuk menjadi saksi sumpah tersebut. Manakala sumpah Anwar juga adalah sumpah untuk melibatkan diri dalam politik, dan siapa tidak tahu politik di Malaysia adalah politik kotor ala Machiavelli. Politik yang, hari ini seseorang boleh berada dalam satu parti dan menghentam habis-habisan parti lawan, esoknya dia akan lompat ke parti lawan dan menghentam habis-habisan pula partinya sebelum ini. Lusa, dia akan masuk semula ke dalam parti asalnya dan mengutuk habis-habisan pula parti yang pernah dilompatinya...dan begitulah seterusnya, demi mencapai ‘manfaat’.

(2) Kedua-dua sumpah disifatkan sah oleh para mufti. Mufti yang dibayar sedikit gaji oleh kerajaan mengakui yang sumpah Saiful adalah sah, walaupun hakikatnya sumpah tersebut bertentangan dengan hukum baiyyinat (pembuktian) Islam. Manakala sumpah Anwar juga boleh dikatakan sah oleh para Mufti, kerana setakat ini tidak ada seorang Mufti pun yang menyatakan sumpah ahli Parlimen adalah batil. Jadi, sumpah yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh si kafir Lord Reid itu tentunya dinilai sah oleh para Mufti.

Untuk makluman pembaca, berikut adalah lafaz sumpah sebagai anggota Parlimen yang terdapat di dalam Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan:-

Sumpah sebagai Ahli Parlimen dan Sumpah Setia

"Saya,........................................................................................, setelah dipilih (atau dilantik) sebagai seorang ahli Dewan Rakyat (atau Dewan Negara) dengan sesungguhnya bersumpah (atau berikrar) bahawa saya akan dengan jujur menunaikan kewajipan-kewajipan saya sebagai yang demikian dengan segala upaya saya, bahawa saya akan menumpahkan taat setia yang sebenar kepada Malaysia, dan akan memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaannya."

Jika sumpah Saiful disensasikan sedemikian rupa sejak awal lagi bahawa ia selaras dengan Islam, malah difatwakan lagi bahawa (selepas upacara sumpah) sebagai sah, maka sebagai seorang Muslim, kita juga wajib mengkaji dari segi hukum syarak apakah sumpah ahli Parlimen yang terdapat di dalam Perlembagaan Persekutuan yang digubal oleh si kafir Lord Reid ini, juga selaras dengan Islam.

Sebagaimana disebutkan oleh para mufti, ‘sumpah’ ada kaedah dan tatacaranya tersendiri di dalam Islam dan tidak boleh keluar atau melanggar ketetapan syarak. Contohnya, sumpah hendaklah dimulakan dengan lafaz “Wallahi, Wabillahi, Wattallahi”, dan isi sumpah pula tidak boleh mengandungi perkara-perkara batil atau memaksiati Allah.

Justeru, apakah sumpah untuk taat setia kepada Malaysia, yang nyata-nyata bersifat “wathaniyyah” (patriotisme) adalah selaras dengan Islam? Apakah Allah dan RasulNya redha akan sumpah sebegini? Bagaimana kesetiaan kita kepada Mekah, Madinah yang berada di Arab Saudi dan juga Masjidil Aqsa yang berada di Palestin? Bukankah ini adalah tanah suci umat Islam yang wajib dijaga dengan harta dan darah? Bukankah bumi Iraq, Iran, Mesir, Lebanon, Jordan, Sudan, Pakistan, Indonesia, selatan Thailand dan lain-lain lagi merupakan bumi kita semua, bumi umat Islam, bumi yang Allah anugerahkan kepada umat Muhammad? Bagaimanakah kesetiaan kita kepada tanah-tanah umat Islam ini, yang telah dibuka oleh Rasulullah dan para Khalifah dengan pengorbanan harta dan nyawa mereka? Bukankah ini semuanya bumi Allah, yang diwariskan kepada orang-orang yang beriman yang tidak ada bezanya di antara satu tanah dengan tanah yang lain?

Seterusnya, kita juga wajib mengkaji dari segi hukum syarak, apakah sumpah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan Islam? Kita wajib mengetahui apakah hukumnya mempertahankan Perlembagaan yang dicipta oleh orang kafir yang bernama Lord Reid? Kita semua tahu bahawa berapa banyak dari peruntukan dalam Perlembagaan yang bertentangan dengan Al-Quran dan Sunah. Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan contohnya, menyatakan dengan jelas bahawa Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, yang mana ia bermaksud kedudukan Perlembagaan itu lebih tinggi dari Al-Quran dan As-Sunah. Jika mana-mana hukum Allah ingin dilaksanakan di Malaysia, tetapi bertentangan dengan Perlembagaan, maka hukum Allah itu akan terbatal, kerana bertentangan dengan Perkara 4. Masya Allah! Inilah kedudukan Perlembagaan Malaysia!

Justeru, apakah sumpah untuk memelihara Perlembagaan ini selaras dengan Islam, walhal ia jelas-jelas membelakangkan Al-Quran dan Sunah? Sepatutnya, sebagai seorang Islam, sumpah yang dilafazkan adalah untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan Al-Quran dan As-Sunah, bukannya untuk mempertahankan Perlembagaan yang dibuat oleh Lord Reid, sebuah Perlembagaan yang jelas-jelas bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunah!

Saudara seagamaku sekalian! Fikir-fikirkanlah akan hal ini. Letakkanlah Allah dan Rasul di depan di dalam membuat keputusan, bukannya menjadikan alasan ‘maslahat, mudharat’ dan sebagainya sebagai bahan justifikasi akal untuk memaksiati Allah dan Rasul. Pegangan kita dalam menentukan hukum adalah Al-Quran dan As-Sunah, bukannya akal, walau sebijak mana sekalipun akal kita!